Kelly Clarkson Dilayan Kejam Sewaktu Mula Mencipta Nama - Glam Malaysia

Kelly Clarkson Dilayan Kejam Sewaktu Mula Mencipta Nama

Penyanyi Since U Been Gone, Kelly Clarkson menceritakan pengalamannya menerima layanan buruk daripada selebriti lain sewaktu di awal pembabitannya sebagai penyanyi, hampir 20 tahun lalu.

Kelly mula menjadi terkenal selepas bergelar juara American Idol musim pertama pada tahun 2002. Walaupun kemenangannya berdasarkan bakat, ramai selebriti bersikap kejam dan biadab terhadapnya hanya kerana dia mencipta nama daripada sebuah rancangan realiti.

Kelly membuat pendedahan tersebut sewaktu berbual bersama pelakon, Jennifer Love Hewitt dalam rancangan bual bicaranya, The Kelly Clarkson Show. Penyanyi tersebut melahirkan rasa kesyukuran di atas keramahan sikap Jennifer sewaktu pertemuan pertama mereka.

“Anda mungkin sudah lupa mengenai hal ini, namun ia masih terpahat di dalam fikiran saya sekian lama – hampir 20 tahun,” jelas Kelly.

“Ketika itu saya menghadiri di MTV Awards, baru sahaja tersenarai sebagai finalis American Idol. Kami menerima kritikan dan semuanya berputar bagaikan roda, orang sekeliling pula bersikap kejam kerana kami muncul dari rancangan realiti dan ia merupakan musim pertama.

See also
Alex Rodriguez Beri Respons Jenaka Mengenai Hubungan Romantis Bennifer

“Boleh dikatakan semua orang bersikap biadab terhadap kami. Di karpet merah, di majlis anugerah – ia sangat menyakitkan. Ia pengalaman yang buruk dan anda datang kepada saya entah dari mana dan membuat saya terkesima, kerana saya terlalu meminati anda.”

Foto: ABC

Dan Kelly turut berkongsi nasihat yang diberikan Jennifer, sesuatu yang dipegangnya sehingga ke hari ini.

“Anda katakan kepada saya, ‘Genggam mereka yang anda cintai dengan erat di hati anda, pada akhirnya hanya beberapa orang sahaja yang akan berada dalam hidup anda. Malangnya, bidang ini boleh menjadi sukar.

‘Dan jangan sesekali lepaskan mereka yang mencintai anda, pergi jauh dari hidup anda.’ Anda memberikan nasihat yang manis di kala saya mengharungi waktu yang sangat pahit secara peribadi,” imbas Kelly.

Dia turut mengucapkan terima kasih kepada Jennifer dan menambah, nasihat tersebut memberi makna yang sangat besar buat dirinya sehingga sekarang.

Foto: Pinterest

Baca: Hak Penerbitan Muzik Shakira Kini Milik Hipgnosis Songs Fund