Behind The Lens of Alia & Adila Ramly - Glam Malaysia

Behind The Lens of Alia & Adila Ramly

Disebalik layar industri televisyen, dibelakangnya terdapat dua wanita hebat yang menghasilkan karya-karya drama yang menyentuh emosi penonton.

Dunia penerbitan televisyen bukan sesuatu yang asing bagi dua beradik Alia Ramly dan Adila Ramly, peneraju utama di syarikat produksi terkenal, Global Station Sdn Bhd. Dibimbing oleh ibu mereka, Dato’ Zaiton Muhd Jiwa yang menubuhkan Global Station pada tahun 1999, Alia dan Adila kini meneruskan legasi keluarga dalam industri seni tanah air dengan penuh dedikasi dan bertanggungjawab.

Menurut Adila, minat terhadap dunia penerbitan sudah tumbuh sejak kecil. “Saya sebenarnya membesar dalam dunia produksi. Dari kecil dah biasa tengok Mama bekerja sebagai penerbit,” katanya. Dari seorang pemerhati, Adila perlahan-lahan mula membantu dan mempelajari setiap proses dari penulisan skrip hingga ke produksi. “Saya tak pernah rancang pun sebenarnya, tapi saya terus jatuh cinta dengan prosesnya, dan semuanya berjalan dengan sendiri lepas itu.”

Alia pula menyambung jejak ibunya secara langsung sebaik tamat pengajian. “Selepas habis belajar tahun 2007 terus bekerja di bawah Mama. Bermula dari penolong penerbit dan belajar dari bagaimana berurusan dengan pihak stesen,” jelasnya. Bagi Alia, ia bukan sekadar pekerjaan tetapi satu legasi yang ingin diteruskan.

Mengangkat naskhah berjiwa

Kedua-dua adik beradik ini memainkan peranan penting dalam keseluruhan proses penerbitan di Global Station. Adila menjelaskan bahawa mereka sangat hands-on dalam produksi. “Dari pembangunan cerita, penulisan skrip, pemilihan pelakon, bajet, jadual penggambaran, sehinggalah ke pemasaran dan kerja-kerja selepas penggambaran. Kami cuba untuk terlibat dalam setiap peringkat.”

Alia pula menambah bahawa selain daripada kerja penerbitan, beliau juga meneroka peluang perniagaan baharu dan pembangunan syarikat. “Saya juga mencari peluang perniagaan lain dan pembangunan bisnes untuk syarikat terus berkembang,” katanya yang turut bertanggungjawab dalam urusan jualan dan pemasaran ke negara jiran.

See also
Lagu Tiga Dekad Freddie Mercury Yang Belum Pernah Didengari Peminat

Disoal tentang pencapaian terbesar yang membanggakan setakat ini, menurut Alia adalah apabila drama mereka mendapat pengiktirafan industri. “Drama Suamiku Lelaki Pendosa menang Drama Terbaik di Anugerah Drama Sangat, dan turut memenangi anugerah Pengarah Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik (Dato Aaron Aziz) serta Pelakon Antagonis Terbaik (Gambit Saifullah),” kongsinya dengan bangga.

Adila pula menekankan nilai hubungan emosi antara cerita dan penonton sebagai sesuatu yang membanggakan. “Kadang-kadang bukan semata-mata tentang rating tinggi atau jadi trending, tapi bila sesuatu cerita itu beri kesan emosi, atau buat orang terfikir tentang perjalanan hidup mereka sendiri. Itu yang paling meninggalkan kesan pada kami.”

Dalam memilih skrip, kedua-dua mereka bersetuju bahawa menghubungkan emosi dan isu sosial sangat penting. “Kami selalu bermula dengan satu soalan: Apa yang penonton kita rasa sekarang?” kata Adila. Bagi Alia pula, membaca novel menjadi antara cara utama dirinya mencari naskhah yang sesuai. “Kita akan cuba cari sesuatu yang dekat dengan masyarakat, isu-isu yang kadang-kadang taboo tetapi harus diketengahkan.”

Mengenai pemilihan pelakon, mereka mengimbangi antara populariti dan bakat. “Populariti memang membantu untuk tarik perhatian, tapi kalau lakonan tak ada penghayatan, penonton pun cepat hilang minat,” jelas Adila. Alia pula menambah, “Populariti penting tetapi bakat lebih diutamakan dan kami tidak takut untuk mengangkat pelakon baru yang berbakat.”

Kedua-dua Adila dan Alia sepakat bahawa ibu mereka, Dato’ Zaiton Muhd Jiwa, adalah sumber inspirasi utama. Sebagai pengasas Global Station, beliau bukan sahaja mentor, tetapi juga tulang belakang kejayaan syarikat. “Mama is our rock, our visionary and our daily reminder,” kata Alia. “Beliau dulu pernah bekerja sebagai penjawat awam dan berani untuk berhijrah dan masuk ke industri baru bermula dari 0. Mama sentiasa memberi dorongan buat saya dan adik saya untuk menjadi lebih baik setiap hari dan dia tidak menerima ‘tidak’ sebagai jawapan.”

See also
Pengalaman Putera William Bergelut Dengan Kesihatan Mental

Bagi Adila pula, ibunya bukan hanya idola, malah contoh terbaik tentang nilai integriti dan ketabahan. “Cara dia kerja, cara dia layan orang, cara dia kekalkan integriti walau apa pun cabaran. Itu sesuatu yang saya sangat kagumi dan cuba praktikkan setiap hari.” Beliau juga menzahirkan penghargaan kepada pasukan produksi mereka yang sentiasa komited dan berdedikasi.

Peralihan ke dunia digital dan media sosial turut mengubah cara penonton menikmati drama. “Penonton sekarang lebih memilih untuk menonton drama secara on-demand. Mereka mahu memilih bila dan di mana mereka mahu menonton rancangan kegemaran mereka,” ujar Alia. Ini memaksa penerbit seperti mereka untuk menyesuaikan format daripada TV linear ke binge-watching dan juga kandungan pendek di media sosial.

Adila turut mengakui perubahan ini menuntut pendekatan yang berbeza. “Penonton sekarang lebih laju dan lebih lantang bersuara. Mereka bukan sekadar menonton tetapi juga berinteraksi, berbincang, dan memberi ulasan di media sosial. Kadang tu siap membuat siaran langsung sambil menonton!”

Adila turut mengakui perubahan ini menuntut pendekatan yang berbeza. “Penonton sekarang lebih laju dan lebih lantang bersuara. Mereka bukan sekadar menonton tetapi juga berinteraksi, berbincang, dan memberi ulasan di media sosial. Kadang tu siap membuat siaran langsung sambil menonton!”

Bercakap tentang cabaran utama, Alia mengakui cita rasa penonton sangat subjektif. “Apa yang saya suka tak semestinya penonton suka,” katanya. Penulisan skrip, pemilihan pelakon dan kerjasama antara semua pihak menjadi elemen penting dalam menjayakan sesebuah produksi. Adila pula menyentuh aspek bajet dan masa. “Penonton nak produksi yang cantik, cerita yang kuat, barisan pelakon yang mantap, tapi dibelakang tabir, kita kena uruskan banyak benda dalam satu masa. Ia memaksa kami untuk lebih kreatif dan cekap.”

See also
Mercu Kemewahan Progresif: BMW X7 xDrive40i Pure Excellence

Melihat ke masa depan, Alia berharap agar drama Melayu dapat menembusi pasaran antarabangsa. “Kita lihat drama Tagalog, Indonesia, Thailand dan Korea di kaca TV kita. Kenapa tidak drama kita ke luar sana?” persoalnya. Adila pula ingin melihat lebih banyak cerita yang berani dari segi tema, genre dan teknik visual. “Tapi yang paling penting, saya nak lihat lebih ramai bakat baru masuk ke dalam industri dan diberi peluang untuk berkembang.”

Kedua-dua adik beradik ini tidak menolak potensi besar drama adaptasi sama ada dari novel, web, mahupun media sosial. Alia menyatakan, “Dari novel ke drama juga tidak mudah ya… kita kena kekalkan plot utama dan karakter supaya penceritaan tidak lari dari novel.” Tambah Adila, kekuatan sesebuah adaptasi terletak pada bagaimana ia diterjemah ke medium skrin. “Kita kena hormat karya asal. Bukan sekadar ambil plot, tapi faham roh cerita tu. Kadang-kadang tak semua benda sesuai dibawa 100 peratus jadi kena pandai olah untuk medium TV tapi masih kena kekalkan essence dia.” Namun begitu, Adila juga percaya pada nilai cerita asal sebagai tunjang pertumbuhan industri.

Baca kisah penuh Alia & Adila Ramly dengan mendapatkan majalah GLAM isu Ogos 2025 di pasaran sekarang atau langgan secara online menerusi magzter.com.

Maya Kusuma merupakan penulis di GLAM Malaysia. Penulisannya menjelajah dunia gaya hidup moden dan mewah, berkongsi kisah personaliti terkenal serta menyentuh aspek fesyen dan kecantikan.