Seni Hiasan Jam Tangan Giardini Bvlgari
Rekaan penuh sofistikated dengan perincian rekaan indah jadi nadi kepada koleksi Jam Tangan Giardani dari Bvlgari. GLAM merungkai kisah di sebalik koleksi penuh seni buat pencinta horologi.
Il Giardino Tropicale
Motif burung kakak tua menjadi tarikan utama dengan dua versi berbeza. Permukaan dail dengan berlatar belakangkan ibu mutiara merah jambu bertatah set 61 butir berlian atau 226 butir snow-set diamonds. Motif hutan tropika pada permukaan dail diukir kemas menggunakan teknik champlevé yang disadur emas. Hasil seni lukisan terpampang indah dengan garapan motif bunga dan tumbuhan beserta burung kakak tua, memberi ilusi mendalam pada jam tangan. Dail hadir dalam 15 rona berbeza yang pasti membias rasa mewah berani.
Il Giardino Lariano
Elemen romantis di Tasik Como, Itali jadi inspirasi kepada jam tangan ini. Garapan indah sebuah lukisan di permukaan dail dengan langit biru malam yang diperbuat dari kaca bertatah 244 berlian snow-set. Kemewahan dan keanggunan jam tangan diperhebatkan lagi dengan seekor angsa ukiran halus rona merah jambu keunguan beserta perincian pelepah bulu yang menakjubkan. Angsa tersebut menyusuri tasik biru kelabu yang diperbuat dari ibu mutiara Tahiti, mengharungi lapisan ombak yang disadur berlian, diakhiri pergerakan tourbillion.
Il Giardino Notturno
Ilham kuntuman moonflower yang juga digelar “beauty of the night” digarap pada permukaan dail dengan menampilkan empat elemen yakni api, bumi, udara dan air. Perincian kemilau biru dengan titik tembaga, dipahat dengan 8 butir berlian mewakili elemen api. Ukiran teknik champleve pada moonflower disadur rhodium manakala kelopak bunga pula dihiasi berlian putih serta ibu berlian Tahiti yang mewakili elemen bumi. Elemen udara digarap pada pergerakan bulan yang terdiri daripada cakera aventurine dengan ukiran emas bulan. Manakala elemen air terukir pada gelombang ombak yang disadur ibu mutiara, digilap untuk memberi kilauan maksimum.
Il Giardino Marino
Keindahan kehidupan laut dengan rona terang menjadi motif utama jam tangan ini. Permukaan dail biru mencerminkan air laut manakala ikan dan tapak sulaiman diukir kemas menggunakan teknik champleve dengan rona turquoise. Ukiran halus batu karang bertatah 23 butir ibu mutiara potongan sempurna.