Drama Minggu Fesyen Tagih Front Row Demi Status

GLAM Exposé: Drama Minggu Fesyen Tagih Front Row Demi Status

Teks Tengku Ashley Hassan

Sudah menjadi trend dikalangan sosialit kota yang berebut untuk mendapatkan jemputan ke pertunjukan fesyen. Jika mereka diundang, bermakna mereka adalah sosialit kota yang berkuasa and they are among the most influential people in the fashion industry. Tetapi jangan terperanjat sebenarnya, di sebalik acara glamor ini ada 1001 drama yang tercetus dari golongan atasan ini sendiri. Semua gara-gara masing-masing fikirkan diri mereka sudah hebat, kaya raya dan layak mendapat layanan first class agar orang yang melihat mereka tahu betapa penting dan tingginya darjat mereka.

 

Percaya atau tidak untuk menghadiri Minggu Fesyen ini ada sosialit yang sanggup berhabis-habisan untuk memastikan look mereka on point dan menjadi perhatian ramai. Entourage si sosialit akan memastikan dari hujung rambut hingga ke hujung kaki digilap hingga berkilau! Adalah dekat lima enam orang entourage yang menyiapkan satu sosialit. Jurusolek memang wajib ada selain penata gaya mereka. Selain itu ada juga jurudandan, tukang hias kuku dan jangan terkejut mereka ada jurugambar dan juruvideo peribadi untuk merakam setiap momen glamornya.

 

Tetapi terkadang itu, kasihan juga dengan orang-orang berduit ini. Mereka ingat mereka sudah hebat tetapi sentiasa menjadi umpatan orang. Apa tidaknya tentulah jadi buah mulut orang kalau pergi ke pertunjukan fesyen macam nak ke majlis red carpet? Mengapa pakai dress kembang-kembang sampai jemputan di kiri dan kanan pun terganggu dengan dress kembang itu? Atau mereka ini mahu berlawan sama dengan model yang peragakan baju di pentas? Dan ada juga yang pakai dress di mana train berjela-jela di belakang. Nak cakap orang kampung, tidak! Mereka ini semua berduit tetapi konsep pergi ke Minggu Fesyen itu sudah disalah tafsirkan.

 

Lucu pun ada kisah sosialit ini, mungkin mahu tunjuk dia kaya-raya pergi ke acara pertunjukan fesyen malam, dia bawa beg Birkin paling besar! Walhalnya kalau anda betul-betul faham fesyen, beg untuk ke majlis malam cukup sekadar tas tangan kecil kepit atau clutch. Ini sudahlah saiz tubuh tuan punya diri petite nampak beg lebih besar daripadanya. Tentunya dia tidak mahu letak Birkin yang berharga puluhan ribu ringgit di atas lantai, jadi dia pun terpaksa letak begnya di atas riba dan sekali sekali nampak macam riba anak pulak. Tubuh kecil moleknya bagaikan ditutup dengan Birkin dan buat penat sahaja melaram sebab tidak nampak pun outfit apa yang dipakai kecuali kepalanya sahaja.

 

Lain pula kisah sosialit yang satu ini. Memang selama ini satu Kuala Lumpur tahu jika dia bergaya dia memang akan all out. Bagus wanita macam inilah yang mewarnai industri fesyen tanah air. Pun begitu pada KLFW lepas dia telah buat drama dan menggertak pereka dan membuat si pereka fesyen serba salah.”Kalau you nak I hadir di show you, I mesti ditempatkan di front row, kalau tidak I memang tak akan datang. You tahu kan I kalau pergi event, I wajib tempah baju baru, panggil orang mekap, dandan rambut I dan buat kuku I. Semua itu duit tau!” Nak dijadikan cerita tempat duduk baris hadapan habis diisi dengan media dan influencers yang selayaknya pun duduk di front row. Apabila dikhabarkan yang dia tidak dapat duduk di barisan hadapan itu, dia terus tidak muncul untuk pertunjukan fesyen itu. Dan hanya menghantar pesanan ringkas kepada pereka, “You just loose your biggest client!”

See also
Senarai Penuh Pemenang Anugerah Grammy 2016

 

Satu kisah lagi adalah mengenai jutawan yang naik berang kerana hanya dia seorang ditempatkan di kerusi baris hadapan sedangkan suaminya diletakkan di baris belakangnya. Dalam keadaan marah-marah, pereka fesyen itu cuba menerangkan situasi dan dia enggan mendengar penjelasan terus menjerit dengan kuat, “Where do you guys put your brains? Spouses should be sitting next to each other!” Tanpa berlengah lagi dia terus menarik tangan suaminya dan beredar. Terpinga-pinga jemputan lain melihat drama itu. Dan sejak daripada peristiwa itu dia tidak lagi membeli baju koleksi daripada pereka yang kononnya pereka kesayangannya.

 

Satu lagi kisah mirip seperti cerita dia atas, tetapi dia RSVP untuk dua orang. Ya, benar dia tetamu VIP tetapi rupa-rupanya dia bawa rombongan saudara-mara dia sekali ke pertunjukan fesyen. Selamba sahaja dia mengarahkan rombongannya ambil tempat duduk orang lain walaupun sudah ada nama di kerusi. Sudahlah kecoh ramai yang mengamuk tempat duduk mereka di ambil orang. Kucar-kacir jadinya dan pihak penganjur terpaksa menjawab persoalan kerusi tidak cukup itu. Dan dia dengan selamba buat muka tak paham sahaja. Sungguh memalukan!

 

Menyampah pun ada dengan social climber ini, dulu perangainya tak macam ni, tetapi setelah dapat tangkap ikan besar mulalah keluar fiil divanya. Kata orang PR label mewah, kalau mahu dia hadiri show, dia ada ada bagi list apa yang dia mahu. Dia demand layanan first class macam dia Mariah Carey pula! Sekarang kalau di majlis fesyen, orang kalau tidak menegurnya dulu, dia tak akan menegur orang, jalan pun dah mendongak ke langit. Ya lah dia rasa dialah Queen Bee sekarang di ibu kota sehingga orang terpaksa merayu-rayu untuk dia datang ke pertunjukan fesyen.

See also
Lady Gaga & Angelina Jolie: Sakti Godaan Mereka Sebagai Perampas

 

Kisah boikot memboikot pun boleh tahan di Malaysia. Datin Seri baik sangat dengan pereka yang satu ini, dan pereka yang satu ini bermusuhan dengan pereka yang sama waktu show dengannya. Demi memprotes pereka yang dimusuhi pereka kesayangannya itu, selepas habis baju pereka kesayangannya dipentaskan dia terus bangun dengan tiga temannya beredar keluar tidak mahu lihat langsung rekaan pereka yang dimusuhi itu. Biadap pun ada seperti tidak hormat majlis. Sudahlah tempat duduknya di baris hadapan. Sudahlah rongak tempat duduk di baris hadapan.

 

Satu lagi Datin ini, dia ingat dia pergi ke pertunjukan fesyen di luar negara, dia seorang sahaja orang Malaysia. Dia lupa agaknya yang media bersepah di setiap pertunjukan fesyen untuk buat liputan. Waktu itu acara musim luruh/sejuk di Korea. Konon bertudung, tetapi di sana dia dah lupa diri dan meneguk champagne sewaktu after party sampai mabuk-mabuk. Apa lagi media di sana perhatikan sahajalah gelagat Datin ni.

 

Ada yang demand tak mahu menghadiri fashion week di KL kerana tidak dapat menayangkan aset termahalnya iaitu buah dada. Pernah dia muncul ke Minggu Fesyen ibu kota dengan baju plunging, hadirin yang hadir sepertikan tidak dapat fokus pada pertunjukan yang diperagakan model, sebaliknya asyik mengerling ke buah dada yang bikin sesiapa pun terliur jika merenungnya. Dan selepas menjadi buah mulut orang mengutuk pakaian seksi mautnya itu, dia langsung tidak pernah menjejakkan kaki di Minggu Fesyen Kuala Lumpur.

 

Satu mak Datin ini pula terkejar-kejarkan untuk mendapat jemputan fashion show di luar negara, kerana dia mahu berlagak menunjuk kekayaannya dengan sosialit kaya-raya dari seluruh dunia yang hadir untuk pertunjukan fesyen itu. Baginya kekayaan yang dimilikinya itu tidak dapat ditandingi teman-temannya di Malaysia. Untuk dapatkan jemputan ke Minggu Fesyen di luar negara, mak Datin ini menjadi mangsa fesyen dengan pulun membeli barangan daripada satu jenama ini hingga cukup kuota yang melayakkan dia mendapat jemputan. Jadi kerana lahap untuk jemputan itu, dia membabi buta beli sahaja tanpa henti bagi cukupkan kuota tersebut. Apabila sudah mendapat jemputan, target dia di sana, untuk cuba buat contact dengan golongan atasan dari serata dunia yang menghadiri pertunjukan fesyen yang sama dengannya. Tamat Minggu Fesyen, pulang sahaja ke tanah air, Datin sudah hubungi teman-temannya untuk berjumpa. Seronoklah Datin berlagak bercerita dengan teman-temannya yang dia berkawan dengan hartawan China, jutawan Jepun, sosialit India sambil menunjuk gambar-gambar mereka sewaktu melepak di kafe-kafe di sana. Bagi Datin ini ia menjadi satu kepuasan untuknya dapat bergaul dengan orang-orang kaya dari serata dunia kerana ia membuktikan contactnya lebih luas daripada group mak-mak Datin yang lain.

See also
Kebaikan Yoga Untuk Kesihatan

 

Sudah empat lima tahun Datin Seri mendapat jemputan Minggu Fesyen London dan Paris. Dan setiap kali itulah dia akan terbang dua minggu awal ke London. Datin Seri hanya terbang dengan luggage kosong sahaja. Patutlah, rupa-rupanya dua minggu sebelum fashion show berlangsung, Datin Seri bershopping sakan untuk #OOTD nya nanti di minggu fesyen. Semuanya dibeli serba baru termasuk barang kemas dan jam tangan! Agenda shopping berlanjutan setiap hari. Ada pekerja khas yang ditugaskan untuk memikul kesemua paper bag hasil belian Datin Seri. Jujur saya kata dua orang pekerja yang menjinjing beg kertas label pereka ini pun sesak nafas tidak cukup tangan, semua gara-gara demi #OOTD Datin Seri nanti. Selesai ‘berburu’ di London, mereka terbang ke Paris pula. Di Paris Datin ini dikenali sebaik melangkah saja ke rumah-rumah fesyen tersohor dunia seperti di Chanel Rue Cambon, Dior, Louis Vuitton, Fendi, and the list goes on. Semua pengurus butik sepertikan ‘sembah ratu’ pada Datin Seri. Pelanggan ’Mat Salleh’ yang lain terus diabaikan. Semua berlumba-lumba mahu berikan khidmat pada Datin ini yang seleranya hanya dambakan limited edition saja. Almaklum ‘tips’ yang diberi sangat lumayan. Jutaan ringgit habis dibelanjakan hanya demi #OOTD di Fashion Week. Gila!

 

Begitulah 1001 kisah drama di Minggu Fesyen yang datangnya daripada golongan atasan. Kalau nak ikutkan banyak lagi cerita yang mahu saya kongsikan tetapi bimbang cerita-cerita yang didedahkan ini akan buat satu KL bergegar! Hairan saya kerusi menjadi penentu anda ini penting ataupun tidak walhal di Minggu Fesyen Paris, Milan, London dan New York waima orang kaya raya sekalipun tetap diberi tempat duduk belakang. Dan mereka mengerti ada orang yang lebih layak untuk duduk di baris hadapan seperti barisan Editor, penulis fesyen, bloggers dan fashion buyer yang ke pertunjukan itu atas tuntutan kerja. Dan sekiranya mereka adalah pembeli yang terbanyak yang dicatatkan di pejabat induk, maka layaklah mereka di front row. Pendek kata, orang kita masih ramai yang tidak tahu tatacara majlis untuk pertunjukan fesyen. Jangan ingat jika ada pangkat, nama besar anda layak diberi layanan kelas pertama. Belajarlah untuk menghormati majlis orang. Jejakkan kaki ke tanah jangan terus menerus mendongak langit mengira bintang.

 

Dipetik daripada GLAM Malaysia Isu September 2017