Datin X: Menunjuk-nunjuk Di Media Sosial
Zaman sekarang memang parah. Dengan revolusi teknologi masakini, media sosial mendekatkan segala yang jauh, memudahkan setiap yang sukar. Di halaman Facebook, Twitter dan Instagram, segala yang peribadi terhidang jelas untuk satu dunia lihat (dan komen!). Aib orang dibincangkan secara terbuka tanpa segan silu. Seronok juga Datin X menjadi stalker melihat gelagat manusia-manusia ini. Macam-macam perangai. Ada bodoh sombong, ada yang low self esteem, ada kaki menunjuk, ada yang asyik mengeluh, yang over confident juga ramai dan tak kurang juga ramai yang suka membuat provokasi. Lebih-lebih lagi fasal politik, debatnya megalahkan Parlimen! Dasar tin kosong!
Ramai juga manusia di luar sana yang layak bergelar professor serba tahu sebab bab memandai-mandai menasihat orang memang nombor satu. Ambil kesempatan pada segala apa yang boleh dijadikan bahan perbincangan. Inilah dia bahana media sosial yang sudah tidak boleh dikekang lagi. Setiap gelora emosi dicatat secara tepat mengikut hari dan masa sampaikan orang luar boleh meneka apa yang berlaku behind closed doors.
Datin X sudah beberapa kali berjaya ‘meramal’ status relationship beberapa orang. Dari bunyi status yang agak semacam – mengeluh dah kecewa – bila diikuti perkembangannya, Datin X boleh rasa yang rumah tangga si polan itu sedang menuju keruntuhan. Dan ya, tepat sekali tekaan Datin X bila mengetahui perkara sebenarnya.
Datin X tak rasa patut letak 100 peratus kesalahan pada manusia-manusia bacul yang mengata sekadar di laman online sahaja. Sebab tukang upload gambar atau status pun patut dipadankan muka sebab dia dulu yang mengundang membuka pintu untuk dikutuk. Betul tak? Paling sedih bila silaturahim yang sudah bertahun terjalin juga boleh hancur dalam sekelip mata dek penangan status-status memerli dan menghina yang membuatkan orang lain terasa walaupun pada awalnya tak ada kena mengena!
Datin X terpanggil mahu memberi komen mengenai dua tiga orang ini yang begitu galak sekali update album-album di Facebook dan post gambar-gambar lifestyle. Macam hebat sangatlah gaya hidup mereka. Mungkin benar apa yang ditayang. Tapi kalau asyik letak foto berpeluk cium dengan suami sampaikan naik geli orang melihatnya, jadi macam mana? Bukan orang kat luar tu tak tahu apa yang sedang bergolak dalam rumah tangga mereka, apa yang laki mereka buat di luar… opps!
Mungkin orang sebegini saja mahu tunjuk pada dunia yang dia sangat bahagia dan memiliki segala-galanya. Nak berkongsi boleh, tapi ingat jangan jadi sampai naik riak pula. Nikmat Tuhan bila-bila masa boleh ditarikNya. Cara paling selamat adalah kesederhanaan. Kita pun jangan lupa… dalam kita berseronok (dan menunjuk), ada orang lain yang sedang bersedih. Jadi tak perlulah nak over sangat.
Eh, Datin X lupa nak cakap… media sosial ni pun ramai yang bergelar alim copy paste. Segala macam ayat dan sunnah dicopy dan paste balik ke status. Kalau tengah jiwa kacau dan buat sekali dua boleh faham lagi, tapi bila dah berantai pulak statusnya, orang pun naik meluat. Klik pada album… ha, itu dia. Parti tak ingat dunia. Skirt masih pendek, baju masih tak berlengan, rambut masih perang berkepuk-kepuk, tangkap gambar berpeluk dengan yang bukan mahram. Apa kata paste je ayat-ayat alim tu pada gambar sendiri. Elok ke tidak?
Itu belum lagi komen pasal buat muka cucuk semua. Dalam pada itu, tiba-tiba Datin X tersenyum lebar melihat satu status yang keluar dalam timeline Datin X. Seorang kawan ni upload gambar yang berupa quote. Rasanya dia pun dah naik jelak dengan golongan alim copy paste ni. Tulisnya, “Your God-fearing Facebook updates do not cause me to forget the godless whore you were in high school”. Hmm, memang kena!
*Dipetik dari GLAM Mac 2013