Penyakit Orang Kaya Akibat Tekanan Status dan Harta

GLAM Expose: Keeping Up With Joneses: Penyakit Orang Kaya Akibat Tekanan Status dan Harta

Teks: Tengku Ashley Hassan

 

Apakah kemewahan itu simbol untuk menunjukkan anda lebih daripada orang lain? Apakah orang biasa- biasa sahaja bukan tandingan anda? Pada tahun baru ni, apa kata anda renung diri sejenak. Tanya pada diri, adakah sebelum ini anda terlalu sibuk untuk membuktikan diri anda lebih hebat daripada orang lain apabila anda memiliki barangan berlabel mewah dan terkini? Apakah anda rasa anda bangga dengan rumah yang ruang tamunya seluas dewan? Memiliki kereta mewah melebihi lima buah? Atau apakah anda sering berasa iri pada teman-teman yang lebih daripada anda? Selongkarlah jiwa anda, selak kembali helaian nurani, selaminya diri sedalam-dalamnya.

 

Apakah selama ini anda sentiasa bersaing dengan teman-teman atau jiran tetangga demi membuktikan status gaya hidup? Jika hati anda mengatakan ya, mari bermuhasabah diri. Didiklah hati, asuh jiwa untuk menghilangkah perasaan sebegini.

 

Hal sebegini adalah lumrah. Memiliki keinginan untuk lebih daripada orang lain, cemburu pada kelebihan orang memang sering hinggap pada diri. Emosi cemburu kerap hadir bertamu di dalam hati. Memang ramai berasa kurang senang kalau orang lain lebih daripda mereka. Mereka iri jika jiran sebelah ada kereta lebih hebat, suami lebih kaya atau ganteng kerana itu memang fitrah manusia yang sentiasa mahu lebih hebat, lebih pandai, lebih cantik dan lebih kaya daripada orang lain. Usahkan orang kaya atau sosialit yang bersaing sesama mereka orang orang biasa pun ada naluri yang serupa hatta hati mereka tidak akan senang melihat jiran tetangga membeli perabot baru atau perkakas elektrik yang lebih canggih. Mereka akan memaksa suami mendapatkan barangan yang lebih mahal atau sekurang kurangnya serupa. Same goes to those in high society. It’s just about more zeros at the back!

 

Nah kerana itu saya terpanggil untuk membongkar sisi hidup sosialit kota yang rata-ratanya mempunyai penyakit hati atau dalam bahasa kasar ia adalah satu penyakit mental. Kerana diri tidak pernah berasa cukup, tidak pernah rasa puas, masih tercari-cari apa yang mampu ditunjukkan agar diri gah dipandangan orang. “Oh dia pakai tas Gucci musim bunga tahun lepas, lihat aku, antara yang terawal memiliki beg Gucci terbaru,” ujar Datin yang sanggup ke Paris beratus kali dan beratur panjang untuk dapatkan koleksi terbaru beg berjenama itu. Penyakit orang kaya!

See also
Eminem Senaraikan Kediaman Agam Pada $2 juta!

 

Saya diceritakan oleh seorang teman mengenai Datin Seri yang satu ini. Dia memang gemarkan barangan berjenama, dengan pangkatnya saya percaya dia mampu memiliki koleksi berjenama tanpa perlu dicatu. Uups, tetapi saya lupa Datuk Seri sudah penuhkan kuotanya. Jadi duit allowance Datin Seri terpaksalah dibahagi-bagi dengan yang kedua, ketiga dan keempat. Lucunya semua isteri Datuk Seri kaki kikis. Patutlah rambut Datuk Seri tinggal sehelai dua helai sahaja. Datin Seri dan madu-madunya sentiasa berentap antara satu sama lain siapa dapat beg terbaru dan lebih mahal. Siapa pandai pujuk rayu, dialah untung. Semua isteri Datuk Seri ni memang cantik-cantik belaka termasuklah Datin Seri yang berusia 48 tahun. Tetapi semua tidak bekerja dan hanya mengharapkan duit Datuk Seri untuk melayari kehidupan mewah. Sehingga ada insiden tarik menarik rambut dan tampar menampar sesama madu kerana salah seorang daripada mereka mendapat tas Kelly yang baru! Aduh bukan Datuk Seri yang menjadi rebutan, sebaliknya beg tangan berlabel!

 

Menurut kajian Vladas Griskevicius yakni Profesor psikologi dari Universiti Minnesota, wanita yang sudah punya pasangan dan sering mendambakan barangan berjenama ingin membuktikan yang dia mengahwini dengan lelaki yang berstatus kaya raya, memberi keyakinan tinggi pada dirinya dan apa yang melucukan ia juga bertujuan untuk memberi amaran kepada wanita lain untuk tidak merampas pasangannya. “A designer handbag or a pair of expensive shoes seems to work like a shield, where wielding a Fendi handbag will successfully fend off romantic rivals,” kata Griskevicius lagi.

 

Masihkah kita ingat zaman kegawatan Malaysia pada 1997? Tahun hitam itu cukup memberi kesan pada saya apabila ayah saya yang duduk di kerusi selesa akhirnya bergelar penganggur. Dugaan hebat. Begitu jugalah dengan nasib Datin ini. Suaminya orang besar politik dan ada beberapa perusahaan. Dia antara mangsa tahun hitam buat Malaysia. Habis segala bisnes lingkup sekelip mata. Datin ini dulu memang terkenal dengan kehidupan ‘lady of leisure’. Mana-mana parti fesyen ibu kota dia tetamu wajib dijemput! Anak-anak pun memang bermandikan wang ringgit, all are spoiled brats.

 

See also
H&M STUDIO Musim Bunga 2023 Pertaruh Gaya Maksimal

Selepas jatuh muflis bini kedua dan ketiga angkat kaki awal-awal minta cerai. Segala kereta dan rumah yang Datuk berikan pada mereka selamat di tangan mereka. Datinlah menjadi kambing hitam. Rumah agam cliché orang kaya yang di depan ada guard house belakang rumah ada rumah kecil untuk lima pembantu, senang cerita bak istanalah keluasan rumahnya. Ya rumah ini harus dijual untuk membayar segala hutang tertangguh Datuk yang jatuh muflis. Kereta Jaguar, Mercedes S Class semua terpaksa dijual. Kejutan drastik ini membawa mereka suami isteri dan enam beranak tinggal di rumah apartment! Saya diceritakan, bahawasanya di hari terakhir sebelum Datin keluar dari rumah banglonya, dia menangis meraung sehingga bergema-gema seluruh rumah yang sudah kosong itu. Begitulah hancurnya hati Datin meratap kesedihannya yang tidak tertanggung. She was at the peak of her life and at one second she loses everything! Episod hidupnya bertambah teruk apabila Datin menelan berbiji-biji pil tidur akibat kemurungan. Anak-anak telefon kakak Datin beritahu Datin tidur tidak bangun-bangun dan mereka sudah kelaparan kerana tiga hari tidak makan. Keluarga semua turun padang membantu Datin untuk pulihkan semangatnya. Anak sulung yang masih menyimpan hasrat untuk mengelola perniagaan bapanya juga mengalami tekanan perasaan yang kritikal apabila berkurung di dalam bilik tidak keluar-keluar selama lima tahun. Badan kurus kering. Semua gara-gara tidak dapat menerima hakikat that life was not as colourful as before. Impak daripada ekonomi Datuk jatuh merundum seluruh keluarga seperti mental. Hari ini, adalah Datuk dapat projek sana sini sikit atas belas ehsan kawan-kawan politiknya. Datin masih berdegil mahu tinggal di kawasan perumahan agam, walaupun sebenarnya dia tidak mampu! She doesn’t know how to live as an ordinary person any longer. Hidupnya perlu ada DNA mewah. Rumah itu dia tidak mampu untuk membeli sanggup bergolok gadai membayar RM5,000 sewa setiap bulan. Jangan bagi dia krim Nivea, dia memang tak akan tahu nak pakai, krim dia La Mer selayaknya. Begitulah umpamanya taraf hidup tinggi Datin ini walaupun dihimpit kegawatan ekonomi yang kronik. Satu tekanan perasaan yang berlanjutan.

See also
Seks Bikin Anda Langsing - Bahagian 1

 

Kisah Datin tadi berkait rapat dengan kajian Steve Lewit, Pengarah Eksekutif Wealth Financial Group. Dia melabelkan trend ini sama seperti ‘ratchet effect’ di mana perbelanjaan yang semakin meninggi membuatkan kita sudah terbiasa dengan gaya hidup itu sehingga kita tidak boleh menurunkan gaya hidup kita kembali kepada asal.

 

Dan kisah social climber yang berjaya bergelar sosialit pada hari ini tidak pernah surut dengan gosip-gosipnya. Lahir dalam keluarga susah, dia menukar takdir hidupnya berdamping dengan golongan atasan sehingga dia berjaya memiliki perniagaannya sendiri hari ini. Dia paling tidak mahu orang melihat dia tidak berduit. Dan pada masa sama dia amat benci jika ada yang lebih darinya. Mulalah dia menabur fitnah apabila si polan dan si polan bershopping sakan. “Alah kawan I pernah terserempak dia tengah shopping beg gred AAA dekat Korea. Kalau dia ada10 beg, dua tiga saja yang tulen!” Melulu dia serkap jarang apabila temannya membeli beg Bulgari Serpenti yang sudah lama diidamnya. Sama juga masalah dengan kereta dan hartanah. Dia tak akan puas hati kalau dalam kumpulannya ada yang lebih dari dia. Mulalah dia jadi cacing kepanasan. Selang beberapa bulan atau minggu pasti akan beli yang baru juga. Kasihan saya melihat dia, jiwanya seakan tidak tenteram.

 

Masalah ini bukanlah sebenarnya penyakit mental, tetapi jika ia berlarutan ia akan menyebabkan satu kemurungan dan tekanan perasaan yang kritikal. Simptom ini boleh diubati dengan mengadakan beberapa sesi kaunseling bersama psikiatri. Lepaskan rasa hasad dengki, bersihkan rohani anda, give back to society. It’s not all about you. The world is meant for sharing. Bersainglah secara sihat untuk peningkatan taraf hidup. Kongsikan rezeki anda dengan mereka yang memerlukan.