Chanel Persembah Paris Opera Junior Ballet Ke Malaysia
Chanel mempersembahkan Paris Opera Junior Ballet ke Malaysia buat acara eksklusif pada 18 dan19 November.
Hubungan antara Chanel dan dunia tarian balet adalah satu komitmen mendalam yang bermula sejak era pengasasnya, Gabrielle Chanel. Pada tahun 1913, Gabrielle mengalami kejutan estetik apabila menyaksikan The Rite of Spring karya Stravinsky yang dikoreografi oleh Nijinsky. Pengalaman ini membuka pintu kepada kerjasama panjangnya dengan Ballets Russes di bawah Serge Diaghilev, di mana beliau menjadi pereka kostum dan penaung utama buat komponi penari balet itu.

Kostum karya Gabrielle Chanel buat Le Train Bleu, 1924
Visi Gabrielle yang mengutamakan keselesaan dan kebebasan pergerakan diterjemahkan ke atas pentas melalui kostum balet yang revolusioner. Pada tahun 1924, beliau mencipta kostum untuk Le Train bleu, menggantikan kostum balet konvensional dengan fesyen moden dan fungsional. Pendekatan inovatif ini terus berkembang melalui karya Karl Lagerfeld dan Virginie Viard.

Sejak 2018, Chanel menjadi Patron kepada Gala Pembukaan musim Tarian Paris Opera. Pada 2023, Chanel memperkukuh komitmen ini sebagai Major Patron, menyokong institusi ini dalam semua projek artistiknya. Paling membanggakan, Chanel kini adalah Founding Patron bagi Paris Opera Junior Ballet yang diwujudkan pada 2024.
Paris Opera Junior Ballet merupakan kompani baharu yang terdiri daripada 24 penari berusia 18 hingga 23 tahun, dipilih melalui pertandingan untuk kontrak latihan profesional selama dua tahun. Diibaratkan sebagai rumah hijau untuk bakat muda, inisiatif ini menangani beberapa cabaran penting: melatih dan mempelbagaikan pengambilan penari baharu, menggalakkan integrasi profesional mereka, dan mengukuhkan keterbukaan kepada penonton melalui jelajah dan aktiviti jangkauan, sambil meneruskan tiga abad kepakaran Paris Opera.

Crédit Instagram : @odieuxboby
Jenama mewah asal Paris ini berbesar hati untuk mengiringi bakat-bakat muda ini dalam dua persembahan mereka di Malaysia pada 18 dan 19 November yang bakal dipertontonkan di Dewan Filharmonik Petronas. Persembahan ini menampilkan empat balet, termasuk ciptaan oleh koreografer Julian Nicosia yang mana Chanel turut mencipta beberapa kostum pentas untuk penari Paris Opera Junior Ballet.
Kunjungan Paris Opera Junior Ballet ke Malaysia ini mengukuhkan lagi kepada visi Chanel yang mampu melangkau sempadan geografi dan generasi. Melalui sokongan terhadap bakat-bakat muda ini, Chanel sekali lagi membuktikan bahawa warisan yang ditinggalkan oleh Gabrielle Chanel pada awal abad ke-20 terus hidup dan berkembang, membawa keindahan tarian balet kepada penonton baharu di seluruh dunia.
Artikel Berkaitan: Dedikasi Chanel di Gala Pembukaan Opera Paris 2025/26
Aizat Aidid
Aizat Aidid, Pengarah Kreatif GLAM Malaysia, mengemudi dengan cita rasa mewah dan kandungan dinamik yang mengangkat nadi gaya aspirasi sekarang. Visinya nan elegan dan progresif terus mendefinisikan wajah baharu generasi semasa.

