Ellen DeGeneres Dedah Pengalaman Covid-19 Secara Terperinci
Pelawak dan pengacara, Ellen DeGeneres akhirnya kembali ke studio untuk rakaman rancangan bual bicara, The Ellen DeGeneres Show Rabu lalu.
Penggambaran episod pertama untuk tahun 2021 tersebut ditangguhkan sebelum ini selama sebulan selepas DeGeneres disahkan positif Covid-19 pada 10 Disember tahun lalu.
“Saya disahkan positif sebelum cuti perayaan. Sekarang saya sudah sihat, semuanya okey. Saya mahu ucap ribuan terima kasih kepada semua orang yang memberikan kata-kata semangat dan sokongan kepada saya,” katanya kepada penonton maya ketika itu.
DeGeneres mendedahkan dia mendapat tahu tentang perkara tersebut sewaktu sedang bersiap sedia untuk rakaman episod baru.
“Saya sedang didandan dan disolek, kemudian pembantu saya Craig datang berjumpa saya dan berkata, ‘Anda disahkan positif Covid’. Secara tiba-tiba semua di sekeliling saya melarikan diri. Saya dengan pantas meninggalkan studio dan pasukan keselamatan Covid kami terus mengesan mereka yang mempunyai kontak rapat dengan saya.”
DeGeneres meneruskan, “Saya pulang ke rumah dan menjalani kuarantin. Tiga hari pertama, saya tidur 16 jam sehari. Hari keempat, belakang tubuh saya terasa kejang selepas bangun tidur. Ia berterusan sehingga doktor terpaksa memberikan saya ubat penahan sakit dan penenang otot.”
Namun katanya, ubat penahan sakit tidak berkesan dan tulang rusuknya terasa sakit bagaikan ditusuk. Doktor memberikan steroid untuk melegakan kesakitan yang dialaminya. Dan kini dia telah bebas sepenuhnya daripada virus tersebut.
Pada 31 Disember 2020, seorang jurucakap Telepictures memberitahu tarikh produksi yang dijadualkan pada awal Januari telah terpaksa dilanjutkan seminggu disebabkan peningkatan kes Covid-19 di Los Angeles.
Sejak September lalu, The Ellen DeGeneres Show hanya menjemput selebriti sebagai tetamu secara in-person mahupun virtual tanpa kehadiran penonton.
Foto: News
Baca: Taraji P. Henson Hampir Ragut Nyawa Sendiri Ketika Pandemik Covid-19