Ruang Bercerita dari Studio Kanta
Adrien Kent menghidupkan setiap sudut dengan karakter, fungsi, estetika dan konsep kelestarian.
Adrien Kent, seorang pereka dalaman tempatan dan pengasas kepada Studio Kanta, sebuah studio reka bentuk yang menekankan keseimbangan antara fungsi dan estetik. Dia mula dikenali selepas memenangi program realiti TV, The Apartment musim ke-7, yang menjadi permulaan penting dalam kerjayanya. Dengan latar belakang akademik dalam Reka Bentuk Dalaman dari Limkokwing University, Adrien memulakan karier di Palladio Interiors dan mendapatkan latihan formal selama tiga tahun.
Ruang dalaman yang berjiwa

Selepas itu, Adrien menyertai sebuah kumpulan F&B sebagai pengurus jenama, peranan yang membuka jalan untuknya meneroka lebih banyak aspek kreatif termasuk reka bentuk dalaman, penjenamaan, penataan dan fotografi makanan. Beberapa projek terkenal yang dikendalikannya ketika itu termasuk Food Foundry SS17, Butter & Beans SS17, Sitka (Jalan Batai) dan Feeka (Jalan Mesui), yang kini menjadi lokasi ikonik di Kuala Lumpur.
Setiap projek Adrien mempunyai sentuhan peribadi. “Saya suka menggabungkan karya seni tempatan dan barangan vintaj dari Carousell. Gabungan lama dan baharu memberi karakter dan mengelakkan ruang jadi terlalu ‘one note’,” katanya. Baginya, elemen yang ada cerita memberi jiwa kepada sesuatu ruang.
Namun, bekerja dalam industri ini turut mempunyai cabaran tersendiri. Menurut Adrien, antara yang paling mencabar ialah menyelaraskan pelbagai pendekatan kerja yang diamalkan oleh pihak-pihak berbeza dalam industri. “Setiap kontraktor, pembekal, pereka lain dan klien biasanya ada cara kerja dan ekspektasi mereka sendiri. Cabaran terbesar ialah bila semua komponen ini tidak jalan seiring,” katanya.
Dari segi trend, Adrien menggemari gaya revival 70-an yang kini kembali popular. “Saya suka cetakan haiwan, bentuk arca dan perabot kayu burl yang dulunya dianggap ‘hodoh’, kini menjadi moden dan menyeronokkan bila diguna dengan betul,” jelasnya. Dia percaya gaya ini boleh menjadikan ruang lebih ceria dan ekspresif.

Apabila berdepan ruang kecil, Adrien tidak percaya kepada ‘memaksa’ ruang tampak lebih besar. Sebaliknya, dia menekankan perancangan ruang dan skala perabot yang sesuai. “Kita perlu raikan apa yang ruang itu ada. Dengan susun atur yang betul, ruang kecil pun boleh rasa sempurna,” katanya.
Antara fungsi dan estetika, Adrien jelas memilih fungsi sebagai keutamaan. “Fungsi mesti datang dahulu. Ruang yang cantik tetapi tak berfungsi hanya akan menyusahkan. Tapi estetik juga penting kerana ia beri kegembiraan,” ujarnya. Dia percaya gabungan keduanya akan mencipta ruang yang ideal untuk didiami.
Dalam setiap projek, Adrien mengambil masa untuk memahami klien terlebih dahulu. “Saya letak diri saya di tempat mereka. Bila saya faham cara hidup dan keperluan mereka, lebih mudah untuk mencerminkan personaliti mereka serta selitkan sedikit identiti saya juga,” katanya. Baginya, empati ialah asas penting dalam reka bentuk.
Adrien turut menyokong pendekatan minimalisme dan konsep upcyling, yang menurutnya masih sangat penting dalam dunia reka bentuk hari ini. “Minimalisme adalah satu cara berfikir dan mencerminkan keinginan dan gaya hidup klien. Tapi yang lebih penting sekarang ialah kelestarian, sebab kita hidup dalam dunia yang terlalu banyak membeli dan membuang. Sebab itu saya percaya, upcycling adalah pilihan terbaik — ia bukan saja mesra alam, tapi juga beri karakter dan cerita kepada ruang,” katanya.
Menerusi Studio Kanta, Adrien terus mencipta ruang yang bukan sahaja cantik, tetapi juga berfungsi, bermakna dan peribadi. Untuk melihat lebih banyak hasil kerja dan proses kreatif Adrien, ikutinya di Instagram melalui @studiokanta dan @adrienwithan_e, atau layari laman web rasmi di www.studiokanta.co.

Artikel Berkaitan: Segarkan Ruang Dalaman Anda Dengan Sentuhan Yang Dikemas kini
Maya Kusuma
Maya Kusuma merupakan penulis di GLAM Malaysia. Penulisannya menjelajah dunia gaya hidup moden dan mewah, berkongsi kisah personaliti terkenal serta menyentuh aspek fesyen dan kecantikan.

