Korner Mak Datin: Parasit Sosialit Lebih Kuah dari Sudu

Korner Mak Datin: Parasit Sosialit Lebih Kuah dari Sudu

KornerMakDatin

 

Saya menyarung ready-to-wear Victoria Beckham Musim Bunga 2012 berona jingga malam itu.  Malam acara pembukaan sebuah butik itu saya berdandan lebih kurang sahaja tetapi menggunakan khidmat disuak ke belakang telinga yang dihias indah anting-anting Mouawad. Saya memaut mesra lengan gagah Datuk Seri, semua lensa terarah pada kami. Saat paling tidak digemari saya sebenarnya. Rimas!

 

Melangkah masuk, kehadiran kami disambut Datin Azalea dan Datuk Fakri. Memang kami sudah berjanji bertemu di situ. Datin Azalea semula jadi cantik itu kelihatan menawan dalam kelengkapan Chanel dan sepatu Christian Louboutin. Classy! Solekan smokey eyes dan gincu nude itu menyerlahkan lagi kejelitaan Datin, bekas ratu cantik itu. Ketinggiannya membuat saya yang rendah beberapa inci ini cemburu dan Datin Azalea tahu akan itu. Saya sering mengusik ketinggiannya. “Jangan pakai sepatu tumit tinggi darling, nanti tenggelam I.”

 

Datin Azalea dan Datuk Fakri sudah lama kami kenali. Mereka berdua sahaja sahabat yang boleh saya dan Datuk Seri percayai. Selesa bersosial dengan pasangan suami isteri romantis itu. Memang ke mana-mana pun kami berempat sahaja. Kalau suami masing-masing sibuk, kami berdua meneruskan acara bershopping, spa, melancong, melencong… Ya, berdua sahaja tapi bertiga kalau Molly ada yang kadang-kadang membawa Tash bersama.

 

Babe!” lambai Molly dari jauh. Molly anak hartawan itu sangat mesra dengan kami. Panjang umur, Molly menghampiri kami dengan gelas di tangan. Tash mengekori dari belakang tersenyum simpul. Saya dan Datin Azalea berlaga pandang, masing-masing mengerti apa tersurat di hati.

 

“Datin Seri, apa khabar? Datin Azalea sihat?” soal Tash memeluk saya dan Datin Azalea bergilir-gilir. Baru semalam Datin Azalea meluahkan rasa tidak selesa dengan kehadiran Tash akhir-akhir ini. Kebetulan saya pun berasa serupa. Memandangkan dia tu sahabat Molly kami diamkan sahaja.

 

Amboi malam ini Tash tampil manis tetapi seingat saya tas tangan dijinjingnya milik Molly. Koleksi musim bunga dua tahun lepas. Molly sangat pemurah menghadiahkan beg designer itu kepada Tash. Tetapi saya tak hairan kerana Molly sememangnya penggemar beg dan akan membeli koleksi terbaru hampir setiap jenama. Satu kamar direka gerobok khusus bagi menyimpan aneka fesyen bag – clutch, hobo, sling bag dan entah apa-apa lagi. Setakat satu diberi pada teman-teman, takkan terjejas.

 

Seingat saya, Tash muncul tiba-tiba di kalangan kami. Dia kelihatan sedaya upaya bergaul dalam kelompok sosialit. Saya taklah kisah sangat dan menerima setiap orang seadanya. Saya pun bukanlah lahir dengan sudu perak di mulut seperti Molly. Sudah jodoh diberikan tuhan. Saya bukan seperti Datin Azalea yang mengaku terang-terangan menyasarkan lelaki kaya dijadikan suami. Saya bertemu Datuk Seri Hakim pun secara tidak sengaja tanpa mengetahui statusnya.

See also
Ciri Terbaru Instagram Membantu Mencegah Pembulian Siber

 

Berkenalan dengan Datin Azalea ketika sama-sama bosan di sebuah acara rasmi. Mungkin latar belakang sama membuatkan kami serasi bersahabat. Bertemu Molly pula secara tidak sengaja di pesta ulang tahun beberapa tahun lalu. Kesederhanaan sifat Molly menawan hati kami. Dia cucu pembesar negara yang paling tidak lokek dengan senyuman. Tidak hairanlah Tash yang entah siapa-siapa itu pun jadi peneman dia. Bukan apa, kami sangsi kejujuran Tash sebagai kenalan baru. Bukan taraf sosial jadi ukuran tetapi sifatnya yang berlebih-lebih itu ibarat lebih kuah dari sudu.

 

Kalau dia diam-diam tak mengapa. Ini kecoh satu kampung dicanangnya. Semak laman sosial Tash, penuh dengan gambar-gambar kami berempat. Gambar dia dengan Molly usah cakap. Ada juga dia dengan saya dan dia dengan Datin Azalea. Budak Tash ini seolah-olah taksub dengan kami. Bangga benar menayang diri yang dia berada di dalam kelompok sosialit, padahal jemputan semua tumpang Molly.

 

“Jum kita bergambar,” ajak Tash tiba-tiba mengejutkan saya dari lamunan. Saya mengerling Datin Azalea yang cuak tahap maksimum. Geli hati pun ada dengan lagak orang macam Tash. Molly pula berlagak selamba layan.

 

“Eh, itu kan Dian. Hai Dian!” jerit Datin Azalea pabila melihat kelibat Dian. Dia menghampiri Dian tetapi tangan kanannya menarik saya ke sisi wanita bernama Dian. Saya kurang pasti siapa Dian yang bergaya dengan gaun body hugging. Apa yang pasti, Datin Azalea cuba mengelak dari bergambar dengan Tash.

 

Sejak dulu Datin Azalea tidak senang pabila gambar peribadinya bersepah-sepah dalam laman sosial Tash yang boleh dilihat secara umum. Selepas bertegur sapa dengan Dian, mereka lekas-lekas berlalu menghampiri Datuk Fakri dan Datuk seri Hakim.

 

“Kan I dah cakap. Setiap kali jumpa mesti nak bergambar. Rimas!” bisik Datin Azalea ke telinga saya. “Tengok tak komen kawan-kawan dia. Macam mana dia pula reply. Eh, macam kita rapat sangat dengan dia. Nampak. Baru bercuti sekali bersama nak kecoh. You tahu gambar kita sudah ada di blog,” adu Datin Azalea lagi.

 

Saya faham mengapa marah benar Datin Azalea. Gambar dia berbikini sudah tersebar di dalam blog sosialit. Penulis blog itu memetik gambar dari Facebook Tash lalu menghentam cukup-cukup sebagai model dan ratu cantik tidak sedar diri. Saya pun terkena padahal ketika itu kami bersantai di kediaman tepi pantai peribadi. Bukanlah di kawasan umum. Nasib baik Datuk Seri sporting. Tetapi malangnya Datuk Fakri agak sensitif dengan keadaan itu.

 

“Gambar kat Facebook I pun dia komen. Gambar kita shopping tu dia ‘like’ lepas tu komen ‘So glam, you are so up-to-date’. Apa tu?” komplen Datin Azalea tak henti-henti.

See also
Datin X: Hilang Identiti Apabila Hidup Tanpa Adat

 

Minggu lepas saya secara kasual bertanyakan perihal Tash kepada Molly. Mahu juga tahu siapakah wanita berusia 28 tahun itu yang lagaknya seperti anak hartawan. Tetapi kalau betul-betul anak hartawan, perangainya pasti macam Molly tak peduli dengan glamor sekeliling. Selalunya kalau orang kemaruk glamor sperti Tash pasti wanita biasa-biasa sahaja. Dia dan Datin Azalea dahulu pun dari golongan orang kebanyakan juga tetapi mereka tahu menjaga peradaban. Bijak menyesuaikan diri dengan suasana dan persekitaran.

 

“Oh, kawan Facebook je.” “Haa!?” terkejut dengan pengakuan Molly. Beraninya Molly menerima kenalan hanya dari Facebook dan diperkenalkan kepada kami pula. Hendak marah tak gamak kerana mungkin Molly tidak punya ramai teman. Hanya Tash yang rajin melayan dia. Saya dan Datin Azalea pun bukan selalu boleh menemani Molly yang masih bujang. Kami sudah berkeluarga. Saya punya anak dua dan Datin Azalea baru beranak satu.

 

“Tash. Singkatan Tasha ke?” soal saya lagi. Menurut Molly lagi, Tash hanya nama timang-timangan sahaja. Nama sebenar dia Sarimah, bekerja sebagai setiausaha. Mana datangnya Tash pun tak tahulah.

 

Melihat lagaknya tak nampak dia hanya bekerja sebagai setiausaha di syarikat swasta. Mungkin bergaji besar kerana mampu menyarung pakaian berjenama. Sepanjang mengenali Tash, saya banyak perhatikan dia. Boleh tahan dia menang gaya. Tak kisahlah kerana ada orang sanggup berhutang asal puas hati. Tak kisah sampai tengah bulan mengikat perut, asalkan dapat apa yang dihajati. Semua gara-gara prestij mahu dicapai pada pandangan mata orang. Juga nak menang gaya kerana mahu bergaul dengan golongan sosialit di ibu kota.

 

Tak payah pegang barangan berjenama, duduk semeja dengan kumpulan sosialit pun sudah membanggakan. Nak-nak dapat bergambar di photo wall. Bangga sungguh! Bersahabat baik dengan golongan berharta lagi pemurah sangat menguntungkan. Paling tidak dapat entourage ke serata dunia. Segala perbelanjaan ditanggung beres. Datin Azalea menganggap Tash mengambil kesempatan di atas kebaikan hati Molly.

 

Datin Azalea tidak sabar-sabar mahu bersemuka dengan Molly selepas tahu latar belakang Tash. Sahabat mereka itu perlu diingatkan. Tetapi saya bimbang tindakan kami itu bakal merosakkan hubungan kami dengan Molly. Nanti dikatakan cemburu pula. Lagipun kami juga dahulunya bukan dari golongan sosialit. Sepatutnya saya dan Datin Azalea lebih memahami.

 

“Tapi dia ni lain you,” tegas Datin Azalea berkali-kali. Bukan tidak kasihankan Molly tetapi dilihat begitu akrab. Biarlah Molly datang sendiri kepada kami kelak. Telahan saya itu benar belaka. Beberapa bulan kemudian, Molly mengajak kami bertemu di tempat biasa. Lega hati kerana Tash tidak ada bersama-sama. Selalunya Molly akan membawa Tash. Mungkin sahabatnya itu ada hal yang tidak dapat dielakkan.

Ingatkan ini pertemuan rutin kami, minum petang sambil berbual-bual berkisar perkembangan terbaru masing-masing. Rupa-rupanya ada perkara mahu diceritakan Molly. Sepanjang mengenali Molly, jarang benar dia mahu mengadu itu dan ini. Apa lagi mahu bercerita perihal orang. Agaknya dia sudah tak mampu menahan diri.
 

See also
Silas Liew Spring/Summer 2016

I nak minta maaf sebab kenalkan Tash kepada Datin dan Datin Seri,” ucap Molly perlahan. Entah mengapa sayu sekali bunyinya. “Kenapa Molly?” soal Datin Azalea tidak sabar. Agak lama Molly diam sebelum menjawab soalan itu. Saya sendiri kurang sabar mahu mengetahui kisah sebenar. “Ada tak Tash meminta duit you berdua?” soal Molly pula.

 

Terkejut besar kami mendengar soalan Molly. Apakah telah terjadi dengan Molly? Apakah dia sudah tertipu dengan Tash? Berapa pula wang sudah dia berhabis dengan perempuan itu? Aduh, menyesal saya kerana melarang Datin Azalea bersemuka dengan Molly.

 

“Tak, I tak kena tipu dengan dia. Tapi ramai kawan-kawan kita datang kepada I mengadu Tash meminjam wang tetapi kemudian buat-buat lupa. Kononnya mahu tolong kendalikan acara hari jadi lah, itulah inilah. Datin Nur misalnya sudah bayar duit tetapi kuih rayanya tak sampai-sampai, sampailah sekarang Raya Haji pun dah lepas.”

 

“Molly, tak berani dia meminta-minta dengan kami. Bukan kami rajin melayan dia pun. Sebenarnya, kami tak senang dengan Tash. Tetapi disebabkan dia kawan you, kami diamkan sahaja,” terang saya sangat bersimpati dengan Molly.

 
“Malunya I dengan kelakuan dia. Sekarang ini dia rapat dengan Zura. Bimbang sungguh Zura turut ikut terkena.” Nampak benar kegusaran Molly dengan kerenah Tash. Nampaknya Tash sudah bertemu mangsa barunya, Zura cucu ahli politik terkenal.
 

Kali ini kami takkan membuat kesilapan serupa. Zura perlu diberi ingat. Orang seperti Tash perlu kami singkirkan. Bukan membeza-bezakan taraf kerana saya dan Datin Azalea juga bukan lahir dari keluarga hartawan tetapi perbuatan Tash amat memalukan. Mereka pula jatuh segan dengan Molly, kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.

 

Selama ini betapa sukar membina reputasi agar mereka diterima oleh kalangan sosialit. Begini pula ada orang mahu merosakkan nama baik mereka. Bimbang juga kerana Tash diketahui baik dengan saya, Datin Azalea dan Molly. Biarpun Molly yang memperkenalkan Tash tetapi mereka bertiga yang bertanggungjawab membawa Tash ke dunia sosialit.

 

Entah mengapa individu ini pula tidak tahu malu dan rasa bersalah. Agak-agaknya memang mereka dilahirkan demgan  muka tebal. Begitulah ragam manusia sanggup melakukan apa sahaja demi kesenangan hidup. Kalau tidak menyusahkan orang lain tak mengapa tetapi keadaan ini jadi semakin buruk kerana melibatkan wang ringgit. Memang sesetengah manusia sanggup lakukan apa sahaja demi wang dan prestij. Alahai entahlah…

 
Dipetik dari GLAM Januari 2013.