Datuk Rahim Razali

Datuk Rahim Razali

Datuk Rahim Razali
 
Teks & Penyelaras: Sufian Sapari
Gambar: Chuan Looi/Yipieyaya Studio
 
Hatinya keras berjuang dalam seni yang dicintainya, sandiwaranya dalam seni unggul tak banyak terdapat di luar sana. Gemar mengangkat karya nusa bangsa, anak kelahiran Darul Ridzuan ini cekal untuk terus menghambakan diri dalam seni hingga ke akhirnya.
 
Dalam kesukaran menculik masanya untuk sama-sama bertemu dan bekerja, ada hikmah di sebalik segala kesulitan itu. Saya berjaya ketemu orang yang besar jiwanya dalam seni yang halus, dia mengungkap bait-bait indah perkataan yang keluar dari mulutnya. Setiap kata seakan diskrip kan, nada percakapan seolah-olah dilakonkan. Oh Tuhan, masih wujud insan seperti ini. Yang kerjanya mahu dikenali penuh isi tersurat, punya maksud dalam lebih-lebih lagi berkaitan nusa bangsa. Ia satu pertemuan yang bangga saya abadikan malah tidak sabar saya coretkan untuk tatapan pembaca GLAM Lelaki.
 
Sambil menghembur asap rokok, kami memilih duduk di luar jendela menghadap kolam ikan di belakang banglo milik Datuk Yusof Haslam di pinggir kota. Kebetulan Datuk Rahim sedang penggambaran untuk tele drama Gerak Khas jadi kami membina studio bergerak untuk penggambaran ini di sana. Dia yang bermula dalam bidang ini sebagai pengarah, penerbit dan penulis skrip pada 1981 sudah menerbitkan 10 filem cereka dan terakhir pada 1995, selepas itu Rahim konsentrasi dengan produksi televisyen untuk RTM dan TV3. Selepas 10 tahun, dia berhenti menerbitkan drama TV dan filem sebaliknya hanya memfokuskan pada lakonan sahaja hingga kini. Bukan merajuk tak dipujuk tetapi ada sebab lain. “Saya berhenti menerbit kerana soal kewangan, pasaran filem ketika itu mula menurun. Koleksi tak begitu baik lalu saya berhenti menerbit. Namun meneruskan kegiatan menulis dan mengarah. Pabila usia pun semakin meningkat jadi tak begitu mempunyai tenaga untuk mengarah sebab itu saya meringankan sedikit beban kerja saya dengan hanya memberi konsentrasi kepada lakonan sahaja,” ujarnya membuka bicara.
 
33 TAHUN SEBAGAI SENIMAN
Liku hidup seorang seniman melalui pasang surut karier itu sudah adat. Namanya sudah tercatat sebagai perangkul anugerah terbaik di festival filem dalam dan luar negeri. Namun, setiap penghasilan yang tak diberi anugerah bukan bererti ia tak bagus. Rahim seorang yang optimis dan tak begitu galak mengejar piala anugerah, namun menganggap penganugerahan itu lumrah untuk satu keberhasilan yang terbaik. Saya yang mengenalnya melalui filem ‘Cinta’ arahan Khabir Batiar pada 2005, cukup mengagumi lakonannya ketika itu hingga kini. Dia menyatakan bahawa tiada pendorongnya menjadi aktivis seni, ia semua datang melalui kehendak, cita rasa dan keinginan sendiri untuk melakukan benda-benda seperti ini. Namun, keluarga sentiasa memberi galakan dan dorongan dari segi sokongan.
Berdasarkan ucapan Rahim, saya menilik bahawa segala kesukaran boleh diatasi kerana minat mendalam dalam apa yang diperjuangkan walau ada terpalit sedikit kesulitan. “Bagi saya menjadi anak seni sesuatu yang mengghairahkan dan menyeronokkan. Sukar memang sukar, tetapi kita dapat atasi kesukaran itu kerana kita berminat. Jadi tak rasa kesukarannya. Tapi kalau dihitung daripada kesukaran terdapat banyak jenis seperti soal kewangan antaranya. Kerana penerbitan dan pembuatan filem, drama TV, drama pentas melibatkan perbelanjaan yang besar. Kalau tidak ada penganjur atau penaja dan kita bergantung pada perbelanjaan sendiri, kita akan menghadapi bermacam kesukaran. Selain daripada soal kewangan, kesukaran untuk mendapatkan bahan yang baik untuk menghasilkan karya yang baik. Kesukaran teknikal, bakat, kemanusiaan dan bermacam-macam masalah kita hadapi. Tetapi boleh diatasi cuma dengan usaha yang keras dan azam yang kuat,” jelasnya.
 
Tanpa silu saya tanyakan apakah sisi ‘kotor’ dalam bisnes ini? Disambut dengan ketawa dia menjawab “Memang ada tetapi saya tak dapat senaraikan satu persatu. Yang paling ketara sekali ialah pabila penggiat seni itu tidak mengenali seninya. Itu yang paling zalim. Ia seolah-olah menjahanamkan atau merosakkan kesenian negara kita. Penggiatnya tidak menghormati dan tidak mengenali asal usul seni yang didukung itu. Mengambil contoh seorang penyanyi, kerana mahukan populariti dia ceburkan dirinya sebanyak yang boleh – dalam banyak cabang walhal kualitinya tidak ada. Dia tak tahu apa erti kualiti dalam seni itu. Dia tidak mengajar, mempelajari dan mengetahui segala selok-belok seninya. He hasn’t polish himself, he hasn’t train himself and he has not even bother to learn the art that he wants to do.” Terangnya dengan teriak kecil. Rahim mendapati ada beberapa nama baru yang dilihat mempunyai kaliber dalam dunia perfileman. Namun, dia merahsiakan nama individu tersebut.
 
Ketika di usianya masih hijau dalam industri, dia selektif memilih watak. Mengutamakan cerita sejarah dan purbawara sebagai kriteria utama dalam pemilihan. Tambah lagi skrip yang punya kata bual yang indah. “Dari dulu lagi bermula di teater saya gemarkan karya yang mempunyai sastera tinggi, pendek kata cerita dari novel dan cerita yang dihasilkan dari karya Arwah Datuk Usman Awang, Datuk A. Samad Said dan beberapa sasterawan-sasterawan lain. Itu penentuan yang membuatkan saya tertarik menerima tawaran. Jarang saya tolak cerita-cerita mengenai sejarah. It’s forever interesting. Namun lain situasinya kini. Terlalu banyak penerbitan dan permintaan untuk berlakon, hingga tak ada masa menilai skrip. Kadang kala kesempitan waktu memproses dan menyebarkan skrip kepada pelakon menjadi punca utama masalah itu,” katanya yang juga aktif mengulas sukan satu ketika dulu. Dia menyimpan hasrat menemui watak idamannya yang menyerupai Godfather yang dimainkan oleh Marlon Brando. “Watak seperti itu yang saya idamkan namun belum bertemu jodohnya.” Tetapi dia tetap bersyukur kerana kebanyakan watak idaman telah digalasnya seperti Hang Jebat dan Uda.
 
Satu ketika dulu Rahim aktif menerbitkan filem melalui Syarikat Angkatan Seniman Abad XX. Syarikat kerjasamanya dengan rakan seperjuangan Datin Wan Noraini bermula 1984. Yang telah menerbitkan filem cereka dan puluhan drama TV. Aktif sekitar 70-an hingga 90-an. “Mulai 2000, kami dah kurang aktif tetapi masih wujud hingga kini. Datin Wan Noraini pun banyak bisnes lain dan saya pula mengurangkan kegiatan dalam penerbitan hanya fokus lakonan saja.” Adatlah setiap kerja yang kita buat pasti temui cabaran dan pengorbanan besar. Bagi Rahim sendiri, “Cabaran terbesar sepanjang bergelar anak seni untuk terus menghidupkan seni dan budaya nusa bangsa kita. Terus bergiat untuk memajukan lagi masyarakat. Ia satu perjuangan yang saya kira tak akan berakhir dan harus diperhebatkan kerana saya merasakan ada tanda-tanda budaya dan kesenian kita semakin menurun dari segi mutunya. Sambutan pada khalayak ramai pun tidak sehebat yang seharusnya. Kita harus melakukan sesuatu agar kesenian kita dapat terus hidup dalam suasana yang positif dan maju. Kini kita di takuk yang tak berganjak tak banyak menunjukkan peningkatan.” Dari aspek pengorbanan dalam bidang ini pula, kebanyakannya lebih kepada diri sendiri. Ujar Rahim, dia yang sepatutnya kini sudah bergelar ahli korporat yang kaya raya dan memiliki banyak harta, tetapi dikorbankan semua itu untuk seni yang diminatinya. Tambahnya lagi ada juga yang maju dalam bidang ini dari segi kewangan tetapi seperti dirinya tidak ditakdirkan sama seperti itu. Namun hatinya puas. Sempat saya katakan kepada Rahim bahawa seni dalam hatinya lebih kaya daripada segalanya. Dia menyambutnya dengan ketawa. Dia penuhkan masa senggangnya dengan menulis, walaupun tidak konsisten tapi rajin pabila tiba mood. Selain itu, bermain golf walaupun sudah kurang kebanyakan masa lebih kepada membaca buku dan menonton TV.
 
Niat dalam mengerjakan sesuatu itu amat penting. Sebagai seniman adakah ia mengejar populariti, wang ringgit atau ingin menyampaikan mesej penting kepada masyarakat. Bagi Rahim dia epitome yang mementingkan kualiti dan mengharapkan populariti. “Kalau kualiti datang sebelum populariti maka masa depan akan terjamin. Kalau tak popular pun apa boleh buat? tetapi pentingkan kualiti terlebih dahulu. Kita harapkan dengan kualiti itu kita boleh menjadi popular, ia lebih menjamin masa depan. Tapi kalau populariti saja yang ada kualiti tak ada, masa depan kita akan hancur.” Sebab itu baginya pesona dan aura sangat penting dalam diri seorang anak seni. “Ia adalah keterampilan seseorang dan keterampilan itu penting dalam kita membuat persembahan. Baik sama ada kita berlakon, menyanyi, melawak kita berdepan dengan orang ramai yang mengharapkan sesuatu dari kita. We are not ourselves, we have to be somebody else. Apa yang dikatakan dalam teater ‘stage presents’ ia perlu ada bagi anak seni. Ada atau tak adanya aura itu, penonton yang menentukan.”
 
Datuk Rahim Razali3
 
SEDANG DALAM PEMBIKINAN
Sepanjang penglibatan dalam industri ini, skrip paling terkesan di hatinya selain daripada ‘Abang’ juga ‘Matinya Seorang Patriot’ iaitu filem ketiganya yang memenangi beberapa anugerah juga drama pentas yang ditulis bertajuk ‘Hulu Melaka’. Secara peribadi Rahim berasa ia satu pementasan yang menarik. “Kini saya masih mencari atau menantikan penghasilan sebuah karya yang saya dah idamkan sudah lama untuk dijadikan filem. Dan karya itu masih bermain dalam sanubari saya namun belum lagi diterjemahkan ke atas kertas. Tetapi ia terus menghantui saya. Itulah yang saya nanti-nantikan dan mungkin itu karya saya yang terakhir tetapi yang terbaik saya harap. Saya dah pun bagi tajuk kepadanya cuma perlu memikirkan isinya saja. Tajuknya mudah iaitu ‘Melayu’. Saya dah formalize dalam fikiran apa yang dimaksudkan dengan perkataan Melayu itu dan proses penulisan akan bermula tak lama lagi.” Moga segalanya dipermudahkan untuk projek ‘Melayu’ ini.
 
Biografi untuk seniman sepertinya pastinya ditunggu-tunggu dan menjadi kitab hebat buat tatapan generasi mendatang. Sudah pasti ramai teruja akan hikayat hidupnya. “Ada pihak meminta saya memulakan biografi atau autobiografi dan saya telah bersetuju. Tetapi tahulah nak membuatnya mengambil masa, saya baru nak merangkak (“disulam ketawa”) mengambil masa setahun-dua lagi sebelum boleh dibincangkan. Sekarang masih di peringkat mengumpul bahan, data dan buat kajian sedikit sebanyak. Satu kesilapan atau kekurangan saya, sepanjang hayat, saya jarang mengambil dan menyimpan gambar. Orang mintak nak selitkan sini sana tapi saya tak ada simpan gambar lama,” ujarnya sedikit hampa.
 
Faktor daya mengekangnya menerima tawaran. Berat baginya menerima tawaran seperti drama episod yang memerlukan komitmen tinggi dan memakan masa berbulan-bulan. “Tapi kalau filem, telemovie bolehlah saya pertimbangkan.” “Selain itu dari segi drama pentas selepas Muzikal Uda dan Dara…?” “Tidak ada dalam rancangan setakat ini. Saya pun terlalu penat untuk menghasilkan karya pentas. Ia memerlukan tenaga yang banyak dan keletihan yang luar biasa. Tetapi kalau ada tawaran yang menarik dan otak masih cair untuk menghasilkan karya teater yang ‘menyelerakkan’ saya. Saya akan lakukannya.” Sempat saya menyentuh mengenai watak Dara yang dipegang oleh Misha Omar dalam teater muzikal Uda dan Dara, “Bagi saya Misha memang sesuai untuk watak Dara. Dan dia mempunyai perwatakan keremajaan, suaranya bagus, nyanyiannya bagus, itulah kriteria yang kita mahukan dalam watak seorang Dara. Keterampilan itu menarik saya.”
 
FILEM KITA
Menyentuh kekuatan dan kekurangan dalam filem kita secara peribadi Rahim melihatnya dari aspek sumber naskhah yang menjadi tunjang utama hebat sesuatu karya. “Kekurangannya banyak, yang paling ketara sekali dalam filem-filem tempatan ialah subject matter, benda yang dijadikan bahan untuk penceritaan. Mereka mengikut trend kebanyakannya. Kalau trend gengster maka gengster jelah yang keluar. Kalau hantu maka hantulah yang timbul, begitu juga komedi. Tetapi tidak ada yang sebenarnya yang menonjolkan peribadi kita, identiti bangsa kita, atau dilema yang dihadapi kita dalam kehidupan seharian. Ia terlalu di romanticize, terlalu disandiwarakan. Cerita-cerita gengster yang bukan-bukan, tiada realitinya , tak berpegang pada alam nyata – terlalu mengikut-ikut. Kita hendakkan cerita yang mengetengahkan kehidupan kita, masalah kita. Apa masalah orang kita, negara, multiracial yang kita hadapi semua, itu yang saya nak buat ‘Melayu’ ni. Saya cuba dulu dalam filem Abang, Matinya Seorang Patriot tapi lepas itu tak ada siapa yang menyentuh soal hal-hal serius ini. Mereka hanya nak mengejarkan commercial value, maka muncullah cerita yang bukan-bukan. Tak membina minda penonton hanya disuapkan hiburan semata-mata itu pun hiburan yang tidak ada kelas. Kita haruslah berbalik ke pangkal jalan, kita harus memperkukuhkan pemikiran kita bila melakukan sesuatu dalam bidang seni. Buat filem, buat drama untuk pemikir bukan untuk penghibur kalau kita semua nak jadi penghibur, sampai bila-bilalah tak ke mana. Kita mesti bentuk orang untuk jadi pemikir itu yang penting,” nadanya serius.
 
“Sampai akhir hayatlah saya akan meneruskan perjuangan saya dalam dunia seni ini. Seperti juga penggiat-penggiat seni termasyhur antarabangsa yang terus menghambakan diri kepada seni mereka seperti Roman Polansky dari barat dan ramai lagi yang terlibat sampai ke usia tua. Lagi terdaya selagi itu mereka lakukan dan saya harap saya pun begitu juga.” Jelasnya yang tiada waris yang mengikut jejak langkahnya dalam industri seni, namun cukup bertuah dikurniakan anak-anak yang memiliki kerjaya sendiri.
 
Datuk Rahim Razali2
 
PESANAN BUAT SENIMAN MUDA
“Cintai seni kamu dan pastikan yang anda betul-betul fahami seni yang didukung itu. Kalau tak faham carilah jalan untuk mengetahui sama ada pergi belajar dengan kumpulan-kumpulan ataupun belajar di universiti. Maju bagi pelakon yang menonjolkan bakat dan menonjolkan disiplin, ada karakter dalam lakonan mereka. Yang menunjukkan pengertian dalam lakonan mereka. Menunjukkan mereka itu bukan sahaja memainkan watak tetapi memahami cerita yang mereka lakonkan. Rajin membaca bukan saja tentang kesenian yang kita jalani itu tetapi apa saja buku umum. Seorang seniman perlu mempunyai intelek yang tinggi, pengetahuan yang luas, mengenai alam, manusia sekeliling, macam-macam lagi. Kita hanya akan tahu bila kita rajin membaca. Read all kinds of books. Jika ada kelapangan bacalah apa sahaja walaupun surat khabar kerana ia akan membuatkan otak kita akan sentiasa aktif, sentiasa menimba dan menerima informasi, pelajaran, maklumat. Itulah cara-cara untuk menjadi seniman yang lengkap dengan kerajinan dan self decipline.” Katanya yang penuh di rak bukunya cerita klasik dalam bahasa Inggeris dari Robert Louis Stevenson, Steven Sendler, Oscar Wilde, Shakespeare dan macam-macam penulis Inggeris lain. Dan sukakan novel genre misteri, thriller dan novel politik.
 
Tambahnya lagi yang paling utama, “Seniman harus menghormati seninya. Terdapat kebanyakan seniman yang tak tahu menghargai seni, erti mengorbankan diri untuk seni negara – seni bangsa. Jadi kita harus mengerti apa itu seni. Apa yang mendorong kita melibatkan diri dalam seni? Ungkapan yang tepat pabila kita melibatkan diri dalam seni iaitu kita harus menghambakan diri kita. Jangan kita melebihinya. Seni harus utama, harus didahulukan. Kita hanya hendak memperkayakannya saja. Bila sekarang ini banyak seniman yang terkejar-kejar dengan peluang sini sana, terbiar dan terabai nilai kesenian yang kononnya hendak didukung itu. Seninya sudah mengambil tempat di belakang, wang ringgit diutamakan. Prioritinya kepada berapa banyak job yang dia dapat berbanding berapa cantik seni yang boleh hasilkan. Jika kita betul berazam ingin memajukan seni, kita tak akan tergamak untuk melakukan lebih kepada apa yang kita mampu. Kita tak akan terkejar-kejar mencari keuntungan di samping mengabaikan seni yang kononnya kita perjuangkan itu,” pesannya panjang.
 
Datuk Rahim Razali4
 
*Dipetik dari GLAM Lelaki edisi Oktober 2014
 
 

See also
Izara Aishah, Is She The Most STYLISH WOMAN 2022?