Asmilasi Budaya- Eni Nuraeni

Glam Deko – Asimilasi Budaya

Teks & Penyelaras: Shahril Hadi Halim
Arahan Seni & Penata Gaya: Afiq Khairuddin
 

gambar dalamGambar/Video: Jabir Suhirlan/ Shutters Studio

 
Pertembungan budaya dalam perkahwinan yang dijalinkan menjadikan kediaman ini sarat nilai warisan yang dikumpul dari pelbagai lokasi di seluruh pelusuk dunia. Susun atur tersendiri yang mengenengahkan seleksi perabot ragam rekaan  memberi rasa berbeza pada setiap ruang. Mainan gaya antara klasik, oriental dan moden berlegar mesra dalam unit kondo yang mencecah keluasan lebih 3000 kaki persegi.
 
Apakah konsep dekorasi kediaman anda?
Saya tidak menetapkan konsep khusus tetapi saya mencintai konsep kolonial, lantas itu mungkin antara pengaruh utama dalam menata sendiri kediaman ini. Hampir kesemua yang saya miliki ini merupakan koleksi yang dikumpul setelah mendiami beberapa negara di Asia. Biarpun begitu saya masih menyukai konsep moden. Untuk itu saya gabungkannya melalui pemilihan sofa yang saya dapati dari Alisia Hotel milik Ines. Selain itu, saya turut merubah wajah kerusi bertangan dengan pemilihan fabrik nautikal untuk memberi sedikit sentuhan moden. Walau bagaimanapun suntikan cita rasa Asia dapat anda saksikan menebal di sini kerana saya masih menyayangi adat dan budaya asal.
 
Berapa lamakah masa yang diambil untuk menyempurnakan dekorasi?
Kebanyakan perabot adalah koleksi peribadi, lantas memudahkan saya untuk menetapkan konsep dan susunan atur ruang yang hanya memakan masa dua hari. Tambahan pula unit ini saya miliki dari pemilik terdahulu, jadi kami tidak melakukan banyak ubah suai. Saya juga menggemari pelan rekaan rumah yang begitu sesuai dengan gaya hidup saya, lantas prosesnya menjadi mudah. Bagi mengelakkan ruang tampak berserabut dengan wayar yang kelihatan, saya mewujudkan sebuah kabinet kahs di ruang tamu selain ia turut digunakan untuk meletakkan pelbagai barangan lain.
 
Apakah elemen yang paling anda gemari dalam penataan kediaman anda?
Saya turut menyenangi tumbuhan hijau, justeru saya pastikan ia sentiasa hadir di sekitar kawasn kediaman. Paling menyenangkan apabila pemandangan dari unit ini menghadap kehijauan belukar yang masih terpelihara, saya ibaratkannya seperti “jewel of the city”. Cuma kesukarannya apabila saya mahu berpergian, tiada sesiapa yang boleh membantu menjaga pohon-pohon ini. Selain itu, saya juga memastikan kediaman ini sentiasa dihiasi aneka bungaan segar untuk memberi ambien yang tersendiri. Seminggu sekali pastinya saya akan menukar kepada bunga-bunga baru.
 
Saksikan video eksklusif di sebalik rakaman ruang kediaman ini.

See also
GLAM Life: Lyn