Kenali Cik Afzaa Fadini, Pilihan Hati Raja Muda Selangor

Kenali Cik Afzaa Fadini, Pilihan Hati Raja Muda Selangor

Pada 22 September, Istana Alam Shah Selangor Darul Ehsan telah mengeluarkan kenyataan rasmi tentang pengumuman majlis pernikahan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj. 

Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor berkenan memaklumkan bahawa anakanda Baginda, Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, akan melangsungkan pernikahan dengan pasangannya Cik Afzaa Fadini binti Dato’ Abdul Aziz pada hari Khamis, 2 Oktober 2025 bersamaan 10 Rabi’ul Akhir 1447H. Istiadat Pernikahan Diraja akan diadakan di Masjid Istana Diraja, Istana Alam Shah di Klang.

Siapakah yang mencuri hati Tengku Amir Shah?

Foto: @selangorroyalofficial

Kenali siapa wanita yang berjaya menambat hati Raja Muda Selangor, Cik Afzaa Fadini atau nama sebenarnya Cik Afzaa Fadini binti Dato’ Abdul Aziz. Cik Afzaa Fadini, yang bakal bergelar isteri kepada Raja Muda Selangor, pernah berpengalaman bekerja dalam pengurusan dan perlindungan kawasan pemuliharaan di bawah pemulihan hutan aktif di Semenanjung Malaysia. Cik Afzaa Fadini juga pernah bekerjasama dengan agensi kerajaan, sektor korporat dan pihak berkepentingan tempatan untuk meningkatkan kesihatan hutan dan meningkatkan biodiversiti.

Foto: @rmselangor

Selain pernah bekerja di London, Cik Afzaa Fadini turut bergiat aktif dalam aktiviti sukarelawan seperti Teach For Malaysia dan Epic Homes Malaysia. Latar belakang pembelajaran Cik Afzaa Fadini juga tidak kurang hebatnya, beliau mempunyai Ijazah Sarjana Muda dalam BA Development Studies and Economics dari School of Oriental and African Studies, U. of London serta Ijazah Sarjana dalam Sustainable Cities dari King’s College London.

Perjalanan Menuju Pernikahan

Foto: @rmselangor

Sehubungan dengan itu, satu majlis bacaan Yasin dan doa selamat akan diadakan pada 25 September 2025 bersamaan 3 Rabi’ul Akhir 1447H di seluruh masjid di negeri Selangor yang dianjurkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor bagi memohon doa semoga Istiadat Perkahwinan dan Majlis yang dirancang akan dapat berjalan dengan lancar dan sempurna serta mendapat keberkatan daripada Allah Subhanahu Wata’ala.

Foto: @rmselangor

Istiadat Persandingan Diraja dan Majlis Santapan Diraja bagi memuliakan Istiadat Perkahwinan Diraja Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor akan diadakan di Balairung Seri dan Balai Santapan Diraja, Istana Alam Shah pada 22 Oktober 2025 bersamaan 30 Rabi’ul Akhir 1447H.

See also
Keselesaan: Kunci Utama Wanita Kala Bersenam

 

Artikel berkaitan: Raja Muda Selangor: Pewaris Takhta Dengan Kisah Inspirasi Tersendiri

Zahirah Zulkhairi merupakan Penulis di GLAM Malaysia. Menerusi sentuhan kreatifnya, kandungan yang dihasilkan menyelami dunia kecantikan dengan pendekatan yang segar dan dekat dengan pembaca.

Penulis