GLAM Profil: Anne Rajasaikaran - Glam Malaysia

GLAM Profil: Anne Rajasaikaran

SUDAH 12 TAHUN ANNE RAJASAIKARAN, MEMERAH OTAK LANTAS MEMBANTING USAHA SERTA TENAGA BAGI MEMBANTU KANAK-KANAK JUGA KELUARGA YANG BERDEPAN DENGAN KESEMPITAN HIDUP.

MENGGALAS KOMITMEN SERTA TANGGUNGJAWAB SEBAGAI KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF YAYASAN KEBAJIKAN BUDIMAS, WANITA KELAHIRAN TANAH MELAKA INI KOMITED MEMBERIKAN BANTUAN PEMBELAJARAN BAGI ANAK-ANAK PELAPIS NEGARA.

pengarah kreatif NISA’ HALID pengarang rencana ZUHAIRIE SAHROM penata gaya & konsep MUZAMMIN MUZLAN arahan seni AMIRUL ARIFIN gambar ROBIN YONG@ONE3FOUR STUDIO solekan BOSCO RYZAL dandanan JUNO KO gubahan bunga FIRDAUS ZIN

Wanita berbintang Libra, Anne Rajasaikaran, 41, memiliki kepribadian yang ramah lagi bersahabat. Mewakili sisi kehidupan yang seimbang, teratur, setara, dan adil; Anne kini memerankan tanggungjawab sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Kebajikan Budimas. Membuka tirai tahun 2022, wanita penuh karisma lagi komited ini kembali membintangi lembaran profil terus mendalami peranan serta kerja-kerja Yayasan Kebajikan Budimas yang telah dijalankan sepanjang tempoh pandemik. “Kali pertama saya bersama Budimas yakni 12 tahun yang lalu, kami hanya ada seorang staff sahaja. Kini, pasukan kami sudah berkembang secara organiknya dengan memiliki seramai 32 orang kakitangan. Lantas, telah berpeluang untuk melancarkan pelbagai jenis program. Kami sangat berbesar hati kerana telah membantu hampir separuh juta kanak-kanak di Malaysia dan itu adalah rekod terbaik Budimas sepanjang 12 tahun ini,” terang Anne, ibu kepada tiga cahaya mata ini.

Tambahnya lagi, “Demikian, sepanjang tempoh 12 tahun ini, cabaran paling sukar adalah untuk memberitahu umum apakah Budimas dan peranan yayasan untuk menyalurkan bantuan buat yang dihimpit kesukaran hidup. Paling utamanya adalah kanak-kanak. Juga untuk memberitahu umum betapa pentingnya untuk kita menjaga serta menolong kanak-kanak ini. Rakyat Malaysia kurang pengetahuan mengenai peranan badan kebajikan-kebajikan yang wujud kala ini dek kerana sering didengarkan tentang imej atau cerita buruk tentang badan kebajikan yang menipu mereka. Itu antara cabaran yang sulit untuk kami langkaui selama 12 tahun ini. Hanya tujuh tahun yang lalu, masyarakat mulai sedar akan kempen serta kebajikan yang kami visikan. Mereka mula mengambil tahu dan memahami akan peranan kami dan hari ini boleh saya katakan sudah ramai anak Malaysia punyai latar pendidikan yang kukuh. Langsung, mereka tahu dimana atau pun siapa untuk dicari bagi menyumbangkan dana kepada agensi kebajikan.”

Jaket, seluar, kemeja cetak dan kasut KATE SPADE NEW YORK

ASPIRASI WANITA KOMITED

“Selain itu, kami juga didepani masalah di mana pemberian sering dipersoalkan. Sebagai contoh, pemberian baju haruslah dari baju terpakai. Kita ingin mengubah perspektif masyarakat bahawa kanak-kanak ini juga berhak menerima sepersalinan pakaian baru lalu mengimbangi kualiti kehidupan yang sama seperti kita. Itu adalah keperluan untuk semua individu bukannya kemewahan. Mereka tidak boleh mempersoalkan mengapa barang yang diberi bukan barangan kedua atau terpakai. Mereka juga berhak untuk memiliki barang atau kelengkapan peribadi yang baru,” terang Anne yang juga menyalurkan bantuan untuk pembelajaran bersama  Imperium International College, St. John’s International College dan Kasturi Academy.

See also
Serlahkan Gaya Aidilfitri Dengan Grace, Tas Tangan Terbaru Kate Spade New York

Mengimbas kembali Visi dan Misi Yayasan Kebajikan Budimas yakni untuk bimbingan dan pembiayaan dalam menyokong kebajikan dan kesejahteraan anak-anak yatim serta kanak-kanak kurang bernasib baik di Malaysia. GLAM mendalami visi Anne mengenainya. “Visi kami yang utamanya adalah untuk memberikan kasih sayang juga harapan untuk anak-anak yang bakal menjadi pelapis negara. Kanak-kanak yang datang daripada keluarga yang kurang berpendapatan, kanak-kanak yang datang daripada persekitaran keluarga yang kurang sihat dan lain-lain kategori. Kanak-kanak ini layak mendapat bantuan daripada kami. Saban tahun, Budimas mengolahkan strategi kreatif bagi memikirkan cara pengumpulan dana dengan lebih menarik. Sebelum dilanda pandemik, kami mengadakan majlis makan malam amal. Namun, disebabkan Covid-19, acara amal seperti ini terpaksa ditunda dan diganti dengan solusi lain.”

Visi kami yang utamanya adalah untuk memberikan kasih sayang juga harapan untuk anak-anak yang bakal menjadi pelapis negara.

“Kami menggantikannya dengan kempen ‘No Hungry Child’ sekali pun bilangan penderma kami telah menurun kerana rakyat mematuhi perintah kawalan pergerakan. Tetapi kami berjaya menyumbangkan bantuan kepada orang ramai terutama sekali pelajar sekolah. Dalam tempoh perintah kawalan pergerakan, kami mendapat tahu ramai pelajar tidak dapat hadir ke sekolah dan mereka terpaksa berlindung di rumah. Demikian, ada di antara pelajar ini tidak mempunyai sumber makanan yang lengkap di rumah. Kebanyakan mereka tidak mempunyai wang saku dan keadaan itu merisaukan kami memandangkan program bantuan kami adalah dengan memberikan makanan tambahan di sekolah. Bersama kempen ‘No Hungry Child’, kami menyediakan sebuah bakul makanan yang didalamnya penuh dengan pelbagai jenis makanan, barang memasak, lampin pakai buang, beras, barang mandian dan sebagainya. Mendapat permit dibawah Bencana Alam, lengkap dalam persalinan PPE, pasukan Budimas menghulurkan tangan dengan memberi bantuan kepada mereka sendiri.”

“Kami juga berkolaborasi bersama MYDIN dan memberi mereka baucar makanan untuk dibeli. MYDIN adalah antara pasar raya lokal yang terkenal dengan menawarkan harga yang berpatutan juga memasarkan produk Halal. Mudah diakses, mereka berpunya lebih dari 50 cawangan di Semenanjung Malaysia. Senang sekali untuk bekerjasama, kami berjaya menyalurkan bantuan kepada beberapa lokasi termasuk di Kelantan, Terengganu, Melaka, Negeri Sembilan juga di ibu kota. Selain itu, kami juga menyalurkan tablet serta komputer terpakai bagi pelajar yang memerlukan untuk menjalankan sesi persekolahan di rumah. Kebanyakan pelajar ini berkongsi menggunakan peranti bersama seisi keluarga. Jadi kami ambil solusi, jika sesiapa mempunyai komputer lama dan tidak dipakai, tetapi masih boleh diperbaiki; kami akan ambil dan baikinya. Kemudian, menyerahkan komputer berkenaan kepada keluarga-keluarga yang memerlukan. Begitu juga dengan akses internet, juga diberikan dalam pakej,” tutur lembut graduan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi dan Pengajian Media dan Ijazah Sarjana Perniagaan.

IMBANGI PELAJARAN DAN PENGALAMAN

“Saya bangga dengan usaha pasukan dibawah kendalian saya. Mereka semuanya ingin laksanakan sesuatu perkara lebih daripada apa yang mereka telah lakukan. Lebih-lebih lagi saat kita semua dilanda pandemik. Semangat berpasukan dan sifat tolong menolong  dalam diri masing-masing semakin menebal. Saya tidak pasti dari mana motivasi serta semangat mereka ini hadir. Saya beritahu kepada mereka untuk ambil satu perkara perlahan-lahan dan usaikannya satu persatu. Kita tidak boleh lakukan semua perkara dalam satu masa kerana bakal terlepas pandang perkara-perkara kecil. Yang terbaru dalam perancangan adalah kami berhasrat untuk membina perpustakaan buat anak Orang Asli juga memberikan menara komunikasi dan internet di lokasi yang strategik dan lebih baik untuk mereka. Ini bertujuan untuk memantapkan pembelajaran mereka. Terdapat jurang dan perbezaan makna PKP bagi mereka yang berharta dan tidak berkemampuan. Masing-masing punya kesukaran dan masalah yang dihadapi. Bagi mereka yang tidak berkemampuan, kami ingin memastikan mereka tidak ketinggalan dalam pembelajaran. Kami menerima aduan mengenai pelajar tidak hadir kelas sewaktu persekolahan dari rumah kerana tiada akses internet, tiada tablet, tiada komputer riba kerana ibubapa tidak berkemampuan untuk membeli. Internet sepatutnya harus dimiliki semua orang. Jadi kami akan bekerjasama dengan pihak atasan untuk membina menara internet lebih dan membaiki masalah talian internet agar mereka mendapat akses internet yang laju dan mudah bagi mereka untuk melakukan kerja dalam talian. Kami juga ingin memberi biasiswa kepada pelajar cemerlang yang tidak berkemampuan meneruskan pengajian ke peringkat Universiti. Demikian antara rancangan kami pada tahun baru memandangkan isu pandemik kini masih terpalit dalam perencanaan harian.”

See also
Hollywood Kuasai Baris Hadapan Michael Kors

“Sebaiknya pelajaran dan pengalaman itu saling mengimbangi. Pendidikan penting, dan pengalaman juga penting. Saya tamat pengajian sarjana muda dengan cemerlang, selepas itu saya tidak tahu ingin membuat apa. Saya bekerja untuk merasai pengalaman lalu membina siapa diri saya kala ini. Jika ditanya apa matlamat saya 10 tahun yang lepas, dengan apa yang saya tahu (pendidikan dan pengalaman) sekarang ini, jawapannya sangat berbeza. Kerana saya ada banyak pengalaman. Pendidikan membawa anda ke sesuatu tempat, namun pengalaman diperlukan untuk melaksanakan sesuatu rincian pekerjaan. Tuntut sebanyak ilmu selagi terdaya, saat jantung masih berdegup tanpa mengira batas sempadan. Paling utamanya, tanpa ada paksaan kerana ilmu itu juga adalah anugerah Tuhan,” terang Anne yang kini sedang menekuni pelajaran ke peringkat PhD.

Saya menyokong wanita dan saya juga bukan pembenci kaum lelaki. Ada sesetengah orang fikir jika seseorang itu feminis, mereka terus dilabel sebagai pembenci lelaki. Itu bukan women empowerment, anda perlu seimbangkan dua perkara itu.

Mendalami sisi keperibadian Anne yang penuh kelembutan, GLAM mengusulkan erti pemerkasaan wanita padanya, “Bagi saya, women empowerment perlu datang daripada diri sendiri. Anda perlu percaya diri sendiri dan jangan tunggu orang lain lakukan sesuatu untuk diri anda. Jangan harapkan balasan yang sama daripada orang lain. Ada adab dalam kesopanan, seperti jika seorang lelaki membuka pintu untuk anda; anda ambilnya sebagai tanda hormat. Sekiranya, lelaki itu tidak berbuat demikian, tidak bermakna dia bukan seorang lelaki yang budiman. Saya menyokong wanita dan saya juga bukan pembenci kaum lelaki. Ada sesetengah orang fikir jika seseorang itu feminis, mereka terus dilabel sebagai pembenci lelaki. Itu bukan women empowerment, anda perlu seimbangkan dua perkara itu. Anda perlu tahu mengawal ia. Jangan gila kuasa. Kita tahu bahawa lelaki sering diberi kuasa sepenuhnya apabila mereka mengetuai boardroom, ianya sesuatu yang normal. Begitu juga dengan wanita jika diberi kuasa dalam boardroom, anda perlu tahu cara untuk mengawal dan bertindak adil. Rendahkan sifat feminism dalam diri anda. Saya banyak mendalami diri sendiri kerana saya memerankan posisi sebagai CEO di tempat kerja. You will get upset sometimes but at the same time you have to be rational and realistic. All leaders have to show self-reliance and adaptability, displaying confidence, creativity, and perseverance. Itu pasti.”

Kot oversized MICHAEL MICHAEL KORS

“Don’t be too hard on yourself. Saya akan menasihati versi muda saya untuk ambil masa perlahan-lahan dan cari jalan penyelesaian satu persatu. Saya terkejar-kejar dan terlepas  untuk menikmati momen-momen yang sepatutnya diharungi seorang anak muda. Saya akan beritahu diri sendiri untuk berehat sebentar dan mencium kesegaran bunga mawar seketika. Saat usia mencecah 30-an, baru saya  berpeluang untuk menjelajah ke luar kerana sebelum ini sibuk bekerja. Saya bukan datang dari keluarga yang mewah. Saya ambil masa untuk mengembara lalu menghargai dunia. Tidak perlu ada rasa iri hati bila melihat kesenangan orang lain. Sebaliknya mencabangkan energi itu untuk memperolehi usaha yang lebih positif dengan meletakkan matlamat peribadi”.

Untuk tahun 2022 ini saya ingin kekalkan semangat positif yang lebih baik daripada tahun sebelumnya.

Anne juga sempat berkongsi tips penjagaan kulit memandangkan kulitnya bersinar sihat saat memasuki ruang studio lagi. “Amalkan minum air kosong selalu, cukupkan waktu tidur. Tidur dapat membantu untuk merehatkan dan merawat kulit kita sebenarnya. Serta, jaga seluruh badan anda, kaki, badan belakang. Equally treat your body. Saya tidak punya rejim kecantikan yang kompleks, hanya memakai pelembap kulit dan perlindungan UV matahari. Saya selalu membawa dua item ini kemana sahaja saya pergi. Basuh muka setiap kali bersiram di kamar mandi dan jangan lupa untuk exfoliate mungkin seminggu sekali. Selain itu, saya juga mengambil makanan tambahan seperti vitamin C. Untuk tahun 2022 ini saya ingin kekalkan semangat positif yang lebih baik daripada tahun sebelumnya. Saya kembali aktif menghadiri kelas tarian klasik, yoga dan mengamalkan beberapa rutin senaman. Selain itu, mahu menjadi versi yang lebih baik sebagai isteri, ibu dan pemimpin; baik di dalam keluarga mahupun di tempat kerja. Sepanjang PKP dua tahun lepas, ia mengajar saya untuk menjadi ibu yang lebih baik, kerana saya berdepan 24 jam 7 hari bersama anak dirumah. Saya lebih memahami apa kehendak dan keperluan mereka. Saya sedar segalanya bukan berdasarkan duit semata-mata tetapi lebih kepada masa yang kita luangkan bersama mereka. Jika PKP tidak berlaku, mungkin perkara yang kami lalui ini tidak akan terjadi. Kerana jika tiada PKP, kedua ibubapa saya iaitu nenek dan atuk mereka yang akan menjaga mereka. This was also a blessing in disguise when it happened. ”

See also
Terokai Pop-up Girang Kate Spade New York Fall 2024 Di The Exchange TRX

Baca lebih lanjut: GLAM Profil: Ferhat Nazri