Kolaborasi Emosi Aisha Retno & Ade Govinda dalam “Semoga Saja”
Aisha Retno kembali dengan single terbaharu Semoga Saja, kolaborasi bersama Ade Govinda yang sarat emosi tentang kehilangan dan harapan.
Single terbaharu Aisha Retno, Semoga Saja, menandakan lembaran baharu dalam perjalanan seninya. Dihasilkan bersama pemuzik dan produser ternama Indonesia, Ade Govinda, lagu ini membawa pendengar ke dalam nuansa kehilangan dan doa buat insan yang telah pergi. Susunan medium tempo yang sarat emosi memberi ruang untuk vokal lembut tetapi bertenaga milik Aisha menyerlah, manakala harmoni muzik Ade menyulam keindahan yang menyentuh hati. Menariknya, Aisha turut berganding dengan Ade dalam penulisan lirik, menambahkan nilai peribadi pada lagu ini.
Gabungan suara nusantara

Dilancarkan serentak dengan video muzik arahan Bagoes Tresna Adji yang dirakam di Cottage Basisir Pole, Pantai Carita, Indonesia, visualnya memperlihatkan sebuah penantian penuh rindu dan harapan. “Menunggu seseorang yang telah pergi membuat kita hampir gila, tetapi kedatangannya tetap menenangkan,” kata Bagoes tentang interpretasi visual yang seiring dengan tema lagu.
“Lagu ini sangat dekat dengan diri saya. Ia mewakili rasa kehilangan yang mungkin pernah dialami ramai orang, dan saya berharap pendengar dapat merasai kejujuran dalam setiap nada serta menemukan kekuatan dalam sisa harapan itu,” kata Aisha.
Buat Aisha, Semoga Saja melengkapkan portfolio seni yang kian kukuh. Sejak 2018, namanya sudah dikenali dengan karya hits seperti Mengikat Jiwa, Nukilanku, W.H.U.T, Pencarianku dan Sutera. Malah, wajahnya pernah menghiasi papan iklan digital ikonik di Times Square, New York, serta menjadi duta Spotify untuk kempen EQUAL di Malaysia dan Singapura pada 2022.
Ade Govinda pula berharap kolaborasi ini hanya permulaan: “Semoga dengan adanya projek ini, kita dapat bekerjasama lagi di masa akan datang.”
Semoga Saja boleh didengar di semua platform digital mulai 19 September 2025, manakala video muzik rasminya boleh ditonton di saluran YouTube Ade Govinda.
Artikel Berkaitan: The A.I.S.H.A Experience, Sebuah Melodi Perjalanan Aisha Retno
Maya Kusuma
Maya Kusuma merupakan penulis di GLAM Malaysia. Penulisannya menjelajah dunia gaya hidup moden dan mewah, berkongsi kisah personaliti terkenal serta menyentuh aspek fesyen dan kecantikan.

