Park Hyatt Kuala Lumpur Simbol Mewah Baharu Malaysia

Park Hyatt Kuala Lumpur Simbol Mewah Baharu Malaysia

Sukar diungkap dengan kata-kata saat menikmati pengalaman Hotel Park Hyatt yang sarat kemewahan, diperkaya dengan sentuhan peribadi eksklusif buat setiap tetamu di hotel bertaraf lima bintang ini.

Ketika khabar berita yang Park Hyatt akan membuka pintunya di Kuala Lumpur, ia disambut dengan penuh gembira. Apatah lagi, hotel mewah ini bakal mendiami puncak tertinggi di bangunan ikonik moden Kuala Lumpur yakni Merdeka 118. Ia memberikan satu pengalaman mewah baharu kepada Malaysia juga serantau. Hotel Park Hyatt Kuala Lumpur adalah destinasi yang bakal menjadi pilihan pengunjung yang mahukan dakapan istimewa sambil disulam bersama nilai tradisi tanah air. GLAM sempat beradu dan dilayan penuh istimewa di Park Hyatt.

Melangkah masuk ke ruang lobi utama sudah disambut dengan keanggunan kontemporari. Ia menerbitkan semula intipati rumah kampung Melayu tradisional melalui lensa reka bentuk moden, mencipta suasana kehangatan sebuah rumah Malaysia dalam balutan kemewahan luar biasa. Lobi dipenuhi skrin batik loyang berkembar yang menapis cahaya cantik, menghasilkan bayang-bayang bercorak unik. Pemandangan panoramik latar langit bandar yang dramatik membingkai secara artistik.

See also
Anugerah Muzik Melon 2025, Pentas Kemenangan Buat G-Dragon

Pada lantai yang sama terdapat tiga tempat makan berbeza bersambung melalui susun atur terbuka. The Park Lounge menawarkan ruang terang dengan dapur terbuka dihias jubin merah ilham Peranakan. The Merdeka Grill menonjol dengan elemen seni bina berani bersama seni dekorasi travertine perak dan dinding beralur gelap meningkatkan drama. The Cacao Bar menampilkan batu amazonit memukau dan siling dramatik, terutama selepas gelap. Hidangan menu di Cacao Bar cukup unik, yang berpaksikan gabungan koktel bersama coklat. Ia adalah yang pertama di Malaysia! Di tengah ruang terhidang pelbagai jenis coklat yang boleh dijamah bersama pilihan minuman sambil melihat mentari terbenam diantara bangunan-bangunan ikonik Kuala Lumpur.

park hyatt kuala lumpur

Bilik tetamu dan suite di atas bandar direka sebagai tempat perlindungan peribadi. Reka bentuk menekankan identiti budaya Malaysia dengan tafsiran moden serambi tradisional di tingkap, lengkap dengan katil disaji pemandangan panoramik moden. Panel cermin diletakkan strategik memanjangkan pemandangan dan mencipta relung intim. Panel dinding linen dan perincian loyang halus menambah tekstur dan kehalusan. Almari pantri tersuai menampilkan pintu skrin ilham batik. Palet neutral beraksen ton berwarna-warni mencerminkan semangat Malaysia bersama kemewahan anggun.

See also
Galaxy Z Flip3 5G: Lima Sebab Perlu Miliki!

park hyatt kuala lumpur

Spa di Tingkat 99 adalah syurga kesihatan direka menawarkan ketenangan mendalam. Koridor dan gerbang membimbing pelawat dalam perjalanan ke bilik rawatan diilhamkan ‘kaki lima’ satu ciri seni bina rumah kedai Malaysia. Estetik ringkas dan minimalis, menjalin motif Melayu tradisional sambil membingkai pemandangan panoramik bandar meriah di bawah. Menikmati spa yang cukup melegakan badan, dengan teknik urutan tradisional bercampur moden adalah wajib perlu anda dapatkan jika berpeluang bermalam di Park Hyatt Kuala Lumpur. Menambah lagi eksklusif adalah The Spa adalah spa satu-satunya di Malaysia yang menggunakan jenama mewah Omorovicza dan GROUND Wellbeing. selepas puas bermanja, anda bisa membawa pulang sagu hati iaitu garam mandian untuk kekal aman selepas di The Spa.

Tidak terhenti disitu, mata kami juga dimaniskan lagi dengan karya-karya seni hasil garapan artis tanah air dan luar negara. Paling menarik perhatian adalah Hyatt’s Bloom yang direka oleh Abdul Multhallib Mussa yang terletak di tingkat 102. Rekaan seperti kelopak bunga dalam material kemasan emas ini nyata meletakkan Park Hyatt Kuala Lumpur sebagai satu destinasi paling mewah perlu kunjung!

See also
Filem Tempatan, Tiger Stripes Lakar Sejarah Di Cannes 2023

Artikel Berkaitan: 7 Port Menarik di Klang Valley Untuk Sambut Malam Tahun Baru 2026

Aizat Aidid, Pengarah Kreatif GLAM Malaysia, mengemudi dengan cita rasa mewah dan kandungan dinamik yang mengangkat nadi gaya aspirasi sekarang. Visinya nan elegan dan progresif terus mendefinisikan wajah baharu generasi semasa.