Kenali Lee Soo Hyuk, Dari Model Kepada Pelakon Berwajah Misteri

Karakter ‘Gelap’ Lee Soo-Hyuk, Dari Model Ke Pelakon Berwajah Misteri

Lee Soo Hyuk bukanlah wajah asing dalam dunia hiburan Korea Selatan. Bermula sebagai model runway dengan rupa yang tajam dan karisma gelap, dia mencuri perhatian ramai bukan sahaja kerana penampilannya yang unik, tetapi juga kerana kebolehannya menjiwai watak dengan gaya yang tenang tetapi berkesan.

Dengan suara ‘deep’ dan gaya lakonan yang penuh misteri, Lee Soo Hyuk kini dikenali sebagai salah seorang pelakon lelaki yang paling ikonik dalam genre fantasi dan gelap (dark roles). Karier lakonannya bermula sekitar awal 2010-an, dan sejak itu dia terus mengukuhkan namanya dalam industri. Dirinya sering diberikan watak-watak yang luar biasa seperti pontianak, malaikat maut hingga ke watak dingin. Lakonannya bukan hanya bergantung pada dialog, tetapi pada ekspresi wajah, gerak tubuh dan kawalan emosi yang bersahaja, menjadikan watak-wataknya sentiasa berbekas di hati penonton.

Karya lakonan Lee Soo Hyuk

The Scholar Who Walks the Night

Antara drama yang melonjakkan namanya ialah “The Scholar Who Walks the Night” (2015), di mana Lee Soo Hyuk memainkan watak Gwi, pontianak berkuasa yang penuh dengan aura gelap. Wataknya sebagai penjahat yang berkarisma dalam drama itu memperkenalkan sisi hebatnya, dan ramai yang mula melihat potensinya dalam genre fantasi. Selepas itu, dia muncul dalam beberapa drama lain seperti “Born Again” (2020), di mana Soo Hyuk memegang dua watak dalam masa dua zaman berbeza, satu sebagai detektif, satu lagi sebagai pelajar undang-undang dan menunjukkan kebolehannya membawakan watak kompleks dengan latar masa berbeza.

See also
Amber Heard ‘Kantoi’ Menipu Isu Keganasan Rumah Tangga

Pada tahun 2021, Lee Soo Hyuk muncul dalam “Doom at Your Service” sebagai Cha Joo Ik, editor majalah yang bijak dan berkarisma. Dalam drama ini, walaupun bukan watak utama, dia berjaya mencuri perhatian penonton dengan gaya tenang dan dialog yang memikat. Wataknya lebih realistik dan romantik, membuktikan beliau juga mampu melakonkan watak dalam drama yang lebih ringan dan emosional.

Tomorrow

Salah satu projek yang benar-benar memperkukuh kedudukannya sebagai pelakon serius ialah “Tomorrow” (2022), sebuah drama yang menggabungkan elemen fantasi dan isu sosial. Di sini, Soo Hyuk memainkan watak Park Joong Gil, ketua pasukan Grim Reaper. Penonton memuji lakonannya yang sangat mendalam, menunjukkan sisi berprinsip tetapi juga penuh empati terhadap manusia yang hilang arah dalam hidup. Watak ini benar-benar memantapkan reputasinya sebagai pelakon berkaliber.

Kini, pada tahun 2025, Soo Hyuk kembali mencuri perhatian melalui drama “S Line”, yang menggabungkan elemen komedi gelap, jenayah dan sindiran sosial. Dalam drama ini, dia membawa watak yang berbeza daripada sebelumnya iaitu lebih santai, sinis dan penuh kejutan. Walaupun masih beberapa episod ditayangkan, ramai peminat kagum dengan sisi baru lakonannya. Ini menandakan satu perubahan gaya yang menunjukkan dia semakin berani bereksperimen dengan pelbagai jenis watak, daripada yang serius kepada yang penuh kejutan.

S Line

Selain drama, Soo Hyuk juga pernah muncul dalam beberapa filem seperti “The Boy from Ipanema” (2010) dan “Pipeline” (2021), di mana dia membuktikan kemampuan lakonannya bukan sahaja untuk televisyen, tetapi juga layar perak. Filem “Pipeline” menampilkan dirinya sebagai watak penjenayah dalam misi mencuri minyak bawah tanah, dan sekali lagi, gaya lakonannya yang ‘cool’ dan tenang menjadi tarikan utama.

See also
Dek Kebimbangan Melampau, Diana Danielle Kongsi Pengalaman Kesukaran Untuk Bernafas

Baru-baru ini Soo Hyuk membuat kemunculan sulung di Pavilion Kuala Lumpur pada 16 Julai 2025 sebagai sebahagian daripada Galаxy Unfolds Roadshow oleh Samsung, Tonton dan TV3 untuk mempromosikan drama terbarunya “S LINE” yang kini distrim secara eksklusif di platform Tonton. Acara ini disambut meriah oleh lebih 2,000 peminat yang hadir untuk sesi meet & greet, persembahan dan peluang bergambar eksklusif bersama aktor kesayangan ramai.

Artikel Berkaitan: Samsung Galaxy Z Fold7: Revolusi AI Pintar Pilihan GLAM

Maya Kusuma merupakan penulis di GLAM Malaysia. Penulisannya menjelajah dunia gaya hidup moden dan mewah, berkongsi kisah personaliti terkenal serta menyentuh aspek fesyen dan kecantikan.