Korner Mak Datin: Kerana Dengki Hijabnya Dibuka

Korner Mak Datin: Kerana Dengki Hijabnya Dibuka

KornerMakDatin
 
Rasa terliur melihat Ketam Cili Kering di Fatty Crab, Petaling Jaya. Aku sudah skip lunch supaya boleh ‘simpan perut’, meratah ketam sepuas-puasnya. Semestinya kalau ke sana, aku pasti bersama Nurul, teman baikku. Bab makan, aku dengan Nurul memang sekepala, selera kami memang sama. Walaupun berkali-kali memasang niat mahu kurus tetapi bila bab makan selera tidak pernah kurang malah bertambah, apatah lagi makan sambil bergosip, maka semakin rancaklah kami makan tanpa menoleh kiri dan kanan. Nurul bercerita dia diperkenalkan dengan tempat ini oleh Rohaya yang dikenalinya melalui sahabatnya Datin Aishah.
 
Kali pertama Nurul bertemu dengan Rohaya terus jadi rapat sehingga ke hari ini, malah Nurul juga tidak sabar-sabar mahu pertemukan aku dengan Rohaya apabila wanita itu datang ke Kuala Lumpur. Malah Nurul sentiasa menjadi peneman setia Rohaya ketika di KL. Kata Nurul, Rohaya memang cantik orangnya, isteri kedua Datuk T. Tubuhnya langsing, tapi kuat makan macam mana pun badannya tidak naik.
 
Rohaya baru sahaja sihat, selepas sembuh daripada penyakit terkena ‘hantaran orang’. Dia sudah bercinta 12 tahun dengan suaminya dan akhirnya mereka pun berkahwin. Isteri pertama tahu, dan rasa tidak puas hati suami kahwin, senyap-senyap jumpa bomoh supaya Rohaya tinggalkan suaminya. Paling kesian, suaminya pula sudah ada skandal dengan perempuan lain. Perempuan itu juga telah jumpa bomoh, juga mahu sihirkan Rohaya kerana ingin berkahwin dengan suaminya dan mahu Rohaya diceraikan. Kasihan Rohaya, cantiknya dia tetapi menjadi bahan tubaan ilmu, kiri kanan benda yang tidak elok dihantar kepadanya.
 
Sudahlah madunya upah orang hantar ilmu hitam, perempuan yang ingin menjadi perampas juga guna ilmu hitam, hantar puntianak kacau hidupnya setiap hari sampai dia tidak boleh tidur kerana sering diganggu. Puas dia pergi berubat dan siang malam tidak putus-putus berdoa. Ternyata Tuhan mendengar rintihan insan yang teraniaya. Dia bertemu seorang ustaz dan berubat, barulah sakitnya beransur pulih,” cerita Nurul kepadaku tentang Rohaya sambil memesan udang mentega pula. Rohaya menjadi topik perbualan kami sambil meratah seafood, teruja mendengar kisah Rohaya yang penuh drama. Siapakah Rohaya yang Nurul maksudkan itu?
 
Kami tersandar kekenyangan, pinggan di meja licin, tiada yang tersisa. Pernah kami berhasrat mahu buat pembedahan ikat usus perut agar makan sedikit sudah merasa kenyang namun tidak berani, takut kalau-kalau membahayakan kesihatan kami. Sementara relaks menunggu perut selesa, Nurul mengeluarkan iPadnya, menatang penuh khusyuk cuba google blog-blog yang menjual ubat mengawal nafsu makan. “Sudah jangan nak mencari ubat kurus, kawal nafsu makan konon, tetapi bila makan bukan main melantak macam mana nak kurus? Silap haribulan nafsu lain pula yang kurus,” jawabku termengah-mengah, serba tidak kena gara-gara perut penuh.
 
“Darling… usaha itu tangga kejayaan, never give up, we should try,” jawab Nurul yang melambai-lambai tangan ke arah pelayan lelaki muda memesan pula air limau nipis suam lagi, sedangkan di meja sudah ada tiga cawan kosong kerana airnya telah diminum. “Lepas makan banyak sangat seafood minum air limau bagus untuk kurangkan kolesterol,” kata Nurul tersenyum. “No comment! Minum air limau segelas, ketam dua ekor licin habis kau bedal, boleh cover ke? Jawabku menyindir. “Aku hanya bilang sahaja, kalau tidak percaya terserah,” balas Nurul mencebik.
 
Datang pula lelaki mundar-mandir membawa sebakul CD cetak rompak. “Helo, ada filem baru?” sambil tangannya membelek CD, aduh… cerita lain tak ada, asyik cerita hantu aja,” kata Nurul menghulurkan terus kepada aku, “Huh, cerita apa ini, semua cerita hantu sahaja. Taknaklah aku cerita Melayu punya hantu sungguh klise, ini cerita apa ni…Khurafat, Rasuk dan Al Hijab.” CD filem Al-Hijab menarik perhatianku. “Best ke cerita ini, cerita pasal apa?” Cerita hantu kat Malaysia macam tulah, aku malas nak cakap, takkan kau sendiri tak tahu,” selorohnya. Aku cuba membaca sinopsis, sedikit teruja mahu melihat garapan cerita itu. Aku juga pernah membaca beberapa reviu mengatakan filem itu terlalu seram tetapi aku hanya batalkan sahaja niat, tidak perlulah aku nak membazir membeli CD cetak rompak yang aku sendiri sudah tahu kualitinya.
 
Seminggu berlalu, Nurul mengajak aku makan di situ lagi. Tapi kali ini dia membawa temannya Rohaya dari Sarawak yang sering disebut-sebutnya hari itu. Akhirnya dapat juga aku bertemu empat mata dengan tuan empunya diri. Rohaya sudah tiba KL semalam, berjanji mengambilnya di Park Royal, selepas Isyak, maklum sahajalah Rohaya memang suka shopping, sebab itu dia suka tinggal di hotel di tengah-tengah bandar kerana tidaklah bosan sangat, masa yang ada digunakan sepenuhnya shopping jika suaminya bermain golf. Malah kata Nurul, dia selalu bertukar hotel kerana tidak mahu diketahui oleh madunya.
 
Rohaya sudah tunggu di perkarangan lobi hotel. Cantik sungguh dia, memang persis model. Masuk di dalam kereta terus menegur aku dan kami bersalam tanda perkenalan. Kami pergi makan bersama-sama. Perbualan kami cukup panjang. Dia bercerita perihal suaminya kepada Nurul, aku hanya mendengar sahaja tidak berani masuk campur nanti dikata penyibuk pula. Kata Rohaya, perempuan yang cuba mengganggu suaminya masih lagi tidak berputus asa menghuru-harakan rumah tangganya. “Suami aku sudah terkena ilmu hitam, hari itu aku ternampak di kakinya berlilit ular, setiap kali aku berjumpa aku nampak macam- macam di belakang badannya, kerja perempuan tulah,” kata Rohaya. Alamak, terkebil-kebil aku mendengarnya, soal bomoh, kena ilmu hitam perkara biasa yang selalu aku dengar. Macam-macam sungguh masalah setiap orang. Aku pelik Rohaya yang cantik juga punya suami yang ada kekasih gelap.
 
Rohaya menegur aku dan bila duduk semeja setiap kali aku bertanya dia tidak mahu memandang tepat ke wajahku. “Maaf ya… I tak boleh nak tengok muka you, mata ini macam mencucuk-cucuk,” terangnya jujur. “Kenapa? You tidak sihatkah?” “I tak bohong, memang mata I sakit sangat dan I tidak dapat lihat muka you dengan jelas, berlapis-lapis, badan you I tengok berlilit tali hitam? Awak sakit dalaman ini, macam–macam ditafsirkan membuatkan aku tidak boleh berkata apa-apa, seolah-olah aku berdepan dengan bomoh.
 
“What? Are you serious? How do you know?” tanyaku terkejut. “I bukan nak menakutkan atau mahu mereka cerita tetapi I beritahu apa yangnampak, dengan nama Tuhan I tidak menipu,” jelasnya. Aku ingin benar tahu dan kami berborak panjang, sedikit demi sedikit Rohaya bercerita tentang bagaimana dia diberikan kelebihan melihat makhluk halus di luar jangkaan manusia normal. Ini bukanlah kelebihan yang dimilikinya sewaktu lahir tetapi dia perolehi enam bulan lalu setelah sakit gara-gara disihir. Puas dia berubat supaya penglihatannya kembali seperti sediakala tanpa ada gangguan tetapi tidak dapat dihilangkan. Rohaya mengakui mula-mulanya dia hampir gila, meracau melihat macam-macam rupa benda tetapi lama kelamaan dia sudah immune. Saya bertanya kepada Rohaya bagamana dia memperolehi kelebihan itu, lalu Rohaya bercerita tentang rahsianya.
 
“Madu I hantar, dah tu perempuan yang ada skandal dengan suami I pun hantar benda-benda yang tidak elok. I yang teruk, puas I berubat tapi masih tidak boleh dibuang. Angkara dengki madu mahu membuat I jadi gila, tetapi I tetap berusaha pergi berubat berjumpa ustaz minta pendinding diri. Masa mula-mula terjadi I rasa mengantuk sangat waktu Maghrib, dan I terlelap dan tidur nyenyak, malam baru I tersedar. nampak macam-macam jenis bentuk hantu, hampir gila I jadinya. Malam tidak boleh tidur, kurus kering badan, mula you hidup normal tiba-tiba jadi tidak normal, kerana mata you dapat melihat benda-benda yang tidak sepatutnya dilihat oleh manusia.”
 
Malam semakin kelam, aku dan Nurul menghantar dia pulang ke hotel. “Good night, you jangan fikirkan apa yang I cakap itu, pergilah cari ustaz pulihkan kembali semangat you,” katanya. Rohaya turut meninggalkan pesanan ringkas melalui telefon bimbitku supaya jangan memikirkan sangat apa yang dikatakan kepadaku dan mengajak kami lunch bersama aku dan Nurul, tetapi Nurul tidak dapat kerana ada urusan keluarga.
 
Keesokkan harinya giliran mengambil Rohaya di hotel dan bawa dia pergi lunch. Dia mahu makan di restoran pilihannya. “I hanya makan di sini sahaja bila tengah hari kerana bersih. Restoran lain ada macam-macam I nampak, geli. Maaflah kalau I pilih restoran ini, mungkin you tidak biasa makan di sini,” jelasnya jujur. “ Tak mengapa, I bab makan tidak cerewet. Bagusnya jadi you boleh jadi ‘scanner’ boleh tahu tempat makan mana bersih atau tidak,” jawab aku tersenyum. Kami membelek menu dan terus membuat pesanan makanan.
 
Sementara menunggu makanan sampai, perasaan ingin tahu meluap-luap akan hal yang dicakapkan sebelum ini. “You memang nampak semua, ya?” “Ya, di setiap sudut ada, macam–macam rupa, ada yang bergayut di tiang, ada yang tergantung, ada yang berjalan berdarah-darah, ada yang muka sebelah tak ada, tak ada kepala, I dah biasa tengok dah. Kalau I pergi London pun I nampak juga. I dah cuba berubat tetapi ini memang tidak dapat hilang dan akan lekat sampai bila-bila. Baiknya kerana I tahu benda-benda yang tak elok ikut hubby, dan I boleh beritahu dia. Hubby I pun dah tahu hal sebenar, macam-macam terjadi pada dia, bayang hitam ikut dia, kaki dia ada lilit ular, wajah dia pun berbeza-beza,” kata Rohaya sambil menunjukkan bukti wajah suaminya di telefon bimbitnya. “Pendek kata sewaktu mula terkena, asyik bergaduh sahaja dengan suami, rasa panas. Perkara kecil boleh jadi besar, tetapi demi menjaga rumah tangga I bersabar.” Dia tahu dia jauh dari suaminya. Dia di Sarawak sedangkan suaminya di Kuala Lumpur, kalau dia datang ke Kuala Lumpur masa bertemu dengan suaminya cukup terhad.
 
Datuk T memang kaya, selepas berkahwin dengan Rohaya rezekinya bertambah-tambah. Malah Rohaya teringin sangat menimang cahaya mata tetapi belum ada rezeki lagi. Sebulan lalu dia mengandung, suaminya hadiahkan penthouse di Sarawak tetapi tiada rezeki, kandungannya gugur. Rohaya sehingga kini masih mencari jalan untuk hamil lagi bagi mengeratkan kasih sayang mereka. Terlalu berat dugaan dalam rumah tangganya, sudahlah didengki oleh madu, anak dalam kandungan gugur, hidupnya hebat dengan dugaan.
 
Sudahlah madu selalu memantaunya, perempuan yang skandal dengan suaminya juga buruk perangai, sanggup dia on telefon suaminya ketika mereka sedang berasmara, hati isteri mana yang tidak rasa sakit, suami curang. Rohaya percaya segala yang berlaku ada hikmahnya. Tuhan lebih mengetahui. Kiri kanan orang menghentam Rohaya, sehingga terbuka hijabnya. Ada yang menganggap itu satu kelebihan tetapi dia hanya redha kerana itu bahagiannya.
 
Dia tidak pernah berselindung dengan suaminya, apa sahaja yang berlaku diceritakan kepada suami. Tetapi suaminya menganggap perkara itu hanya biasa saja. Katanya setiap orang ada macam-macam pendampingnya. Siapa yang pakai susuk juga dia boleh nampak. Katanya, muka mereka berkilat-kilat. “Selebriti pun I tahu siapa yang pakai susuk.” Seharian aku berborak dengan Rohaya, seronok mendengar ceritanya. Aku menghantar dia pulang dan ini diikuti dengan berbalas-balas BBM, entah kenapa dia datang balik ke KL beberapa hari kemudian. Rohaya berkata dia mahu bercerai dengan suaminya. Dia sudah banyak bersabar, selepas membuat keputusan dia terus pergi bercuti ke Itali membawa hatinya yang luka. Setiap kali melihat profil BBM-nya bertukar-tukar berlatarbelakangkan Venice, Paris untuk membawa hatinya. Saya berBBM dengannya bertanya khabar, dan sempat juga buat lawak, “Nampak tak hantu di Itali, macam mana?” Tergelak dia mendengar lawak itu. “Hantu-hantu yang berlegar-legar di sini semuanya boleh lagi aku tengok kerana tidaklah horror macam di Malaysia.” Saya balas kembali, “Tengoklah orang kita makan belacan, mat salih makan spageti, sebab itu hantunya kacak-kacak. Tunggu aku pulang, aku belikan kau hadiah beg tangan yang kau idamkan.” Aku hanya tersenyum!
 
*Dipetik dari GLAM Feb 2012
 
 

See also
Korner Mak Datin: Datin Merana, Kahwin Datuk 'Tin Kosong'