GLAM Expose: Humble Bragging Di Instagram Dan Realiti Kehidupan Di Sebalik Fantasi: #blessed - Glam Malaysia

GLAM Expose: Humble Bragging Di Instagram Dan Realiti Kehidupan Di Sebalik Fantasi: #blessed

expose jan16
 
Teks: Azza Farhana
 
Berkat waktu kita bertemu sekali lagi di ruangan ini. Sebelum saya memulakan bicara bulan ini, saya ingin bertanya berapa kerapkah kita mensyukuri segala nikmat yang diberiNya? Ya, panjatkan rasa syukur diberi anak-anak yang baik lagi bijak, suami penyayang, tubuh badan sihat walafiat, kehidupan serba ada – cukup makan, pakai and you have roof over your head. Apa lagi yang kita mahu? Dan bagaimana pula cara kita bersyukur? Tentunya kala setiap kali kita sujud mengadapNya, malah cerminan syukur datang daripada perbuatan juga. Contohnya berkongsi rezeki dengan mereka yang kurang bernasib baik ataupun sekadar bersederhana tanda syukur dengan apa yang ada.
 
Namun pada era digital di mana telefon pintar menjadi necessity sepenting kunci rumah, media sosial menjadi medium baru untuk ‘memanjat kesyukuran’. Kebahagiaan dan kelebihan diri dikongsi secara umum di media sosial tanpa segan silu dan kayu ukurannya terletak pada bilangan ‘like’. Platform sosial seperti Instagram khususnya menjadi gelanggang kepada ramai orang untuk ‘mementaskan’ kebahagiaan yang sudah ‘diedit’ atau filter. Bila saban hari berkongsi gambar filtered, maka kita akan mulai mempercayai fantasi berbanding realiti. Maka saya terpanggil untuk membincangkan topik #blessed yang saya rasa cukup hangat diperkatakan kini.
 
Mungkin sudah menjadi trend sekarang apabila ramai yang seakan menggila dengan aneka hashtag yang kadang-kala lucu bunyinya. Hashtag #blessed antara sebilangan yang paling kerap dijadikan bahan debat. Mungkin benar, orang yang berkongsi #blessed betul-betul berniat ikhlas. Akan tetapi, jikalau begitu kerap boleh mengundang meluat dikalangan teman-teman yang melihat. Setiap gambar di akaun Instagram memaparkan kebahagiaan maha hebat – hidup berselimut kemewahan, suami peluk cium setiap hari, anak-anak comel belaka dan shopping berjenama pula berbeg-beg sepertikan wang ringgit tiada lagi nilainya. Caption tanda syukur diakhiri dengan #blessed. Oh, orang yang saban hari menilik Instagram pun boleh sakit jiwa dibuatnya.
 
Apa benar dengan meletakkan #blessed ini adalah hanya untuk mengaburi niat takbur diri and to fish for a compliment? Sakan bergambar di menara Eiffel Tower, Paris dan caption pula di tulis dalam bahasa Perancis “On ne change pas une équipe qui gagne… #blessed”. Lalu berderu-deru lah komentar menulis betapa mereka mahu ke sana juga dan kata-kata pujian yang klise. Yang seorang ni pula memuat naik gambar jari manisnya bersarung cincin berlian besar persis cincin milik Kanye West sewaktu melamar Kim Kardashian. “Oh, finally he put a ring on it! Fainted! #diamondring #15carats #unexpectedsurprise #blessed”. Inilah dia fenomena baru yang digelar humble bragging. Menunjuk-nunjuk kebahagiaan sehingga mengundang rasa kurang senang. Begitulah hebatnya impak sosial media jikalau kita tidak bijak mengekang penggunaannya. Kawan boleh jadi lawan. Daripada sayang mampu bertukar benci. Tetapi tidak semuanya indah dalam hidup ini. Saya suka dengan kata sinis Alexa Chung, “No one is as happy as they seem on Instagram.” Di Instagram sempurna belaka. But what happens behind closed doors? Bukan niat mahu menjaga tepi kain orang, tetapi tidakkah janggal apabila apa yang dimuat naikkan langsung tidak serupa dengan hakikat sebenarnya? Sudah terang, lagi bersuluh!
 
QUEEN OF HASHTAGS

Saya akui saya juga salah satu daripada ratusan ribu peminatnya di Instagram. Sekejap dimuat naik gambar fokus tangannya berpegangan dengan suami. Captionnya bertulis, “Out for a candle-lit dinner with my better half.” Satu gambar bersama suami dan anak-anak di atas katil. Gambar meluncur ais bersama suami dan ratusan gambar intim bersama suami. Satu KL tahu itu semua lakonan semata-mata kerana suaminya itu popular betul sebab tabiatnya yang suka ‘makan luar’. Siapa sangka wanita ‘paling bahagia’ ini sebenarnya sedang berpaut pada rumahtangga yang sedang retak menanti belah.
 
Ada satu insan yang amat saya sanjungi, bercerita bagaimana dia terserempak dengan si suami itu berkucupan mesra dengan seorang selebriti popular di tempat letak kereta di Starhill Gallery. Dan ada juga manusia yang terserempak suami dan selebriti tersebut berjalan-jalan berpegangan tangan persis kekasih di Los Angeles. Bukan dia tidak tahu lelakinya seperti itu kerana banyak mulut yang sudah memberitahu. “I told him (suami), kalau benar ada perempuan lain, pastikan I tak nampak dengan mata kepala sendiri. Kalau tidak, tahulah akibatnya” Kalau kita dalam situasi wanita itu pun, entah-entah kita pun akan berkata yang sama. Kalau dah tidur atas duit, siapa pun akan tutup sebelah mata!
 
Sifat materialistik juga terpancar jelas daripada koleksi-koleksi gambar di Instagram. Flatlay dengan kemas koleksi sedondon antara beg Fendi dengan kasut Roger Vivier, kaca mata hitam Dior bingkai emas senada dengan jam klasik Cartier yang juga emas. Caption dibawahnya, “Brunch with the crew. #blessed” Dan bersedialah untuk post seterusnya di mana dia akan upload gambar sarapannya yang serba kelas, contohnya smoked salmon with avocado, poached eggs on toast. Mana mungkin nasi lemak daun pisang dari gerai makcik layak mencabuli timeline Instagramnya yang punya class all the way!
 
“Tak sabar menunggu my birthday!” kata teman kala kami berbual santai di kafe dalam Harrods, London. “I mahu perempuan tu sakit hati apabila dia tengok gambar latest Kelly yang hubby I belikan. Ingat dia seorang saja yang ada?!” Itulah orang kalau hati sudah tersumbat dengan niat jahat. Maka benarlah pada hari lahirnya, wanita itu pun menayangkan beg Kelly rona ungu melalui satu muat naik di Instagram. Captionnya bukan main ‘syukur’ dan tentu sekali disambung dengan berbelas hashtag jenama sebelum diakhiri #blessed!
 
Ini kisah mengenai seorang businesswoman terkenal yang juga berkahwin dengan seorang hartawan. Di laman Instagramnya segala gambar yang disajikan boleh bikin sesiapa pun iri hati dengan kehidupannya yang sempurna. Dia bukan sahaja potray diri sendiri sebagai usahawan ‘berjaya’ menerusi foto-fotonya ‘bekerja’ di pejabat, malah dia turut menggambarkan diri sendiri sebagai isteri dan ibu mithali. Cemerlang di pejabat, hebat di dapur. Kecur liur dibuatnya melihat gambar-gambar masakan kampung yang dimasaknya. Bukan dua-tiga jenis ya, tapi lapan hingga ke sepuluh jenis. Sebut saja semua ada daripada gulai tempoyak ikan patin sampai ke asam pedas ikan jenahak hinggalah lobster masak balado. Wah, dengan lapik daun pisang di atas pinggan mangkuk mahal, presentation bak restoran! Asalnya saya dan rakan-rakan bertanggapan yang wanita ini memang hebat apabila masih rajin masuk dapur walau ada beberapa pembantu di rumah. Tapi rasa kagum itu mati begitu sahaja apabila suaminya sendiri bercerita pada orang lain yang lauk-pauk itu semua tukang masak yang masakkan. Isterinya ini kerjanya tangkap gambar sahaja. Tepuk dahi saya tertipu dengan wanita cantik ini. Kisah dia tidak berakhir di situ saja. Dah penat-penat ‘masak’ 10 jenis lauk setiap hari, si suaminya kepingin bernikah baru. Dalam Instagram posing berkasih sayang, dalam kehidupan sebenar, pinggan yang melayang. Sudahlah diduakan, suami pula senang angkat tangan. Terbit pula rasa kasihan saya pada wanita ini mengenangkan suaminya yang baran dan kaki pukul. She can fake the dishes but she can’t hide her sadness. Sekarang ini khabarnya dia membawa anak-anak bercuti pusing satu dunia bagi mengubat duka yang sedang dipendamnya.
 
Satu cerita lucu, dulu dia Datin tetapi tidak lagi sekarang. Boleh jatuh pengsanlah kalau tengok si dia memuat naik gambar intim dengan bekas suaminya. Satu gambar dimuat naik bersama Datuk di tepi pantai Mauritius dan 30 minit kemudian gambar pemandangan dari suite The Oberoi yang membentang lautan nan membiru. Dan 30 minit seterusnya satu lagi gambar yang dibahagikan kepada empat petak di mana setiap petak tersebut ada wajahnya dan suami. Rentetan hashtag berbunyi, “#lovinglife #loveofmylife  #livinginmauritius  #happy #loved #blessed”. Percutian mewah sebegitu tentunya buat semua orang  berasa blessed? Apa yang mengundang kejutan adalah apabila empat bulan selepas itu, tanpa  angin, tanpa ribut, si isteri menikah dengan orang lain dalam sebuah resepsi besar-besaran di hotel lima bintang di ibu kota. Habis semua gambar-gambar di Mauritius dengan bekas suami dipadamkannya!
 
Tapi jangan ingat semua isteri bergantung pada suami sahaja. Contohnya sosialit yang seorang lagi ni, dia memang kaki jenama dan selalu ada shopping trip ke Paris dan London. Setiap kali beli barang, captionnya lebih kurang begini, “Thanks baby! #chanel #ruecambon #chanelparis #blessed.” Wah, sayang sungguh suami sampai sanggup habis beratus ribu membeli barangan idaman isteri. Tapi umum pun tahu, sosialit ini memiliki bisnes besar dan suami pula hanya seasoned politician sahaja. Tak mungkin mampu menampung gaya hidup isteri yang high maintenance. Walaupun si suami kerap brush shoulders dengan pak menteri, tetapi tak semestinya poketnya tebal. “Yes, actually I bought everything with my own money. But people don’t have to know that…” ujar sosialit itu lagi.
 
Saya sendiri melopong saat mendengar cerita mengenai ahli perniagaan yang kacak ini. Ya Tuhan… kalau di akaun Instagramnya semua captions sangat islamik. Gambar bersama anak-anak yatim, buat kenduri doa selamat setiap bulan. Gambar solat jemaah bersama keluarga, gambar pergi solat Jumaat. Cakap benar saja, hashtags dia memang boleh kalahkan Wak Doyok… berjela-jela! Kalau hari Jumaat tu, rajinlah dia memuat naik hadis-hadis Rasulullah. Satu hari saya diceritakan oleh satu Datin yang pernah menghadiri majlis ulang tahun yang disambut secara tertutup.
 
Datin ini kata sebelum masuk diri di periksa secara terperinci dengan pengawal keselamatan seperti di lapangan terbang. Telefon bimbit, kamera semua tidak dibenarkan bawa masuk. Datin ini berbangsa Cina, sebaik dia masuk ke tempat eksklusif itu dia berasa seperti mahu keluar balik. Tahu kenapa? sampai-sampai sahaja ada pelayan perempuan Mat Salleh menawarkan minuman keras dengan hanya memakai seluar dalam thong dan bukan coli tetapi nipple cover dengan benang berjurai! Kata Datin ini rupa-rupanya satu dewan penuh dengan poles dan bersepah penari bogel yang diterbangkan khas dari Perancis menggunakan jet peribadinya! He literally spends a bomb for that event. Tarik nafas saya mendengar cerita ini.
 
“Was the wife invited?” tanya saya terkejut. “She was there and she looked fine!” jawab Datin. Tangan saya menutup mulut saya yang sudah sekian lama terlopong. Mungkin ia sudah menjadi budaya mereka, si isteri pun tidak heran dengan parti liar sambutan ulang tahun suaminya. Sambung Datin ini lagi semua pun mabuk teruk malam itu dengan lap dance dari penari bogel lagi. Umpama macam masuk di lembah maksiatlah orang kata. Datin yang sememangnya perut berkeroncong dan hajat di hati mahu makan di majlis hari jadi ini terus hilang selera. Mahu termuntah kerana kenyang tengok buah dada dan punggung. Dek kerana terlalu terkejut, Datin ini pulang awal dan tidak tahu apa yang berlaku di kesudahan majlis. Kisah ini berlaku beberapa tahun yang lepas dan sehingga ke hari ini rahsia itu tidak tersebar kerana tiada sekeping gambar pun menjadi bukti.
 
THE TRUTH BEHIND THE FILTERED LIFE

Begitu adanya manusia yang berpura-pura dalam hidup. Satu hal yang pasti, anda mungkin boleh menipu mata orang tetapi tidak boleh menipu diri sendiri.  Teman saya sewaktu kami berdiskusi topik ini memberi pendapatnya “Hei tak akan lah mahu muatnaik gambar tengah meraung kesedihan atau gred peperiksaan yang semuanya E dan D. Tak ada siapa mahu tunjukkan kecacatan diri masing-masing pada orang lain. Jadi kalau tidak suka, meluat dan sebagainya kita ada pilihan untuk unfollow pihak berkenaan.” Ya ada benarnya juga kata teman saya ini. Jangan jadikan media sosial sebagai medan menghukum orang. Biar semalam yang luput, menjadi secangkir kenangan. Gunakan hari ini sebaik mungkin kerana semalam telah pergi selama-lamanya dan hari esok belum tentu milik kita!

See also
Royal Selangor Melancarkan Koleksi Baharu Sempena Musim Luruh