Kediaman - Moden Simetri Organik - Glam Malaysia

Kediaman – Moden Simetri Organik

Finalis dalam kategori ‘House’ untuk Anugerah Perancangan Itali 2017, kediaman keluarga, The Sepang House dibina dalam gema suasana tropika. Menerapkan simetri lurus moden, kediaman ini direka dan dibina sepenuhnya oleh Eleena Jamil daripada firma, Eleena Jamil Architects.

Seni bina asas tertumpu pada reka bentuk unjuran luar biasa bumbung yang disokong pasakan kayu Merbau mengelilingi ruang teres kediaman. Konkrit mentah menyokong sepenuhnya binaan luar, berfungsi sebagai penebat haba semula jadi buat kediaman. Kediaman dibina teduh dan sejuk berpunca daripada strategi binaan dinamik Eleena dan kemasan warna gelap kayu jenis nyatoh yang menyuntik rasa damai segar di segenap ruang.

Eleena Jamil tidak gentar memulakan satu penerokaan luar biasa dalam penciptaan lapisan ruang dan mainan tekstur alami bagi mewujudkan rasa canggih dan kompleks.

1 of 9

DINDING PUSAT

Ruang tamu utama dibina menghadap lapangan taman landskap hijau; arah utara kediaman yang lebih teduh dan sejuk. Setiap ruang yang ada terbahagi strategik organik menerusi binaan dinding pusat daripada batu-bata membawa ke arah timur dan barat kediaman. Tangga dibina di tengah-tengah ruang binaan dinding bata ini. Ruang utama termasuk ruang tamu, ruang makan, kamar tetamu dan kamar beradu utama berada di bahagian utara kediaman. Manakala, dapur dan kamar beradu lain dibina di bahagian selatan. Ruang terbuka di antara dinding pusat berserta rekaan siling tinggi berganda mencipta sambungan visual dan akustik; persekitaran dalam dan luar kediaman, membuatkan suasana lebih intim dan hangat.

See also
Lady Arpels Ballerines Musicales

Ruang tamu utama bertapak di aras bawah kediaman, bersambung terus ke teres luaran langsung menuju ke arah kolam renang. Kamar beradu dan kamar beradu loteng turut dihubungkan terus ke teres. Binaan teres menjadi laluan pengantara di antara bahagian dalam dan luar. Strategi seni bina ini bertujuan membawa masuk kehidupan luar ke dalam. Malah, apabila penghuni berada di luar tetap diselubungi rasa teduh nyaman meski dalam keadaan iklim panas lembap khatulistiwa.

KAYU, KONKRIT DAN BATU-BATA

Tiga bahan asas seni bina; kayu, konkrit mentah dan batu-bata menjadi tunggak kediaman ini. Bumbung direka besar sehingga melindungi bahagian teres dan balkoni di sepanjang pinggirnya. Setiap asas binaan membezakan elemen reka bentuk kediaman. Struktur konkrit mentah tanpa sebarang kemasan menyokong binaan keseluruhan dinding luar, batu-bata untuk dinding pusat dan kayu-kayan jenis nyatoh dan merbau digunakan untuk membentuk struktur bumbung, siling dan lantai kediaman. Kepingan logam turut digunakan bagi memperkemaskan serta memperkukuhkan binaan bumbung.

Sebahagian permukaan dinding turut ditampal dan diaplikasi kemasan cat warna putih. Pendekatan ini bertujuan memperkayakan materialiti dan tekstur kediaman. Selain, membentuk atmosfera menarik dan selesa untuk kehidupan keluarga kontemporari.

See also
Diari Deko - Sistem Udara Bebas Bau