Persiapan Lebaran Anzalna Nasir bersama H&M Home
Ramadhan yang telah mula memasuki minggu kedua menandakan bermulanya persiapan untuk para pemilik kediaman dalam menata ruang kediaman untuk diperindah sempena musim perayaan yang bakal menjelang. tidak terkecuali para selebriti yang rancak membuat persediaan sama ada untuk persalinan mahupun untuk kediaman. Tahun ini lebih istimewa untuk aktres popular Anzalna Nasir kerana telah disunting jenama terkenal H&M Home untuk kolaborasi Hari Raya yang menggabungkan seleksi musim panas jenama ini.
Sebagai seorang yang meminati hiasan dalaman, Anzalna teruja untuk menjalinkan kolaborasi bersama jenama antarabangsa ini. Untuk itu, dia memilih suai padan yang menampilkan kusyen, gebar, pasu, dulang, piring, balang, lilin berserta kaki lilin selain ambal untuk melengkapi ruang utama di kediamannya. "Pilihan produk dan aksesori yang begitu menangkap mata ini menyerlah pada setiap ruang, namun ia mampu saling melengkapi gaya hiasan dalaman kediaman saya yang sedia ada. Tak sabar rasanya menantikan kehadiran keluarga dan teman yang bakal berkunjung meraikan lebaran nanti," kongsi bintang jelita ini.
Sempat juga kami meminta sedikit tip ringkas dari pereka hiasan dalaman yang bertanggungjawab dalam menyelaraskan dekorasi untuk projek kolaborasi ini yakni, Ben Firdaus Azraai. "Penataan gaya ruang tamu dan ruang makan di kediaman Anzalna sama seperti gaya rumah di Malaysia. Penggunaan perabut separa moden yang diperbuat daripada kayu dan fabrik memberi sedikit keserasian dalam memilih koleksi deko daripada H&M Home kali ini."
- Gabungkan penggunaan warna tropika dan material yang sinonim dengan masyarakat Malaysia iaitu kayu. Pinggan dan juga alas pinggan yang diperbuat daripada kayu ini memberikan elemen traditional yang digabungkan dengan aksesori tengah meja (table centrepieces) yang moden diperbuat daripada besi kemasan emas yang memberi impak mewah dalam susun atur secara keseluruhan. Susun atur yang tidak terlalu simetri dan formal memberi sedikit kelonggaran dan gaya yang lebih santai. Bersesuaian dengan tema sambutan lebaran, susun atur lebih bersahaja.
- Ruang tamu merupakan ruang utama untuk keraian seperti lebaran. Warna tropika pada koleksi bantal H&M memberi suntikan keceriaan dan juga sedikit emosi pada ruang tamu. Ruang tamu lebih ke arah warna warna monokromatik, diserikan dengan warna dan cetakan pada koleksi bantal dari H&M. Koleksi barang besi kemasan emas semestinya menarik minat kami untuk memberikan sedikit suntikan kemewahan pada ruang tamu Anzalna. Pasu emas serta beberapa aksesori lain seperti dulang emas dan cermin serta lilin lilin beraroma memberikan keunikan serta kesegaran pada ruang tamu ini. Begitu juga di ruang meja konsol emas milik anzalna, kami serikan dengan kaki lilin berwana emas dan hitam untuk menyempurnakan gaya ruang tamu milik anzalna. Sehelai ambal (rug) bermotifkan geometri yang berlatar belakangkan warna mustard di hamparkan di hadapan meja konsol emas tersebut untuk memberi sedikit elemen lembut pada ruang tersebut. Koleksi balang kueh raya dari H&M seperti satu pelengkap utama kepada keseluruhan tatagaya yang diberikan.