Seni Tanpa Batasan Bersama Sharina, Mulaika & Izzati

Sharina Shahrin, Mulaika & Izzati Suza: Seni Tanpa Batasan

Tiga artis wanita berkongsi kisah inspirasi dan pendekatan unik mereka dalam dunia seni moden.

Seni Sebagai Keperluan Hidup

Sharina Shahrin merupakan seorang artis visual yang mula menceburi bidang seni kerana rasa ingin tahu dan minat sejak kecil. Dia membesar dengan melukis, membuat lakaran, dan sentiasa mencari cara untuk memberi bentuk kepada emosi dan idea yang berlegar dalam mindanya. Aktiviti yang bermula sebagai hobi akhirnya berkembang menjadi sebuah kerjaya, membolehkan Sharina menyalurkan kreativiti secara profesional. Perjalanan ini, menurutnya, lahir secara organik bukan kerana cita-cita yang dirancang, tetapi kerana seni menjadi keperluan yang tidak dapat dipisahkan daripada hidupnya.

Karya-karya Sharina banyak diinspirasikan oleh kehidupan seharian. Cahaya matahari yang menembusi tingkap, perbualan harian, atau memori zaman kanak-kanak sering menjadi titik mula kepada sebuah karya. Baginya, inspirasi tidak perlu ditunggu, tetapi dikumpul perlahan-lahan sehingga satu detik tertentu mencetuskan rasa untuk berkarya. Medium yang digunakan juga tidak terhad pada kanvas dan cat semata-mata. Dia gemar bereksperimen dengan benda-benda yang tidak konvensional seperti solekan, pewarna makanan, kopi, malah uncang teh. “Benda biasa pun boleh menjadi ajaib apabila dilihat melalui lensa kreatif,” katanya, menegaskan bahawa imaginasi mampu mengangkat sesuatu yang sederhana menjadi luar biasa.

Bagi Sharina, seni adalah lanjutan daripada dirinya sendiri dimana ia satu ruang untuk mengeksplorasi sisi eksentrik yang tidak selalu ditonjolkan dalam kehidupan seharian. Karyanya menjadi tempat untuk bermain, berani dan tanpa batasan. Namun, dia tidak menafikan cabaran yang datang bersama proses kreatif. Seperti artis lain, ada masanya dia berdepan dengan “artist’s block”. Namun, pendekatannya tidak memaksa. Sebaliknya, dia memilih untuk berehat sebentar, memberi ruang kepada diri untuk bernafas, menikmati kehidupan, dan kembali ke kanvas apabila sudah bersedia. Baginya, kreativiti tidak bersifat linear. Ia naik turun, mengambil masa dan setiap karya mempunyai perjalanan uniknya sendiri sebelum dianggap selesai.

Konsep “siap” dalam sesebuah karya juga baginya adalah relatif, terutama dalam abstrak ekspresionisme yang menjadi teras kepada banyak hasil tangannya. Sesuatu karya itu berakhir apabila ia berhenti meminta tambah, apabila ia terasa lengkap, dan apabila sebarang penambahan hanya akan mengalih tumpuan, bukannya memperluaskan. Pandangan ini seiring dengan cara Sharina melihat seni sebagai refleksi hidup yang sentiasa berubah dan tidak pernah statik.

Lebih daripada sekadar ekspresi peribadi, karya Sharina turut mencerminkan isu sosial semasa. Identiti, jantina, dan alam sekitar sering menjadi naratif dalam karyanya. “Seni adalah cara saya mendengar dunia dan berinteraksi dengannya,” jelasnya, menegaskan bahawa seni tidak hanya berfungsi sebagai cermin tetapi juga sebagai alat untuk mempersoal dan membayangkan kemungkinan lain. Emosi yang mendorong setiap karya juga berbeza ada yang lahir daripada rasa ingin tahu, ada yang berasaskan kegembiraan, ketegangan, serta untuk memahami sesuatu yang bergelora di dalam jiwa.

Bagi Sharina, ruang berkarya tidak bergantung kepada lokasi tertentu. Yang lebih penting ialah suasana — cahaya, tenaga, dan rasa lapang. Kadangkala studionya menjadi ruang ideal, namun ada masa lantai ruang tamu pun sudah memadai, asalkan dia merasa bebas, fokus, dan hidup. Kecantikan dalam seni pula tidak dijadikan ukuran. Baginya, keindahan bersifat subjektif manakala ekspresi serta resonansi adalah yang utama.

See also
Artis Malaysia Yang Melalui Perceraian Perit Pada 2023

Selain seni lukis, Sharina turut melihat fesyen dan solekan sebagai cabang ekspresi artistik. Fesyen, baginya, ialah kanvas hidup yang bergerak, menyampaikan identiti, budaya, malah politik. Wajah pula dilihat sebagai permukaan naratif yang mampu berubah, sama ada dengan solekan atau dalam keadaan semula jadi. “Kecantikan itu tidak tetap; ia berubah mengikut niat, konteks, dan ekspresi diri,” ujarnya, menekankan bahawa persepsi luaran bukan yang utama berbanding dengan perasaan dalaman seseorang.

Bagi mereka yang tidak memahami karya seni, Sharina mahu seni dilihat sebagai sesuatu yang boleh dirasai tanpa perlu difahami secara akademik. “Anda tidak perlu memahami seni, cukup biarkan diri anda merasainya. Berdirilah di hadapan sesuatu karya dan perhatikan apa yang ia rasakan: ketenangan, rasa tidak selesa, kegembiraan, persoalan. Tiada tafsiran yang salah,” katanya yakin bahawa seni paling tulen adalah seni yang menyentuh hati.

Menulis Jurnal dengan Warna

Mulaika memulakan perjalanan seninya sejak kecil, namun titik tolak karier sebenar hadir pada usia 16 tahun melalui program artis baharu di Balai Seni Lukis Negara. Kesempatan itu bukan sahaja memberi peluang menampilkan karya kepada umum, malah lebih bermakna apabila debut beliau hadir dalam bentuk pameran solo pada usia yang begitu muda. Dari detik itu, dia sedar seni bukan lagi sekadar hobi, tetapi sebuah perjalanan hidup yang membentuk dirinya sehingga kini. “Saya mendapat inspirasi daripada kehidupan seharian. Melukis bagi saya adalah cara automatik untuk memproses apa sahaja yang berlaku dalam hari-hari biasa saya. Ia seperti menulis jurnal tetapi dengan warna. Jika saya tidak merasakan apa-apa, saya tidak akan melukis,” jelasnya.

Eksperimen menjadi sebahagian daripada identiti seninya. Dia berani melangkaui formaliti, malah kerap menggunakan bahan luar biasa. X-ray dadanya pernah dijadikan karya berjudul Home untuk pameran solonya di Harta Space, manakala sebuah basikal menjadi elemen utama instalasi di Momo’s Hotel Art Fair. Lucunya, pameran itu berlangsung serentak dengan peperiksaan SPM, lalu basikal berkenaan turut ‘ditemani’ kertas peperiksaan Sains yang tergantung pada tali merah yang menjadi satu gabungan tidak disengajakan. Baginya, setiap karya ialah penerokaan terhadap pengalaman manusia yang sarat dengan pelbagai emosi, mustahil disimpulkan hanya dengan satu perasaan.

Seperti seniman lain, Mulaika juga berdepan dengan artist’s block. Namun caranya berbeza. “Apabila menghadapi halangan, saya terus mencipta. Saya telah mempamerkan lebih 100 lukisan sepanjang enam tahun karier. Saya tidak tahu berapa banyak yang telah dihasilkan termasuk conteng-conteng, lukisan yang dipadam, karya di atas kertas yang hilang, atau lakaran dalam buku latihan. Tetapi melalui jumlah yang banyak itu, saya akan menemui coretan yang saya suka, atau warna yang akhirnya menjadi alat untuk karya masa depan,” katanya. Baginya, proses sebegini mengekalkan kreativiti tanpa memaksa karya menjadi sempurna.

See also
Splash Out Langkawi Puncak Destinasi Liburan Riadah Air Terkini!

Selain soal estetika, Mulaika tidak memisahkan seninya daripada dunia sekeliling. Isu alam sekitar, khususnya krisis iklim, menjadi keprihatinan utama generasinya, dan hal itu sering terpancar dalam karyanya. Dia mengakui mempunyai hubungan mendalam dengan bumi, terutama gunung, yang kerap muncul sebagai simbol dalam lukisan. Minat ini turut disokong latar akademiknya. Mulaika menamatkan pengajian undang-undang di peringkat LLB dengan pengkhususan Undang-Undang Alam Sekitar dan Hak Asasi Manusia, dan kini melanjutkan sijil Certificate in Legal Practice (CLP). “Saya harap dapat beramal dalam bidang ini suatu hari nanti. Undang-undang bagi saya juga satu bentuk seni, abstraknya sama seperti lukisan,” ujarnya.

Ruang paling produktif buatnya ialah studio yang dikongsi bersama abangnya, Omar Nordin, seorang pemuzik. Suasana itu mewujudkan tenaga kreatif unik dimana ketika Omar sibuk berlatih untuk persembahan, Mulaika tenggelam dalam kanvasnya. Kehadiran muzik sebagai latar seakan membentuk dialog senyap antara seni visual dan muzik.

Dari aspek ekspresi diri, wajah dan fesyen menjadi lanjutan kanvas seninya. Solekan baginya masih satu dunia baru, malah penggambaran bersama GLAM menjadi kali pertama dia merasai pengalaman bersolek penuh. Untuk fesyen pula, kedengaran agak aneh tetapi dia lebih selesa memakai pakaian orang lain seperti kaftan neneknya yang pernah bergelar ratu cantik, baju kakak dan ibu saudara, hingga ke kemeja linen milik teman lelakinya, Ollie. Malah, kawan baiknya Dina sering membantu memilihkan gaya harian. “Saya tidak tahu mengapa saya begini, tetapi saya bernasib baik kerana dikelilingi keluarga dan sahabat yang bergaya,” katanya berseloroh.

Bagi Mulaika, seni bukanlah tentang cuba memahamkan orang lain. “Saya tidak berminat untuk membuat orang faham seni. Ia mustahil. Sama ada anda rasa atau tidak,” katanya tegas. Kejujuran ini mencerminkan bukan sahaja keyakinannya sebagai seniman muda, tetapi juga caranya melihat seni bebas, raw, dan jujur, sama seperti dirinya sendiri.

Inspirasi dari Catatan Peribadi

Izzati Suza memulakan perjalanan seninya dengan minat melukis sejak kecil, namun langkah profesionalnya bermula pada 2013 apabila dia menyambung pelajaran dalam bidang seni bina. Kehidupan membawa cabaran yang tidak disangka apabila pada 2015 dia terpaksa menangguhkan pengajian demi menjaga ayahnya, Che Suza, yang terlibat dalam kemalangan. “Saya melukis untuk meluah rasa, tapi pada 2017 saya membuat keputusan untuk menjual karya saya dalam bentuk produk,” kongsinya. Tiga bulan selepas Kedai Suza dibuka, ayahnya meninggal dunia. Sejak itu, kedai tersebut menjadi dedikasi kepada arwah bapanya, mengikat kenangan dan perjuangan peribadi dalam setiap helaian karyanya.

Inspirasi Izzati datang daripada hobinya yang gemar menulis. Catatan-catatan kecil, monolog peribadi, dan pemerhatian terhadap manusia serta budaya di sekelilingnya menjadi bahan mentah yang subur. “Karya-karya saya selalunya olahan daripada kehidupan seharian saya, pengalaman, budaya dan manusia sekeliling,” ujarnya. Dari situ lahir dunia visual yang unik, penuh dengan karakter bibir besar dan emosi yang disengajakan. Identiti visual ini bukan sekadar eksentrik, malah menjadi tanda tangan yang membezakan dirinya daripada artis lain.

See also
Lelaki Paling Kacak di Dunia 2025: 10 Jejaka Paling Menawan Yang Gegarkan Dunia!

Eksperimen juga menjadi sebahagian penting dalam prosesnya. Salah satu projek paling mencabar yang pernah dilakukannya ialah melukis di atas sebuah kereta. “Saya merasakan ianya sebuah cabaran yang agak besar untuk berkarya atas kereta, tapi saya bersyukur saya dapat menyiapkan karya itu dalam 4 hari,” jelasnya. Cabaran teknikal, masa yang singkat, dan permukaan yang tidak lazim tidak menghalangnya untuk menyampaikan mesej. Bagi Izzati, setiap karya, walau pada medium yang paling pelik sekalipun, adalah peluang untuk membuktikan bahawa seni tidak pernah statik.

Namun, perjalanan seorang artis tidak pernah sunyi daripada buntu. Seperti Sharina dan Mulaika, Izzati juga berdepan “artist’s block”. Caranya mengatasinya pula cukup unik iaitu berjalan sejauh 10 kilometer dengan hanya memakai selipar, memandu kereta seorang diri untuk menenangkan fikiran, atau meminum empat cawan kopi dalam satu masa walaupun dia sendiri mengakui itu sesuatu yang tidak digalakkan. Baginya, kesunyian dan repetisi perbuatan itu adalah proses meditasi untuk mengosongkan fikiran, supaya ruang baharu untuk kreativiti dapat terbuka.

Bagi dirinya, sebuah karya dianggap lengkap apabila mesej yang mahu disampaikannya terasa cukup jelas. “Sebelum mula, saya ada mesej. Saya akan berhenti bila saya rasa mesej itu sudah sampai,” katanya. Prinsip ini menjadikan karya-karyanya bukan sekadar indah dilihat, tetapi penuh dengan maksud. Tema kesihatan mental sering menghubungkan banyak hasil tangannya. Tahun ini, Izzati bertekad untuk menghasilkan karya yang lebih cerah, berinspirasikan kebahagiaan, sebagai satu peralihan daripada duka kepada cahaya.

Ruang berkarya paling produktif untuknya bukanlah studio besar, tetapi bilik tidur. Di atas karpet, dengan kertas dan pen, dia menemukan keselesaan untuk melakar dengan jujur. Pandangan ini seiring dengan falsafahnya bahawa kecantikan dalam seni hadir daripada keaslian. Fesyen dan solekan turut menjadi medium ekspresi yang dekat dengan dirinya. “Cantik berbeza bagi setiap orang. Yang penting berani berekspresi,” katanya, melihat wajah sebagai kanvas hidup yang sentiasa berubah mengikut emosi dan konteks.

Identiti seni dan gaya peribadi juga dilihatnya sebagai dua perkara yang saling berkait. Tiada gunanya memiliki identiti seni tanpa gaya peribadi yang mampu menyerlahkannya, begitu juga sebaliknya. “Tiap artis yang saya kagumi, punya identiti seni dan gaya peribadi yang mapan,” jelasnya. Di sinilah terletak falsafahnya: seni bukan sekadar apa yang ada di atas kanvas, tetapi bagaimana seseorang itu memilih untuk hadir di hadapan dunia.

Lebih jauh daripada itu, Izzati percaya bahawa karya seni juga harus mampu mendidik masyarakat untuk lebih menghargai bidang kreatif. Baginya, menjadi pelukis bukanlah sesuatu yang aneh atau sia-sia, malah kerjaya ini punya masa depan yang cerah jika diberi ruang dan sokongan. “Malaysia mampu menjadi hub kreatif yang unggul dengan artis yang banyak identiti, gaya dan peribadi,” ujarnya menutup temubual ini.

Artikel Berkaitan: Inarah Sofiya, Emilie Daceey & Rasyiqah Johan: Driven to Inspire

Maya Kusuma merupakan penulis di GLAM Malaysia. Penulisannya menjelajah dunia gaya hidup moden dan mewah, berkongsi kisah personaliti terkenal serta menyentuh aspek fesyen dan kecantikan.