Cuti Tanpa Stress

Cuti Tanpa Stress

GLAMJR April Mei 2014

Kadang-kala lucu pula bila memikirkan cuti sekolah bermakna tekanan perasaan kepada ibu bapa sehinggakan pergi melancong pun mampu melajukan degupan jantung dan akan sakit kepala. Atasi sebarang masalah kala bercuti dengan merancang percutian keluarga secara bijak. Atur perjalanan dan aktiviti yang akan dilakukan anak-anak. Perancangan awal dapat memaksimakan keseronokan bila bercuti nanti.
 
MERANCANG PERCUTIAN
 
Pilih Destinasi Paling Selesa
Lupakan kembara ke Machu Picchu, melawat setiap muzium di Paris atau ‘glamping’ di safari Afrika. Percutian dengan anak-anak perlu mengambil kira pelbagai faktor termasuk waktu tidur serta bangun pagi, tenaga melakukan aktiviti bagi anak-anak dan ibu bapa serta sama ada aktiviti-aktiviti yang dijalankan menarik minat mereka sepenuhnya. Paling utama, majoriti aktiviti atau aktiviti-aktiviti utama yang akan dijalankan seharusnya boleh dinikmati seluruh keluarga dan bukannya hanya seronok untuk beberapa orang sahaja.
 
Tentu sekali destinasi paling sesuai untuk percutian keluarga adalah ke lokasi tepi pantai memandangkan pelbagai aktiviti menarik untuk setiap peringkat umur boleh dilakukan di sana. Selain itu, destinasi taman tema seperti Disneyland atau Universal Studios juga ideal kerana seluruh keluarga boleh menghabiskan sekurang-kurangnya satu hari bermain bersama.
 
Satu lagi destinasi yang boleh dipilih adalah resort semua-dalam-satu yang menyediakan pelbagai aktiviti untuk seluruh keluarga tanpa perlu bergerak ke beberapa tempat berlainan sepanjang percutian.
 
Mengemas Beg
Usai memilih lokasi percutian, pastikan anda membawa segala keperluan untuk ke sana berdasarkan tempat yang dituju. Pertama sekali, senaraikan segala keperluan seisi keluarga sebelum mula mengemas untuk pastikan tiada apa-apa yang tertinggal. Satu panduan untuk menentukan apa yang perlu dibawa adalah cuaca yang dijangkakan serta aktiviti yang akan dijalankan. Contohnya kemeja-T, celana yang selesa, baju mandi dan topi untuk percutian tepi pantai, atau kot dan baju sejuk, celana fabrik tebal, kasut but dan sarung tangan untuk ke destinasi bersalju atau negara yang sedang mengalami musim sejuk. Jangan lupa, krim tabir suria serta salap bibir kerana ia penting dan dipakai ke mana saja destinasi anda tidak kira iklim dan cuaca. Kesan udara dan angin yang sejuk sama sahaja dengan kesan daripada matahari terik dan udara kering.
 
Apabila mengemas pakaian, pastikan ada persalinan lebih untuk satu atau dua hari sekurang-kurangnya. Anda tidak tahu kemungkinan yang akan berlaku di mana baju perlu ditukar atas sebab tertentu. Ia juga akan membantu jika terdapat kesukaran seperti penangguhan penerbangan dan seumpamanya.
 
Selain itu, jika anak anda ada suatu objek kegemarannya yang perlu ada setiap masa seperti bantal peluk, selimut istimewa atau teddy bear, jangan lupa membawanya jika tidak mahu sengsara sepanjang percutian. Percayalah yang dia tidak mungkin melupakannya.
 
MENUJU DESTINASI
 
Pilih Perjalanan Paling Singkat, Cepat Dan Selesa
Anak-anak yang kecil mahupun yang sudah besar memang tidak boleh diharap untuk duduk diam-diam di dalam kereta. Lantas cara terbaik adalah dengan tidak membawa kereta dan terbang sahaja ke sana. Selain cepat tiba anda dapat mengurangkan peluang anak-anak bergaduh atau menimbulkan masalah. Kaedah ini juga mengurangkan penggunaan tenaga jadi seluruh ahli keluarga tidak kepenatan dan cranky bila sampai di destinasi nanti.
 
Penuhi Masa Mereka
Sementara itu, pastikan tiada peluang bagi anak-anak menimbulkan kekecohan dengan menyediakan aktiviti untuk dilakukan dalam perjalanan berdasarkan minat masing-masing. Perlu ada kertas atau buku conteng, pensel warna dan krayon bagi yang suka melukis dan beberapa buku menarik bagi yang suka membaca. Jangan abaikan anak remaja. Mungkin anda mengharapkan mereka pandai berkelakuan baik namun mereka juga akan kebosanan jika tidak buat apa-apa sepanjang perjalanan. Jika perlu hulurkan gajet agar mereka dapat menikmati perjalanan sebelum tiba ke destinasi.
 
ENJOY YOUR HOLIDAY!
 
Rancang Aktiviti Namun Kekal Fleksibel
Susun jadual aktiviti-aktiviti yang akan dijalankan sepanjang percutian. Cara ini akan memastikan anda memanfaatkan setiap waktu di sana dan semua yang terlibat dapat melakukan akitiviti yang ingin dilakukan masing-masing. Semasa merancang, faktorkan juga waktu bangun pagi, waktu rehat antara aktiviti dan waktu tidur yang ideal agar semua orang punyai tenaga mencukupi untuk menjalankan aktiviti seterusnya pada hari berikutnya. Satu elemen penting adalah masa perjalanan antara satu tempat ke tempat yang lain. Gagal untuk mengira faktor ini mampu mengganggu aliran aktiviti anda. Jangan lupa jugakan untuk kira sekali waktu makan, termasuk makan tengah hari dan minum petang. Bila bercuti dengan anak-anak, konsep touch-and-go mungkin tidak berapa sesuai.
 
Sudah ada jadual yang padat tersusun? Bagus, namun nanti jangan terlalu obses untuk menurutinya pula. Kekal realistik dan ingat yang ianya agak mustahil bagi percutian keluarga untuk berlangsung tanpa masalah langsung. Jadual yang dirancang hanya panduan sahaja agar masa percutian tidak dibazirkan dengan aktiviti yang tidak bermakna. Andai timbulnya masalah, cari jalan terbaik untuk menanganinya dan susun semula masa aktiviti berikutnya. Jika ada aktiviti yang terpaksa dibatalkan, terima dengan lapang dada. Usah bebankan diri sendiri. Just go with the flow. Yang penting, tiada yang merasa stress semasa bercuti.
 
Pilih Destinasi All-In-One
Pilih resort yang menyediakan pelbagai aktiviti di dalam satu lokasi. Contoh resort paling terkemuka yang menyediakan kemudahan ini tentunya kumpulan resort Club Med yang boleh didapati di pelbagai lokasi di seluruh dunia. Kebiasaannya, mana-mana resort Club Med akan menyediakan segala keperluan percutian sekeluarga dari sarapan pagi, makan tengah hari, minum petang dan makan malam hingga ke aktiviti-aktiviti seharian mengikut peringkat umur termasuk persembahan yang mengujakan yang berbeza-beza setiap malam, untuk satu harga tetap. Aktiviti yang dijalankan juga berbeza-beza agar anak-anak tidak cepat bosan. Ini termasuk aktiviti bersukan seperti memanah, kids golf, permainan air, kelas tarian, kelas seni, kelas memasak dan sebagainya; Circus School dan kelas trapeze yang merupakan keistimewaan Club Med; serta aktiviti-aktiviti bermain salji atau luncur ski di resortnya di lokasi sejuk dan bersalji. Yang paling menarik, setiap aktiviti dipantau staf dan penjaga bertauliah yang berkualiti jadi ibu bapa boleh melarikan diri sebentar melakukan aktiviti sendiri jika mahu.
 
Anda juga boleh memilih resort atau hotel yang menyediakan aktiviti-aktiviti khas untuk kanak-kanak di mana mereka dapat bermain sambil belajar. Contohnya di The Andaman Langkawi, resort mewah yang sebahagian daripada Luxury Resort Collection di bawah payung Starwood Hotels & Resorts. Ia terletak di tepi pantai dan juga berdekatan hutan hujan berumur lebih 10 juta tahun, di mana ahli kelab kanak-kanaknya, Young Explorers! The Kids’ Club, akan dibawa menerokai hutan hujan tersebut dan berpeluang melihat segala hidupan liar seperti kera Macaque, langur, burung enggang dan spesis Colugo yang jarang dilihat. Menariknya, terdapat Aktiviti Meneroka Alam Semula Jadi yang berbeza-beza seperti Memerhati Burung, Mengenal Rama-Rama, Mencari Ketam Hermit dan pelbagai lagi yang boleh dilakukan setiap hari. Resort ini juga punyai program pendidikan dan pemuliharaan terumbu karang yang telah dirancang khas untuk anak-anak kecil, selain program khas untuk kanak-kanak sekolah rendah, remaja dan juga untuk orang dewasa. Sementara anak-anak seronok gembira bermain sambil belajar, ini peluang ibu bapa untuk memanfaatkan kemudahan spa di resort yang telah dianugerahi status Hotel Spa Terbaik di Malaysia selama tiga tahun berturut-turut. Bila anak-anak gembira dan ibu bapa dapat rehat yang secukupnya, percutian keluarga menjadi lebih bermakna.
 
 

See also
Jangan Tunggu Saat Akhir Untuk V-Day!