Pilihan GLAM Hijab: Keanggunan Abadi Saat Raya
Tatkala Syawal menjelma, bukan sekadar kemeriahan yang dinanti, tetapi juga peluang untuk meraikan keindahan dalam setiap helaian yang dikenakan. Lebih daripada sekadar aksesori, hijab menjadi pernyataan gaya yang melengkapkan aura keanggunan seorang wanita. Tahun ini, sorotan utama GLAM tertumpu kepada deretan personaliti terkemuka yang memancarkan pesona raya mereka dengan penuh sopan, bergaya, dan memikat hati.
Datuk Seri Siti Nurhaliza
Tidak sah bicara tentang keanggunan tanpa menyebut nama Datuk Seri Siti Nurhaliza. Tahun ini, Datuk Siti tampil memukau dalam helaian klasik rona lembut, disempurnakan dengan hijab yang dililit kemas namun lembut, melambangkan kelembutan seorang primadona negara yang tidak pernah luntur pesonanya. Sentuhan aksesori minimalis menambah seri tanpa berlebihan, persis definisi keanggunan yang abadi.
Mira Filzah
Mira Filzah sentiasa menjadi kegemaran ramai dan Aidilfitri ini bukan pengecualian. Dengan hijab bercorak halus dan pilihan busana bernuansa gelap dan pastel, Mira menampilkan sisi feminin yang segar dan youthful. Senyumannya yang manis menjadi pelengkap sempurna kepada gaya lembut namun sophisticated, menjadikannya inspirasi buat wanita muda yang mahu tampil sopan tetapi tetap berkarisma.
Khainina Khalil
Khainina Khalil memilih paduan busana moden dengan lilitan hijab yang bersifat edgy namun tetap memelihara elegan tradisional. Pemilihan rona berani seperti merah jambu lembut menjadikan penampilannya tampak mewah, sempurna untuk wanita moden yang mencintai gaya yang berani namun tidak melampaui batas.
Sofea Shra
Sofea Shra adalah lambang kecantikan dalam kesederhanaan. Dengan palet pastel yang sleek dan pemilihan hijab satin lembut, Sofe membuktikan bahawa gaya minimalis mampu menyerlahkan keanggunan semula jadi. Gayanya bersahaja tetapi cukup untuk mencuri perhatian dalam sebarang acara rumah terbuka mahupun potret raya eksklusif.
Izara Aishah
Izara Aishah mengangkat gaya hijab ke dimensi baru dengan inspirasi timur tengah yang diadun sempurna dengan keanggunan Melayu. Fabrik mewah , digandingkan dengan hijab polos menjadikan penampilannya luar biasa memikat. Setiap perincian mencerminkan wanita yang tahu apa yang diinginkan dalam bergaya anggun, yakin, dan mempesona.
Aidilfitri bukan sahaja tentang merayakan kemenangan, tetapi juga detik untuk meraikan keindahan diri dengan penuh rasa syukur dan gaya yang luhur. Setiap wanita yang berhijab membawa naratif tersendiri, dan barisan personaliti pilihan GLAM ini membuktikan bahawa hijab bukan sekadar pilihan fesyen, tetapi satu gaya hidup yang sarat makna dan elegan sepanjang zaman.
Artikel berkaitan: Hijab Ikon: Sofea Shra Dari Ruang Digital ke Hati Hijabi