Konsert Sebagai Ritual Baharu, Kini Muzik Menjadi Perayaan Jiwa - Glam Malaysia

Konsert Sebagai Ritual Baharu, Kini Muzik Menjadi Perayaan Jiwa

Konsert hari ini menjelma sebagai ritual budaya moden yang melangkaui hiburan, menjadi ruang kolektif penuh euforia di mana muzik, emosi dan memori bertaut dalam satu perayaan jiwa.

Dalam dunia pascapandemik yang kembali meriah, konsert bukan lagi sekadar hiburan, malah kini menjadi satu ritual budaya, satu bentuk pelarian kolektif dan pencarian makna di tengah realiti yang serba rencam. Fenomena “tour culture” yang kian berkembang dan didorong oleh media sosial, pengalaman dan keperluan manusia untuk berasa hadir dalam momen sebenar, menjadikan persembahan langsung sebagai satu bentuk ziarah moden. Di Malaysia, trend ini makin ketara, apabila tiket konsert terjual dalam sekelip mata, bukan sahaja untuk artis antarabangsa, tetapi juga nama-nama tempatan yang semakin mendapat tempat di hati khalayak ramai.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by ZianaZain (@iamzianazain)

Gema Muzik, Gaung Jiwa

Lihat sahaja kehangatan konsert Dato’ Sri Siti Nurhaliza yang tidak pernah gagal menarik ribuan peminat dari pelbagai lapisan umur, menjadikan setiap persembahan beliau sebagai satu bentuk nostalgia hidup. Turut sama keindahan vokal Aina Abdul yang kini muncul sebagai antara artis Malaysia paling teatrikal, menjadikan pentas sebagai kanvas ekspresi penuh dramatik dan visual. Malah, band seperti Hujan dan Bunkface juga membuktikan bahawa muzik indie bukan sekadar aliran, tetapi satu bentuk komuniti. Di mana, penonton menyanyi bersama bukan kerana lirik itu popular, tetapi kerana ia adalah sebahagian daripada memori mereka sendiri.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Siti Nurhaliza Tarudin (@ctdk)

Pengalaman konsert hari ini bukan sekadar tentang muzik. Ia tentang rasa ‘berada di sana’. Ia tentang pakaian yang dipilih khas untuk malam itu, poster buatan tangan, laungan kolektif yang menggema serta video memori yang dikongsi ke media sosial tetapi mewakili satu kenangan seumur hidup. Persembahan konsert seperti Hael Husaini & Repertoire mahu pun konsert Empat Live In Kuala Lumpur oleh barisan penyanyi terkemuka Ernie Zakri, Syamel, Ziana Zain dan Anuar Zain yang bakal berlangsung dan diramal akan menjadi hit, ternyata memperlihatkan bagaimana konsert tempatan kini mampu mencapai skala emosional dan produksi yang setaraf antarabangsa dengan sentuhan tempatan yang dekat di hati.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Anuar Zain ™️ (@anuarzainnetwork)

Konsert, akhirnya, adalah tentang rasa, suka serta hubungan dengan muzik, penyanyi dan diri sendiri. Dalam dunia yang makin digital, pengalaman fizikal sebegini menjadi semakin berharga. Ia adalah ruang suci moden di mana air mata, tawa dan jeritan bukan sahaja dibenarkan, tetapi diraikan. Ia mungkin dalam sorakan yang mengisi ruang stadium atau dewan, tetapi ia juga seperti menemui semula sebahagian daripada diri yang hilang dalam kesibukan harian. Sebuah perayaan jiwa, dalam bentuk gema muzik.

See also
CARA LOVES KARL: Bila Persahabatan & Fesyen Bergabung

Artikel berkaitan: Ilham Kod Gaya Konsert Siti Nurhaliza Terus From Runway

Syahirah Hussain ialah penulis fesyen di GLAM Malaysia. Mengulas informasi, trend dan berita fesyen terkini dari lokal ke antarabangsa, serta penglibatan editorial dengan nada segar yang mewakili generasi baharu dunia fesyen.