Tiga Musim Di Perancis - Glam Malaysia

Tiga Musim Di Perancis

TEKS & GAMBAR: TENGKU SHAMEL
 
Dari musim bunga di Paris disambut pula musim sejuk di Chamonix dan bersantai di bawah French Riviera, tiga pengalaman musim berbeza walaupun masih di negara yang sama.
 
Acapkali memilih destinasi Perancis bila ada kelapangan dan cuti lama, kali ini saya beralih arah dan lari daripada kebiasaan. Walaupun Paris masih menjadi titik mula dan akhir, persinggahan saya dan rakan di sini tidak lama sebelum menyambung ke destinasi di sebelah Tenggara Perancis. Ketibaan kami di Paris disambut dengan bunga bunga indah bersempena musim bunga. Hanya beberapa hari di Paris, dengan menaiki kereta api selama lebih kurang lima jam setengah dari stesen Gare de Lyon, kami tiba di stesen Chamonix Mont-Blanc. Di sini destinasi utama kami. Pemandangan indah perkampungan Perancis menjadi tatapan utama sepanjang perjalanan kami.
Chamonix Mont-Blanc antara kota berkonsepkan resort, ia dikelilingi pemandangan pergunungan Mont-Blanc. Kepelbagaian winter sports menjadi tarikan utama pengunjung di sini dan yang paling diminati tentu sekali sukan ski. Tahun 1924, Chamonix-Mont Blanc menjadi destinasi Winter Olympics yang pertama.
 
Walaupun tidak berkesempatan mencuba sukan ski, berada di atas salji di bawah pergunungan Mont-Blanc membangkitkan satu perasaan yang sukar digambarkan. Saya syorkan buat sesiapa yang ingin mengunjungi Chamonix Mont-Blanc supaya menaiki kereta kabel di Aiguille du Midi setinggi 3842m. Bila berada di puncak, panoramanya amat menakjubkan sekali. Selain sukan ski, setiap pengunjung boleh beriadah di sekitar bandar Chamonix apatah lagi dengan udaranya yang sungguh nyaman. Aktiviti seperti hiking ataupun jogging di sepanjang sungai L’Arve bagaikan tidak terasa langsung penatnya, bukan senang dapat menyaksikan pemandangan memukau begini. Setiap petang saya pasti tidak ketinggalan mengelilingi sungai L’Arve. Kafe, restoran, butik fesyen dan kedai cenderahati banyak terdapat di sekitar Chamonix. Ada juga bangunan di sini dihiasi dengan lukisan unik 3D, sepertikan pemandangan sebenar. Tiga hari di Chamonix Mont-Blanc tidak puas bagi kami lebih-lebih lagi ini juga kali pertama saya menjejakkan kaki di kota resort ski. Kalau ditakdirkan saya kembali lagi ke sini, pasti akan cuba sukan ski nanti.
 
Dari pergunungan salji, kami terbang pula ke kepulauan Nice yang hanya memakan masa satu jam. Pelik juga bila menjejakkan kaki di bumi Nice kerana pada sebelah paginya, sewaktu masih di Chamonix salji masih turun tetapi bila tiba di Nice kami disambut dengan cuaca panas Mediterranean walaupun masih berada di negara yang sama. Simply love French Riviera for that dan itulah suasana yang saya sentiasa bayangkan selama ini selepas menyaksikannya menerusi kaca televisyen!. Kami menetap di kota Villefranche Sur Mer bersebelahan pantai dengan air laut yang biru kehijauan. Menarik sungguh kota ini. Lorong-lorong kecil menghubungkan kota dan pantai serta bangunan-bangunan lama pelbagai warna. Hari berikutnya, saya ke Eze Village, Monte Carlo dan Menton, kedua-duanya mempunyai karakter dan identiti tersendiri. Eze Village adalah kota batu lama di atas bukit juga dikenali sebagai ‘eagle’s nest’ yang berketinggian 427 meter di atas paras pantai. Eze Village juga popular dengan pemandangan pantai yang memukau dan di atas bukit terdapat pelbagai kedai menjual hasil seni tempatan. Dari Eze, kami meneruskan perjalanan selama lebih kurang satu jam ke Monte Carlo. Di sini kami berasa seolah-olah berada di set filem James Bond. Bot, kapal layar mewah, bangunan, hotel dan kasino tersergam indah, nampak gah sekali. Kemudiannya kami ke Menton, which is a slightly laid back beach town yang juga dikenali sebagai ‘Pearl of France.’ Menton terletak di antara sempadan Franco-Italia bersebelahan dengan kota Ventimiglia. Menton cukup terkenal dengan tanaman lemon yang juga simbol kota ini. Hari berikutnya, kami sempat singgah ke bandar popular Cannes. Ternyata kota ini penuh dengan kedai-kedai dan restoran di sepanjang jalan. Sebaik tiba di St. Tropez, yang hanya memakan masa dua jam perjalanan dari Cannes, matahari sudah pun terbenam. Sempat jugalah saya merakam momen-momen matahari terbenam di sana.
 
Hari terakhir di French Riviera sebelum pulang ke kota Paris, saya luangkan masa dengan hanya bersiar-siar di sekitar Nice. Kawasan bandar Nice dikelilingi dengan bangunan bersejarah berwarna cerah dan arca yang penuh dengan keunikan tersendiri. Ini membuatkan the town feels so lively. Sepuluh hari di Perancis nyata memberi saya pengalaman yang cukup berbeza sekali.

See also
Selebriti Wanita Yang Pernah Menjalani Pembedahan Kosmetik

 

[soliloquy id=”50285″]