Reunion Demi Lovato & Jonas Brothers Buat Ramai Menangis?
Penampilan istimewa penyanyi Demi Lovato di konsert Jonas Brothers menjadi bualan hangat wargamaya dan menghidupkan kembali zaman kanak-kanak mereka!
Pada 10 Ogos 2025, di MetLife Stadium, East Rutherford, konsert pembukaan jelajah JONAS20: Greetings From Your Hometown Tour oleh Jonas Brothers menjadi saksi kepada satu detik yang menyentuh hati dimana Demi Lovato membuat penampilan mengejut di atas pentas untuk menyanyikan lagu ikonik dari filem Disney Camp Rock — “This Is Me” dan “Wouldn’t Change a Thing” bersama mereka.
Momen yang memberikan perasaan “healing”

Penampilan tersebut mengundang reaksi luar biasa daripada peminat, terutama generasi Milenial dan Gen Z yang membesar bersama Camp Rock. Ia bukan sekadar persembahan muzik ia adalah satu kenangan yang dihidupkan semula, membawa kembali perasaan masa kecil yang penuh kegembiraan.
Di dalam podcast Chicks in the Office keesokan harinya, Demi menceritakan pelawaan oleh Joe Jonas hanya seminggu sebelum konsert dan menyifatkan pengalaman itu sebagai “healing” mencerminkan perjalanan peribadi dan profesionalnya sejak zaman Disney. Ia jelas bukan sekadar pertunjukan mengimbau nostalgia tetapi juga satu detik penuh makna.
Pada tahun 2008 dan 2010, Demi Lovato dan Jonas Brothers menjadi wajah utama dalam filem Camp Rock 1 dan 2. Lagu “This Is Me” dan “Wouldn’t Change a Thing” menjadi simbol peralihan mereka dari artis Disney kepada ikon pop global. Penampilan semula mereka di atas pentas bukan sekadar muzik, ia adalah cara menghargai peminat yang membesar bersama mereka.
Pelbagai platform di media sosial yang mengabadikan momen ini sebagai pengalaman “historic” dan “memulihkan emosi.” The Washington Post menyatakan bahawa persembahan ini “menghidupkan nostalgia zaman kanak-kanak” di kalangan peminat .
Sementara itu, memetik laporan People, pengalaman itu memberi kesan mendalam kepada Demi, terutamanya dalam meraih kembali rasa kehangatan dan kebersamaan yang hilang.
Artikel Berkaitan: Demi Lovato Dan Jordan “Jutes” Lutes Kini Sah Bergelar Suami Isteri
Maya Kusuma
Maya Kusuma merupakan penulis di GLAM Malaysia. Penulisannya menjelajah dunia gaya hidup moden dan mewah, berkongsi kisah personaliti terkenal serta menyentuh aspek fesyen dan kecantikan.

