Ketenangan Alam Di Jantung Bali
Anantara Ubud Bali Resort membawa tetamu kepada pengalaman unik di mana alam semula jadi bergabung dengan kemewahan moden yang dikelilingi dengan kekayaan budaya Bali.
Terletak di bukit hijau Banjar Puhu Payangan, di utara Ubud, Anantara Ubud Bali Resort menawarkan tempat istirehat yang tenang bagi mereka yang mencari ketenangan. Jauh dari hiruk-pikuk kehidupan sehari-hari, resort yang baru dibuka ini mengajak para pengunjung untuk merasakan keindahan pedalaman Bali yang masih asli, di mana keindahan alam bertemu dengan kemewahan moden.
Dikelilingi hutan tebal dan pegunungan yang menenangkan, Anantara Ubud Bali Resort adalah lokasi sempurna bagi mencari kedamaian tanpa sebarang gangguan. Dengan 85 suite moden dan vila kolam renang yang terletak di lereng bukit, resort ini menawarkan pemandangan menakjubkan dari lanskap sekitarnya. Setiap suite berkeluasan 53 meter persegi serta menghadap pemandangan hutan yang menenangkan dan ruang dalaman bilik yang mewah. Tab mandi besar yang ditempatkan di sebelah tingkap kaca membolehkan tetamu menikmati keindahan alam Bali sepenuhnya.
Bagi tetamu yang memerlukan lebih banyak ruang dan eksklusiviti, vila satu dan dua bilik tidur adalah pilihan yang sempurna. Bermula daripada 105 meter persegi, vila ini dilengkapi dengan ruang tamu yang luas, kolam renang peribadi yang menghadap ke hutan tropika. Bahan semula jadi yang digunakan di ruang dalaman vila merupakan sentuhan halus pengaruh Bali, menciptakan suasana elegan dan timeless.
Pengalaman menikmati sajian makanan di Anantara Ubud Bali adalah sebuah perjalanan rasa yang tidak dapat dilupakan. Restoran utama resort iaitu Amerta, yang dipimpin oleh Chef James Willis, mengetengahkan masakan Mediterranean di jantung Bali. Konsep dapur terbuka dengan panggangan kayu bakar menggambarkan nuansa desa, di mana tetamu dapat menikmati daging dan ikan yang dimasak dengan sempurna menggunakan bahan-bahan lokal yang segar.
Untuk pilihan makan yang lebih santai, Kirana menyajikan hidangan autentik Indonesia serta sarapan ala barat yang mewah, dengan pemandangan tropika yang menambah kenikmatan makan. Sulang pula adalah alfresco bar yang terletak di antara kolam renang khas untuk orang dewasa, tempat yang sempurna untuk menikmati hidangan ringan, kopi istimewa, dan koktel pada malam hari. Bagi menikmati pemandangan menakjubkan Gunung Agung, Lobby Lounge merupakan tempat yang popular untuk minum petang atau makan siang yang ringan. Bagi tetamu yang menginginkan pengalaman lebih eksklusif, Designer Dining by Anantara menawarkan pengalaman yang menakjubkan sama ada makan malam secara peribadi di tepi air terjun atau di tengah sawah, sudah pasti menciptakan pengalaman yang tidak dapat dilupakan.
Di luar resort, kehidupan budaya Bali yang dinamik menanti. Kedai-kedai konsep dan galeri seni di Ubud hanya mengambil masa beberapa minit dari resort, manakala keindahan alam sekitar menawarkan peluang yang tidak terhitung untuk diterokai. Tetamu boleh mengikuti eksplorasi alam bersama pakar naturalis, melalui kampung-kampung yang indah dan sawah yang mempesona untuk lebih memahami warisan budaya Bali. Bagi mereka yang lebih sukakan cabaran, pendakian ke air terjun tersembunyi atau lawatan berpandu ke tapak ikonik Bali pasti akan mencipta kenangan yang selamanya terpahat.
Bagi tetamu yang mencari penyegaran spiritual, Anantara Ubud Bali menyediakan peluang untuk berhubung dengan tradisi tempatan. Tetamu boleh menyertai upacara penyucian air suci di Pura Mengening bersama penduduk setempat atau merasai transformasi tenaga dan aura menerusi upacara api yang dipimpin oleh Idha Guru Sri Empu, seorang Pendeta Agung yang dihormati.
Bukan itu sahaja, Anantara Ubud Bali juga menawarkan pelbagai kemudahan untuk keselesaan dan relaksasi tetamu. Terdapat dua kolam renang pemanas iaitu satu untuk dewasa dan satu lagi untuk keluarga, berdekatan dengan dek yoga yang dikelilingi hutan serta gim lengkap dengan peralatan TechnoGym. Selain itu, ruang permainan untuk si kecil dan zon khas untuk remaja turut disediakan di kelab kanak-kanak dan remaja.
Di Anantara Spa, tetamu boleh menikmati pelbagai rawatan tradisional dan terapi penyembuhan, antaranya Taksu Massage, yang menggabungkan teknik shiatsu, lomi-lomi Hawai, dan urutan Bali untuk melegakan ketegangan dan meningkatkan peredaran darah. Pasangan juga boleh menikmati Siraman Journey, sebuah ritual 180 minit termasuk urutan bersama, lulur badan, mandian romantis, dan hidangan sihat.
Untuk acara perniagaan, resort ini menyediakan dua bilik mesyuarat berteknologi tinggi, manakala bagi majlis perkahwinan impian, Lobby Garden yang luas atau Wanakasa Room yang lebih intim sangat sesuai untuk mengabadikan kenangan penyatuan ikatan cinta. Resort yang terletak kira-kira tiga jam perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai, menjadikannya tempat yang ideal untuk melarikan diri dari kesibukan kota dan menikmati ketenangan Bali.
Artikel Berkaitan: Scales of Fortune, Sajian Penuh Tuah Oleh W Hotel Kuala Lumpur