Kediaman - Warisan Tommy Hilfiger - Glam Malaysia

Kediaman – Warisan Tommy Hilfiger

Greenwich, Connecticut – salah satu kawasan elit pinggir bandar di New York. Kawasan berbukit dengan kedudukan privasi ini dihidangkan dengan panorama lautan atlantik – Long Island Sound. Tommy dan isteri, Dee Hilfiger menemukan mahligai indah di atas bukit sebagai mahligai warisan impian.

Awalnya dikenali sebagai Château Paterno, mahligai ini dibina untuk Charles Vincent Paterno pada tahun 1939 oleh Arkitek Greville Rickard. Kemudian pada tahun 1961, pengumpul seni Joseph Hirshhorn memilikinya dan menjadikan ruang galeri untuk menempatkan hampir 6,000 koleksi lukisan dan ukiran abad ke-19 dan ke-20 yang kebanyakannya kini boleh didapati di Muzium Hirshhorn di Washington. Selama bertahun-tahun mahligai ini telah mengalami proses ubah suai secara menyeluruh; sama ada penambahan ruang dan keseluruhan bahagian yang telah rosak.

“Landskap semula jadi bagaikan berada di kawasan pedalaman – seolah-olah kami berada di kawasan kedesaan Inggeris, tetapi sangat hampir dengan bandar,” jelas Tommy, mengekspresikan keterujaannya memiliki mahligai yang diimpikan. Miranda Brooks merupakan pereka landskap yang berjaya membentuk lanskap indah buat pasangan ini.

See also
Penjagaan Tanaman Dalam Pasu

Namun ketika Tommy berminat memilikinya, ia telah lama diabaikan. Lantaran Arkitek Andre Tchelistcheff dipertanggungjawabkan dalam melaksanakan proses pengubahsuaian secara mutlak, merangkumi keseluruhan ruang kediaman, termasuk pendawaian elektrik dan proses restorasi baru pada bahagian bumbung asal terracotta. Proses ubah suai turut melibatkan pemasangan semula jubin baru yang ditempah khas dari Turki dan dipasang satu per satu.

Buat merealisasikan persembahan dekorasi ruang yang menterjemahkan karakter dan identiti pasangan ini, Hilfigers beralih kepada pereka hiasan dalaman – Martyn Lawrence Bullard, yang bertanggungjawab memperindahkan kediaman mereka di Miami. Di ruang makan, minat Dee terhadap hasil seni dan perincian direalisasikan dengan penuh sempurna oleh Bullard, dengan gandingan porselin dinasti Ming dari abad ke-16 dan ke-17 bersama kaca Venetian, linen Portofino, dan koleksi perak dari Tiffany.

Manakala di ruang dapur, delftware biru dan putih abad ke-18 dipasangkan dengan langsir dan upholsteri dari koleksi Chelsea Textiles serta hamparan permaidani yang pernah dimiliki oleh Duke and Duchess of Windsor. “Unsur-unsur seni bina dan reka bentuk ruang bertema eklektik merupakan sebahagian daripada DNA Round Hill mungkin menimbulkan cabaran, tetapi Martyn Lawrence Bullard berjaya menyuntik inspirasi dan hebat bermain dengan perincian,” kata Tommy.

See also
Nostalgia Chinatown di Four Points By Sheraton, Kuala Lumpur

Slide gambar untuk lihat lebih lagi kediaman Tommy Hilfiger.

1 of 5
Use your ← → (arrow) keys to browse

Bilik Persalinan