Adakah Berkesan “Penjara Orang Gemuk” Yang Viral di China?

Perkara Anda Perlu Tahu Tentang “Penjara Orang Gemuk” Yang Viral di China

Peserta dari seluruh dunia sanggup serah diri masuk ke “penjara” untuk menurunkan berat badan, adakah kaedah ini benar-benar berkesan?

Baru-baru ini tular di media sosial tentang “penjara orang gemuk” di China dimana ia bukan penjara salah laku, tetapi sebuah kem penurunan berat badan bertaraf ketenteraan yang direka khas untuk membantu individu obes menurunkan berat badan secara drastik.

Kem turunkan berat badan

Istilah penjara digunakan kerana program ini dijalankan di kawasan yang tertutup dan disiplin yang sangat ketat. Peserta bukan sahaja perlu mengikuti jadual harian yang padat, malah mereka juga tidak dibenarkan keluar dari kem tanpa sebab yang munasabah. Program ini lebih menyerupai bootcamp iaitu gabungan antara latihan fizikal intensif, diet terkawal, dan rutin disiplin ketat untuk membantu mencapai matlamat tubuh badan ideal.

Turut berkongsi pengalaman itu, seorang wanita warga Australia berusia 28 tahun yang mendokumentasikan penginapannya di kem tersebut melalui Instagram. Menurutnya, dia membayar hampir AS$1,000 (lebih kurang RM4,054) untuk mengikuti program ini termasuk penginapan, makanan dan sesi latihan. Lebih menarik, program ini menerima peserta dari seluruh dunia, dan peserta tidak perlu fasih berbahasa Mandarin atau Kantonis untuk menyertainya.

See also
5 Kesan Sampingan Daripada Seks Yang Berlebihan

Rutin harian di “penjara orang gemuk” ini bukan sekadar senaman ringan tetapi peserta perlu menjalani aktiviti fizikal berjam-jam setiap hari termasuk aerobik berkumpulan, latihan intensif serta kelas berbasikal statik. Makanan disediakan secara terkawal dalam kuantiti kecil, dan setiap orang juga perlu menyerahkan makanan yang dianggap terlarang, seperti mi segera atau snek bergoreng bila mendaftar masuk.

Apa yang lebih mengejutkan ialah hasil penurunan berat badan yang dikongsi oleh peserta itu sendiri. Dalam catatannya, dia melaporkan penurunan berat sebanyak 2.25 kilogram dalam masa tujuh hari, dan pada hari ke-14, dia mendakwa telah kehilangan berat badan sekitar 4 kilogram. Ini menunjukkan bahawa program ini memang menghasilkan kesan cepat tetapi ia tetap kontroversial kerana jadual yang sangat menuntut serta tekanan fizikal yang tinggi.

Kem-kem seperti ini juga menyediakan pilihan tempoh lebih singkat selama dua minggu, namun peserta digalakkan memilih program 28 hari untuk mendapatkan hasil yang lebih efektif.

See also
7 Fakta Anda Mungkin Tidak Tahu Tentang Putera Mahkota Dubai, Sheikh Hamdan

Artikel Berkaitan: Ini Sebab Chia Seed Terbaik Untuk Kuruskan Badan Dan Selamat!

Maya Kusuma merupakan penulis di GLAM Malaysia. Penulisannya menjelajah dunia gaya hidup moden dan mewah, berkongsi kisah personaliti terkenal serta menyentuh aspek fesyen dan kecantikan.