Futuristik dan moden pada Hotel City of Dreams di Cotai, Macau nyata membiaskan sentuhan magis arkitek terkenal Zaha Hadid. Projek pembinaan hotel berskala mega yang dimiliki oleh Melco Crown Entertaiment ini mempunyai 40 tingkat dengan keluasan 150,000 kaki persegi yang menempatkan 780 bilik tetamu, suites dan sky villa. Hotel ini turut menyediakan kemudahan seperti spa, kolam renang di ruang bumbung dan kemudahan lain yang bertaraf lima bintang. Menyentuh mengenai rekaan hotel ini, kombinasi dramatik dan paduan kejuruteraan berteknologi tinggi jelas kelihatan pada lakaran ilustrasinya.
Bentuk rekaan segitiga unik yang membaluti rekaan luar bangunan manakala elemen tradisonal disuntik penuh dengan nada sensasi terutama sekali pada bahagian siling, dinding serta bumbung hotel yang meliputi hampir keseluruhan lokasi awam. Melihat pada reka bentuk ini, hanya dua perkataan selayaknya diperkatakan iaitu mengagumkan dan berkuasa. Hotel ini dijangka siap pada tahun 2017 dan bakal menjadi mercu tanda unggul sebagai salah satu bangunan terunik di dunia.