Jason Derulo Sertai Barisan Juri The Voice Australia
Penyanyi-penulis lagu, Jason Derulo bakal menghangatkan The Voice Australia musim ke-12 dengan bakat dan pengalaman luar biasanya dalam bidang muzik.
Baru-baru ini rangkaian televisyen Seven Network mengumumkan bahawa Jason akan menyertai juri Rita Ora, Guy Sebastian dan Jessica Mauboy, menggantikan Keith Urban yang kini sibuk menjayakan konsert jelajah dunia.
“The Voice adalah salah satu jenama hiburan terbesar di dunia dan di Australia. Kami amat teruja untuk mengalu-alukan kehadiran salah seorang bintang tersohor dunia ke dalam keluarga Seven dan The Voice Australia. Jason menjadi pelengkap kepada barisan juri hebat kami, Jess, Rita dan Guy. Kami tidak sabar untuk melihat siapa peserta pilihan mereka untuk musim ini,” kata Angus Ross, ketua pegawai kandungan Seven Network.
Jason Derulo Dianggap Pilihan Terbaik
Seven Network mendefinisikan Jason sebagai ‘Raja TikTok’ berdasarkan 57 juta pengikut yang diraihnya di laman sosial terkenal itu. Pemuzik berusia 34 tahun itu juga telah menjual lebih daripada 250 juta lagu di seluruh dunia dan kini sedang sibuk dengan pembikinan album studio kelimanya yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.
“Saya amat kompetitif, sehingga menghampiri sempadan persaingan tidak sihat. Saya akan membawa perspektif global. Jelas ini adalah barisan pemuzik dari Australia tetapi dengan perubahan industri muzik, kini tiada lagi peraturan.
“Jadi tidak bermakna jika anda berasal dari negara tertentu, anda perlu terus berada di negara itu sahaja. Garis pemisah telah menjadi kabur justeru ada peluang untuk bintang global keluar dari kepompong mereka,” kata Jason kepada The Sunday Telegraph dalam satu wawancara.
The Voice Australia mula ditayangkan pada 2012 dengan menampilkan Delta Goodrem, Joel Madden, Seal dan Keith Urban sebagai juri. Sejak itu ramai barisan artis tempatan dan antarabangsa mengambil alih kerusi merah ikonik itu termasuk Ricky Martin, Kylie Minogue, will.i.am, Benji Madden, Jessie J, Ronan Keating, Kelly Rowland, Boy George dan Joe Jonas.
Foto: Twitter