Saiful Razman - Glam Malaysia

Saiful Razman

Satu ketika dahulu, seorang sepupu yang belajar di Universiti Malaya ada menceritakan tentang keunikan hasil seni tenaga pengajar di kampusnya. Bukannya seorang peminat seni, saya tidak begitu gemar dengan topik yang dibicarakannya. Namun begitu, bagi penggemar seni tanah air, nama Saiful Razman atau lebih dikenali dengan panggilan Man, sememangnya sudah tidak asing lagi. Tambahan pula, dia suami kepada pelakon Nadiya Nisaa, yang membuatkannya dikenali di dalam kelompok yang berlainan pula, termasuklah saya.
 
SaifulRazman
 
“Saya kenal Nadiya Nisaa melalui Friendster. Dia mulanya tidak memberi respons tetapi entah bagaimana tiga tahun selepas itu, dia menelefon dan mengajak saya keluar sekali lagi.”
 
Man menceritakan detik perkenalannya kepada penulis, Ardi Idewani Zaini. Sekiranya sebelum ini si isteri yang sering menghiasi muka hadapan majalah, kini dia pula terpilih menjadi penghias kulit GLAM Lelaki edisi seni kali ini. Man yang sibuk dengan pameran solonya Jun ini menghabiskan masa dua belas jam setiap hari di studio miliknya di Ara Damansara.
 
SaifulRazman2
 
“Ingat lagi ketika saya berkahwin dengan Nadiya Nisaa, studio inilah juga rumah kami. Kami baru berkahwin dan tidak jumpa rumah untuk didiami. Lebih kurang dua bulan juga kami menetap di sini.”
 
Di studio itu jugalah Man mempamerkan hasil karya Siri Pelan Cap yang dimulakan pada 2008 sehingga 2012. Siri yang mendapat sambutan menggalakkan itu diinspirasikan oleh bunting syarikat telekomunikasi yang tertulis perkataan ‘Pelan’ serta perkataan ‘Cap’ yang terlintas di fikirannya apabila melihat logo syarikat tersebut. Namun begitu, terang-terangan hasil karya seni ini ditujukan khas buat kaum lelaki.
 
SaifulRazman3
 
“Semuanya diilhamkan daripada keinginan nafsu lelaki yang tiada penghujungnya. Lelaki mahukan misai, saya muncul dengan Pelan Cap Misai. Lelaki mahukan tenaga batin yang kuat, saya muncul dengan Pelan Cap Batin. Saya kira ia berbentuk dark humor. Terpulang pada persepsi audiens melihatnya.”
 
Man juga sedang bersiap menghasilkan semula siri Pelan Cap 2012 untuk dibawa ke Beirut Art Fair di Lebanon.
 
SaifulRazman4
 
 

See also
Theo James Disunting Boss Parfums