Shaik Reismann Pemain Polo Kebanggaan Negara

Shaik Reismann Pemain Polo Kebanggaan Negara

Shaik Reismann
 
Teks & Penyelaras: Johan Kassim
Arahan Seni: Azreezal Hafidz
Gambar: Chuan Looi/Yipieyaya Studio
 
NAMA SHAIK REISMANN TERPAHAT DALAM SEJARAH KERANA PERNAH MERANGKUL DUA PINGAT EMAS DI SUKAN SEA SUATU KETIKA DAHULU. KEJAYAANNYA ITU KEKAL MENJADI KEBANGGAAN NEGARA SAMPAI BILA-BILA PUN. HARI INI DIA TERUS TEGAR MEMPERKUKUHKAN BIDANG SUKAN POLO TEMPATAN.
 
Orangnya berketinggian 5’ 11”, berbadan tegap dan berkulit kuning langsat. Usianya sudah mencecah 41 tahun. Kami mengatur temu janji di lokasi yang tidak pernah saya jejaki iaitu di The Royal Selangor Polo Club (RSPC) di Ampang Hilir. Menyusuri jalan masuk RSPC, saya melihat sebidang tanah terbentang luas dan terdapat puluhan binaan kandang kuda. Apabila melangkah masuk ruang kafe, saya seperti berada di ruang pameran sarat dengan nostalgia lama. Struktur dan binaan RSPC menggambarkan nostalgia lama sejak era 70-an. Di satu sudut, piala-piala disusun rapi di dalam sebuah almari kaca.
 
Gambar-gambar lama yang merakam memori manis turut digantung pada ruang dinding. Saya melihat banyak wajah ternama meraikan kemenangan seleksi kejohanan polo suatu ketika dahulu. Wajah Shaik memegang trofi ‘Tempawan Challenge’ di kejohanan RMPA Polo, Mei 1994 turut diabadikan. Antara wajah lain yang saya lihat adalah Tun Dr. Mahathir Mohammad. Bukan itu sahaja, barisan nama dan wajah bekas Presiden RSPC juga digantungkan. Antaranya MR. J.S.H. Skrine dan YBM Raja Aman Shah. Menurut Shaik Reismann Kapten Polo RSPC, di sinilah tempat dia membesar dan hampir setiap hari dia menghabiskan masanya di sini. RSPC boleh dianggap sebagai rumah kedua baginya. Walaupun cuaca terik hari itu, sama sekali tidak menghalang kami duduk berbual dan berkongsi pendapat serta mendengar kisah cintanya pada kuda.
 
BAPA PEMANGKIN SEMANGAT
Tanpa ragu, Shaik memang dilahirkan untuk bermain polo. Minat dan semangatnya tidak dibuat-buat atau direka. Seawal usia lapan lagi, Shaik sudah terdedah kepada dunia polo dan minatnya terhadap kuda sudah bermula sejak itu. “I came from a horsy family. Ayah saya bekas pemain joki. Saya sudah terdedah dengan dunia polo dan lumba kuda sejak kecil lagi. Saya memiliki saudara-mara yang juga gemar menunggang kuda dan bermain polo. Tetapi semasa kecil, minat saya sebenarnya lebih ke arah lumba kuda. Ayah sayalah yang banyak mempengaruhi minat saya ketika itu.” Sambungnya lagi, “Basically, saya membesar di RSPC. Sepupu-sepupu dan saya gemar ke sini selepas tamat waktu sekolah. This was my playground. Ketika itu, kami semua akan belajar menunggang kuda dengan cara ekuestrian, ‘jumping’, ‘cross country’ dan banyak lagi. Kemudian setelah menginjak remaja, kami berpeluang menyaksikan pelbagai kejohanan polo dan dari situlah minat untuk menceburi polo pula timbul.”
 
Saya mendapat tahu bahawa RSPC dibina sejak era 70-an. Saban hari, tempat ini berkembang dan menjalani proses ubah suai demi menampung peminat-peminat kuda yang semakin meningkat. Dan hari ini dia menggalas posisi kapten RSPC. “Situasi dulu dan sekarang banyak bezanya. Jika dulu, banyak kanak-kanak seusia kami datang dan ‘melepak’ di sini. Kami semua gemar datang dan menunggang kuda. Tempat ini menjadi lokasi sempurna untuk kanak-kanak menghabiskan masa lapang.” Tambahnya lagi, “Kemudian saya melanjutkan pelajaran ke sekolah berasrama penuh di England. Dan dari situlah saya mula melibatkan diri dalam sukan polo secara serius. Saya banyak menyertai pelbagai kejohanan dan sentiasa menghabiskan masa lapang bermain polo. Saya juga bermain polo pada musim panas setiap kali pulang ke Malaysia. Setelah tamat pengajian A-Levels, saya merancang melanjutkan pelajaran ke Amerika pula. Semasa masih dalam program persediaan ke Amerika, saya menyedari bahawa saya mahu menumpukan perhatian sepenuhnya kepada polo. Jadi saya memberitahu ibu bapa saya tentang keputusan itu dan ia satu langkah besar buat saya.”
 
“Bagaimana boleh membuat keputusan sedemikian?” tanya saya. “Kerana masa saya banyak dihabiskan bersama kuda dan saya memahami kuda. I know horses very well. Jadi saya memberitahu ibu bapa saya, this is what I want to do. Saya mahu bekerja bersama kuda dan menceburi bidang perlumbaan kuda. Disebabkan bapa saya adalah pelatih lumba kuda ketika itu, jadi dia memberi saya masa selama setahun untuk membuat persiapan. Kerana sebelum itu saya hanyalah pemain amatur.” Ceritanya lagi, “Pada 2005, saya membuat keputusan untuk tarik diri dari bidang lumba kuda. Bapa saya juga berhenti daripada bidang lumba kuda. Kemudian saya mengambil alih jawatan bapa saya. Saya dapatkan lesen pelatih dan kemudiannya bidang lumba kuda bertukar menjadi sangat complicated pada ketika itu. “Mengapa pula?” “Dunia perlumbaan kuda menjadi ‘kotor’. Dan saya tidak mahu melibatkan diri dalam situasi sebegitu. It got too stressful. Dengan orang-orang di sekeliling dan klien-klien.
 
Semasa ayah saya masih bergelar pelatih dan saya bekerja di bawahnya, situasi ketika itu sangat mengujakan. Racing was a lot of fun! Peminat-peminat lumba kuda sentiasa ternanti-nanti kejohanan yang akan datang. Tiada permainan ‘kotor’. But then it just got worse. Walaupun saya masih cintakan bidang lumba kuda, tetapi saya terpaksa akur dengan keputusan yang saya lakukan itu dan tidak pernah rasa menyesal meninggalkan bidang itu. Jadi saya beralih arah ke bidang sukan polo secara profesional.”
 
“Bagaimana boleh bertukar menjadi pemain polo profesional?” Jawab Shaik, “Pada mulanya ia sekadar minat. Tetapi ayah banyak memberi sokongan, tunjuk ajar dan nasihat kepada saya.” “Boleh kongsikan lagi?” “Ayah banyak memberikan saya nasihat dalam karier. Where I am right now is because of my father. Semasa muda, saya agak degil. Selalu fikir cara-cara untuk prove yourself. You know young boys are a bit cocky. Dan saya cukup bertuah kerana ayah tahu saya akan membuat kesilapan dan dia membiarkan saya melakukannya dan merasainya sendiri. Dengan cara inilah, saya belajar banyak benda baru.
 
“Ada kesilapan yang masih Shaik ingat?” Shaik memikirkan sejenak dan berkongsi memori awalnya membeli kuda bersama bapanya, “Kami sering ke New Zealand untuk membeli kuda. Dan semasa membuat pilihan sebelum membeli kuda, kami akan berbalah kerana pilihan kuda kami berbeza. Saya kekal dengan pilihan kuda saya walaupun sudah diberi amaran oleh bapa bahawa pilihan kuda saya itu salah. Saya mengingkari pendapat dan pilihannya. Setelah membawa kuda tersebut pulang ke Malaysia, saya mendapati pendapat ayah saya itu adalah betul. Kuda pilihan saya itu bukan kuda atlet. It was a mistake to buy it.”
Menurut Shaik, harga kuda bergantung kepada kebolehan kuda itu. Harga seekor kuda bermula serendah 20,000 dollar Amerika. “Bolehkah kuda yang berharga rendah menjadi kuda atlet sekiranya dilatih dengan betul?” tanya saya lagi. “Harga kuda rendah adalah sebab no one saw it in that horse. Something that no one saw that it was going to be huge.”
 
Shaik Reismann2
 
CINTA AGUNGNYA PADA KUDA
Rutin harian Shaik bermula awal pagi. Dia akan terus ke RSPC selepas Subuh dan mula sibuk menguruskan hal-hal penting termasuk kuda-kuda di bawah jagaannya. “Bagaimana rasanya bekerja dengan kuda?” sambung saya lagi. “Tidak pernah sama. Setiap hari berlainan. Kuda bukan seperti bekerja dengan mesin. Anda boleh tekan butang tutup jika tidak perlukan atau boleh dibaiki jika rosak. Kuda turut memiliki fasa ‘naik turun’ mereka. Saya bergelumang dengan kuda terlalu lama. Saya boleh tahu apa yang mereka rasakan, kondisi mereka, apa yang mereka mahukan, apa yang perlu saya lakukan jika mereka rasa marah dan makanan apa yang perlu diberikan juga rawatan apa yang perlu diberikan sekiranya mereka sakit.”
 
Perkara terbaik yang anda pelajari tentang kuda?” Kongsinya, “It’s basically to understands horses. Dan kebanyakan orang sukar memahami kuda. Walaupun mereka tahu menunggang kuda tetapi tidak semestinya mereka tahu kondisi seekor kuda itu. Anda perlu faham sepenuhnya tentang kuda. I think that’s what makes me better than other riders.”
 
Benar kata Shaik, memahami kuda bukan mudah dan tidak semua orang memiliki kebolehan sebegitu. Bagi saya, semuanya bermula dengan minat yang mendalam dan disokong pula dengan kesungguhan untuk berkembang menjadi lebih baik. Shaik memang dikurniakan bakat luar biasa. “Anda perlu berupaya berkomunikasi dengan kuda dengan cara yang betul. Kerana kuda tidak berkomunikasi secara lisan seperti manusia. Kuda banyak berkomunikasi menggunakan bahasa tubuh. Tidak lebih daripada itu. Untuk orang yang tidak memahami kuda, mereka akan melihat kuda hanya sebagai seekor kuda. Tetapi melalui pengalaman saya, anda boleh memahami cara komunikasi kuda melalui cara ia berdiri, kedudukan telinganya, beberapa cara ia lakukan dengan bibirnya, ketinggian paras kepalanya dan semua itu memberi maksud tersendiri. Cara pandangan mata sesekor kuda itu menterjemahkan seribu satu perkara.”
 
Mendengar pengalaman Shaik bersama kuda-kudanya, mengimbas saya kepada filem ‘War Horse’. Kisah filem itu sedikit sebanyak serupa dengan pengalaman Shaik. Kasih sayang terhadap kuda dan keupayaan melihat ‘sesuatu’ dalam seseekor kuda itu hanya boleh timbul pada mereka yang benar-benar sayangkan kuda. Tambah Shaik lagi, dia tidak pernah langsung rasa penat dan berputus asa bekerja dengan kuda. Dan tidak pernah juga terlintas di fikirannya untuk tidak ingin lagi bekerja dengan kuda. Inilah yang dinamakan ikhlas dalam melakukan sesuatu perkara.
 
Ceritanya lagi, “Saya rasa bertuah dapat bekerja dengan kuda-kuda yang istimewa. Tidak kira kuda untuk polo atau perlumbaan. Cara saya melatih kuda adalah secara individual. Saya tidak akan menyuruh kuda-kuda di bawah jagaan saya melakukan satu tugas pada masa yang sama. Setiap kuda akan diberi resipi makanan berbeza. Ada kuda yang perlu diberi tekanan lebih dan ada kuda yang perlu diberi perhatian lebih. Kerana ada di antara kuda tersebut sangat degil. Jadi ia perlu diberi latihan dan layanan yang tertentu.”
 
“How do you tolerate with horses?” seloroh saya. “Bagi saya, it’s a new way of dealing with horses. Cara lama seperti – ‘You listen to me’, ‘You do whatever I said’, sudah tidak boleh dipraktikkan lagi. Mengendalikan kuda dengan cara ‘overpowered’ mereka adalah salah. Cara itu akan membuatkan kuda-kuda hilang karakter mereka. Jika kuda dilatih dengan cara yang betul, kuda tersebut akan melakukan sesuatu perkara itu dengan rela hati maka you will get a better result. Di sini, anda perlu mempraktikkan ‘horse psychology’, bagi memastikan ia melakukan perkara yang anda inginkan. Instead of forcing them what to do.”
Shaik berkata proses awal memilih kuda sama seperti anda melihat manusia. Melalui pandangan mata dan first impression sudah memberitahu segalanya. “Saya banyak membeli kuda untuk klien. Klien banyak meminta khidmat saya untuk membeli kuda disebabkan latar belakang saya. Saya mempunyai ‘mata’ untuk memilih kuda terbaik. Ketika proses awal pemilihan kuda, saya akan melihat mata kuda-kuda terlebih dahulu.”
 
“What does it tell?” celah saya. “They must have a very intelligent eye. Intelligent look about them. Kuda sama seperti manusia juga. Pabila anda bertentang mata, anda boleh tahu sama ada mereka bijak! Seterusnya saya akan lihat pada keseimbangan badan kuda tersebut. Dari kedudukan kepala, leher, bahu, bahagian belakang badan dan semuanya perlu seimbang. Inilah kunci utama dalam pemilihan kuda atlet bagi saya.” Shaik menyambung lagi, “Contohnya tidak semua pelari pecut mampu bertanding di Olimpik. Mereka perlu ada ‘sesuatu’ dalam diri mereka. It has to be built in them. Lihat sahaja pada Usain Bolt, dia memang dilahirkan untuk berlari pecut. Anda boleh berikan makanan, sesi latihan dan tunjuk ajar yang sama seperti Usain Bolt, tetapi saya pasti tidak akan mampu lari selajunya.”
 
Selepas proses pemilihan kuda, Shaik akan memadankan atlet dengan kuda yang sesuai dengan mereka. Sebelum itu, Shaik akan mengkaji kebolehan setiap atlet dan padankan kuda mengikut kekurangan atau keupayaan kuda tersebut agar saling melengkapi antara satu sama lain.
 
MENJADI KEBANGGAN BANGSA & NEGARA
Shaik bukan sekadar menguruskan RSPC dan menumpu pada dirinya sendiri malah dia turut mengadakan sesi latihan bersama pemain-pemain polo baru. “I pushed them a lot. Kerana banyak di antara mereka yang perlu diberi tekanan. Ada juga yang merasakan diri mereka tidak boleh melakukannya, tetapi sebenarnya boleh. Jadi ini tugas saya untuk memastikan mereka sedar atas kebolehan yang mereka ada.”
 
Mengimbas semula perjalanan karier Shaik, dia sudah berkecimpung dalam dunia lumba kuda dan polo lebih daripada 20 tahun. Dan paling membanggakan, Shaik pernah melakar sejarah ketika meraih dua pingat emas di Sukan SEA. Dan kegigihan pasukan Shaik melayakkan mereka ke peringkat akhir Sukan SEA sebanyak empat kali. “It was a proud moment. Kerana sebelum ini, saya selalu melihat pemenang-pemenang berdiri di atas podium menyarung pingat mereka dan diiringi lagu ‘Negaraku’ melalui di televisyen sahaja. Dan apabila saya sendiri mengalami peristiwa itu, hanya satu perkataan yang boleh saya gambarkan perasaan tersebut iaitu ‘a proud moment’.
 
Kejayaan Shaik tidak terhenti di Sukan SEA sahaja. Malah pelbagai lagi kejohanan yang dijuarainya serta kejohanan Thai Polo Open antara yang memberi kesan dalam perjalanan kariernya. “Thai Polo Open adalah sedikit berbeza. Kejohanan ini boleh dikatakan sangat lasak. Dan berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir membuatkan kami amat gembira.” “Shaik jangka kemenangan itu?” “Thai Polo Open adalah kejohanan terbuka. It was everybody’s games. Kami hadir ke kejohanan tersebut dengan semangat untuk menang. Kami percaya bahawa kami akan menang dalam kejohanan itu. We gave it all.”
 
Apa yang saya perhatikan bidang lumba kuda dan polo lebih tertumpu kepada golongan atasan sahaja. Kurang bagi kelompok pertengahan yang mampu terlibat secara serius dalam bidang ini. “Tidak pernah kah anda terfikir memberi akses kedua-dua sukan ini untuk semua golongan? Accessible to all group?” saya bertanya. Katanya, “Dalam realiti ia agak sukar. Kedua-dua bidang ini adalah permainan berkos tinggi. Seperti saya katakan tadi, harga seekor kuda bermula serendah $20,000. Itu tidak termasuk kos penghantaran lagi. Kos penyelenggaraan, makanan kuda dan bayaran gaji pekerja juga sangat tinggi.” “Tiada apa-apa strategi untuk menangani perkara ini?” “RSPC ada mengeluarkan cadangan untuk memperluaskan lagi bidang ini khusus kepada generasi baru dan golongan belia. Mungkin bekerjasama dengan sekolah-sekolah tertentu. Atau menjadikan polo sebagai salah satu kurikulum pilihan mereka. Inilah strategi yang kami fikirkan untuk menjadikan kedua-dua bidang ini boleh disertai oleh semua golongan.”
 
Dalam perbualan kami, Shaik turut berkongsi dengan mengatakan bidang polo di Malaysia hari ini sangat mengagumkan. Dalam sejarah polo tempatan, hari ini adalah era terbaik sukan polo. Kerana sebelum ini, Malaysia tidak mempunyai golongan profesional dan pakar dalam bidang polo. Hari ini, nama Shaik boleh diangkat sebagai individu profesional dalam kedua-dua bidang. Tambah Shaik lagi, hari ini juga sudah terdapat tiga jenis perlawanan dan peringkat yang berbeza. “Bilangan patron yang mahu membeli kuda juga semakin bertambah. Bilangan penganjur kejohanan juga banyak. Bigger tournaments! Segalanya juga sudah lebih teratur. Cuma kami kekurangan padang polo dan agak sesak untuk menampung semuanya. Kami harap untuk memperluaskan lagi banyak padang polo.”
 
Sekiranya Shaik bebas dari musim polo, dia lebih gemar menghabiskan masa lapangnya bertemu kawan-kawan dan juga menjalani aktiviti luar seperti fly fishing bersama mereka. Dia akan mengembara ke pantai timur atau pulau untuk memenuhi minat keduanya ini. “Selalunya saya akan ke Argentina pada akhir tahun untuk menyaksikan kejohanan Polo dan selebihnya sibuk dengan jadual kejohanan di Malaysia dan Thailand.” Dia bukan orang yang senang duduk diam. Walaupun dia kurang bercakap, tetapi saya yakin mindanya sentiasa bergerak memikirkan apa yang perlu dilakukan seterusnya. “Semasa remaja, saya seorang yang pemalu. Saya banyak menghabiskan masa lapang melakukan aktiviti-aktiviti luar. Keluarga juga gemar melakukan aktiviti luar. Kami suka memancing ikan, berkhemah dan bermacam-macam lagi.”
 
Menurut peminat setia filem Pharlap ini, menjalani aktiviti ‘boot camp’ adalah cara dia dan pemain polo di bawah pimpinannya menjaga kesihatan, mengekalkan stamina badan dari sudut mental dan fizikal. “Aktiviti ‘boot camp’ kami akan dijalankan tiga kali seminggu. Ia sangat intensif. ‘Boot camp’ adalah persediaan kami sebelum tibanya musim polo. Penting untuk memastikan badan dan mental kami bersedia sepenuhnya. Sebelum mengakhiri perbualan, Shaik meninggalkan harapan dengan mengatakan dia berharap agar dia akan kekal dalam bidang ini dalam masa 10 tahun mendatang. “I hope I’m still able to play and do what I’m doing now. Dan harapnya akan muncul pemain-pemain polo profesional dari generasi baru. Saya yakin mereka berada di peringkat yang lebih baik berbanding saya dulu. Because they are exposed a lot more now.” Setelah mendekati Shaik, saya rasakan dia adalah seorang yang berwibawa dan arif dengan perkara yang dicita-citakan. Bekerja kuat dan ikhlas dalam melakukan sesuatu perkara pula adalah iltizamnya.
 
*Artikel ini disiarkan dalam GL edisi April 2014
 
 

See also
GLAM Lelaki New Gen 2015