Mahu Tukar Nama Kepada Ye, Kanye West Fail Tuntutan Mahkamah
Tanpa nama tengah dan nama keluarga, Kanye West mengfailkan tuntutan mahkamah di Los Angeles Superior Court untuk menukar nama rasminya kepada Ye sahaja.
Kanye West hanya mahu dikenali sebagai Ye sahajas elepas ini. Pada hari Selasa lalu, penyanyi rap itu telah mengfailkan tuntutan mahkamah untuk menukarkan nama rasminya daripada Kanye Omari West kepada Ye. Tuntutan mahkamah tersebut telah dilakukan di Los Angeles Superior Court, California.
Penyanyi rap berusia 44 tahun itu mahu menggugurkan nama tengah dan juga nama keluarganya. Dia kini hanya mahu dikenali sebagai Ye yang merupakan nama singkatan yang telah digunakannya sudah bertahun-tahun. Menurut dokumen mahkamah, Kanye memberikan sebab ‘alasan peribadi’ atas permohonan pertukaran nama tersebut. Keputusan hakim diperlukan untuk tuntutan seperti ini. Walau bagaimanapun, kebiasaannya pertukaran nama ini akan dibenarkan oleh pihak mahkamah jika didapati tiada unsur penipuan terlibat.
Sejak 2018 lagi, bakal bekas suami kepada Kim Kardashian West itu telah berkongsi hasratnya untuk menukar Namanya kepada “The being formally known as Kanye West. I am Y,” tulisan Kanye melalui akaun Twitter pada 2018. ‘Ye’ juga merupakan judul album studio kelapannya yang dilancarkan pada Jun 2018.
Beberapa persoalan juga muncul selepas tuntutan mahkamah ini. Walaupun masih dalam proses penceraian, Kim Kardashian West masih lagi menggunakan nama keluarga West termasuklah nama keempat-empat anak mereka bersama.
Ketika ini, peminat Kanye West sedang menantikan kemunculan album ‘Donda’ yang dijangka akan dilancarkan pada akhir Ogos 2021. Kanye akan menganjurkan listening party ketiga ‘Donda’ di Soldier Field, Chicago yang akan menyaksikan Pengarah Kreatif Balenciaga, Demna Gvasalia disebut-sebut akan bertindak selaku pengarah kreatif acara kali ini.
Foto: Getty Images
Baca lebih lanjut: Pengembaraan Gastronomi Singapore Food Festival Bersama Tiffin Malaysia