Tengku Ampuan Pahang Kongsi Sesi Raptai Perkahwinan Tengku Muhammad
Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah memuat naik hantaran di TikTok memberi bayangan anakandanya, Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah bakal melangsungkan perkahwinan tidak lama lagi.
Menerusi perkongsian tersebut, Tengku Ampuan Pahang sedang melakukan sesi raptai untuk perkahwinan Yang Amat Mulia Tengku Arif Bendahara (TAB) bersama putera angkatnya, Tengku Amir Nasser Ibrahim.
“With my darling son, Amir for TAB’s wedding rehearsal. Kesian dia sakit pinggang!,” tulisnya.
Foto-foto berkenaan memperlihatkan kerusi pelamin yang diduduki Tengku Amir yang ditemani isterinya, Yang Hormat Mulia Cik Puan Panglima Puteri Suraiya Afzan Binti Mohamed Moiz serta laluan masuk ke dalam istana.
Berita tentang spekulasi perkahwinan antara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah, anakanda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, dan Tengku Natasya Adnan Adnan Tengku Mansor iaitu anak kepada bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menjadi bualan hangat sejak awal tahun.
Tengku Natasya Adnan, wanita jelita berdarah kacukan Melayu dan Indonesia ini berusia 29 tahun manakala Tengku Muhammad berusia 27 tahun. Perbezaan umur dua tahun tidak menjadi penghalang untuk dua jiwa ini disatukan.
Kredit: via Instagram @_inaijari010
Sebelum ini, Tengku Ampuan Pahang memberitahu perkahwinan antara mereka berdua bakal berlangsung pada 24, 25 dan 27 Oktober depan.
Sekadar info, menurut susur galur pewarisan takhta singgahsana kerajaan negeri Pahang, Tengku Muhammad adalah pewaris kedua.