Sepagi yang kami luangkan bersama selebriti popular ini terasa begitu pantas masa berlalu. Minatnya yang mendalam terhadap dunia perniagaan jelas terpancar saat Noor Neelofa berkongsi kisah mengenai perniagaanya ini. Dalam jadualnya yang padat dengan penampilan dan penggambaran dia masih sudi memberi sedikit masa buat kami mengenalinya dengan lebih rapat lagi.
Berbicara mengenai ruang dalaman di pejabatnya, gaya yang praktikal dan ringkas menjadi pilihan. Ini kerana dia memilih untuk melakukan kebanyakkan sesi fotografi di sini. Namun begitu begitu dia masih kekal berpaksi pada rona bumi kerana baginya ini merupakan elemen yang penting untuk membangkitkan rasa damai tambahan pula saat dia sedang berkerja.
Oleh kerana tugasnya lebih menjurus kepada pemasaran produk, dia perlu memastikan setiap produk yang membawa nama Naelofar seiring dengan gaya dan penampilannya sebagai seorang selebriti. Selain itu, komitmennya pada kerjaya menjadikan dia cuba untuk memastikan produk miliknya ini bisa tampil bersama produk lain seperti drama dan kempen jenama lain mengikut kesesuaian. Ini terbukti dengan drama Suri Hati Mr Pilot berjaya memberikan impak pada penjualan produk, menjadikan koleksi Warda sebagai antaran rangkaian yang digilai ramai.