Mengenang Legasi Barbie Hsu, Ikon Meteor Garden
Dunia hiburan dikejutkan dengan berita pemergian pelakon dan penyanyi terkenal Taiwan, Barbie Hsu, pada usia 48 tahun. Kakaknya, Dee Hsu, mengesahkan berita sedih ini melalui ejen beliau, menyatakan bahawa Barbie meninggal dunia akibat pneumonia yang disebabkan oleh komplikasi influenza. Pemergiannya meninggalkan kesan mendalam dalam dunia hiburan Asia, khususnya kepada peminat setia drama ikonik Meteor Garden, yang memperkenalkan namanya kepada dunia.
Dari Penyanyi ke Pelakon Ikonik
Barbie Hsu memulakan karier dalam industri hiburan sebagai penyanyi bersama kakaknya, Dee Hsu. Mereka membentuk duo pop S.O.S. yang kemudiannya dikenali sebagai ASOS. Album pertama mereka, Zhanling Nianqing, menjadi titik mula perjalanan mereka dalam dunia muzik, diikuti oleh album terakhir mereka, Biantai Shaonu.
Selain menyanyi, Barbie turut mencuba bidang pengacaraan bersama Dee dalam beberapa program TV popular seperti Guess, 100% Entertainment, dan Gourmet Secrets of the Stars. Namun, kemuncak popularitinya datang apabila dia menceburi dunia lakonan.
Kegemilangan Barbie Hsu, Meteor Garden
Pada tahun 2001, Barbie Hsu mencipta fenomena dengan wataknya sebagai Shan Cai dalam drama Taiwan, Meteor Garden. Wataknya sebagai gadis miskin tetapi berani yang menentang ketidakadilan telah memikat hati penonton dan menjadikannya idola ramai. Dengan gandingan mantap bersama barisan pelakon F4 – Jerry Yan (Daoming Si), Vic Chou (Huaze Lei), Vanness Wu (Meizuo), dan Ken Chu (Ximen) – Barbie Hsu membawa Meteor Garden ke tahap kejayaan luar biasa di seluruh Asia. Berkat lakonannya yang cemerlang, dia dicalonkan untuk kategori Pelakon Wanita Terbaik di Anugerah Golden Bell ke-36. Kejayaan ini membawa kepada penghasilan sekuel Meteor Garden II setahun kemudian.
Menyinar di Layar Perak dan Kecil
Selepas kejayaan Meteor Garden, Barbie terus memperluaskan pengaruhnya dalam industri lakonan. Dia membintangi drama sejarah China, Eternity: A Chinese Ghost Story, sebagai Nie Xiao Quian, seorang gadis yang diambil oleh Moon Kingdom dan diubah menjadi roh musang.
Pada tahun 2004, dia kembali ke drama romantik menerusi Say Yes Enterprise, yang mendapat pencalonan dalam Anugerah Golden Bell. Kemudian, dia bergabung semula dengan Vic Chou dalam drama Mars, di mana dia membawa watak Han Qi Luo, seorang gadis introvert yang mengalami trauma akibat gangguan seksual.
Dalam bidang perfileman, Barbie membuat debut dalam filem seram The Ghost Inside (2005) yang terkenal sebagai filem seram termahal pada zamannya. Dia juga membintangi filem seram Taiwan, Silk, yang ditayangkan di Festival Filem Cannes 2006.
Pada tahun 2007, Barbie kembali dalam drama romantik Corner With Love bersama Show Lo, diikuti dengan pelbagai projek filem seperti My So Called Love dan Connected. Filem aksi Connected, adaptasi daripada filem Hollywood Cellular, melayakkan Barbie menerima pencalonan Pelakon Wanita Terbaik di Anugerah Filem Hong Kong ke-28.
Pengakhiran Kerjaya dan Perjalanan Peribadi
Pada tahun 2009, Barbie mencuba genre komedi dalam On His Majesty’s Secret Service bersama Louis Koo. Beliau turut berlakon dalam pelbagai filem lain seperti Hot Summer Days, Future X-Cops, Reign of Assassins, dan Adventures of the King. Sebelum berkahwin dengan usahawan China, Wang Xiaofei, pada tahun 2011, Barbie sempat menyelesaikan dua filem terakhirnya, Croczilla dan Motorways. Filem Croczilla membawanya kepada kemenangan anugerah Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Antarabangsa Macau ke-4 pada tahun 2012.
Namun, selepas mendirikan rumah tangga, Barbie memperlahankan aktivitinya dalam dunia hiburan. Perkahwinannya dengan Wang Xiaofei berakhir pada tahun 2021, dan mereka dikurniakan dua orang anak. Pada Februari 2022, Barbie mengejutkan peminat dengan berita perkahwinannya dengan bekas kekasihnya, Koo Jun Yup.
Legasi yang Abadi
Pemergian Barbie Hsu adalah kehilangan besar bagi industri hiburan Asia. Beliau bukan sahaja seorang pelakon berbakat, tetapi juga seorang ikon yang meninggalkan impak mendalam kepada peminatnya di seluruh dunia. Peranannya dalam Meteor Garden akan terus dikenang sebagai antara watak paling ikonik dalam sejarah drama Asia.
ARTIKEL BERKAITAN: 5 Rancangan Realiti Terhebat Di MAX Februari Ini