Dr Sheikh Muszaphar & Dr Halina Selamat Timang Anak Ketujuh
Kehidupan Datuk Dr Sheikh Muszaphar dan isteri, Datin Dr Halina kini lebih berseri dengan kehadiran orang baru dalam keluarga mereka.
Tanggal 12 Julai 2023, isteri angkasawan negara itu selamat melahirkan anak ketujuh mereka di sebuah pusat perubatan swasta di Petaling Jaya, Selangor. Khabar gembira itu dikongsikan sendiri oleh Dr Sheikh Muszaphar bersama 1.2 juta pengikutnya di Instagram. Dalam hantaran sama, dia turut meluahkan rasa bersyukur kerana proses kelahiran putera keempatnya ini dipermudahkan.
“Anak lelaki. Lahir hari ini, 12 Julai 2023. Berat 2.98 kilogram. Panjang 51 sentimeter. Berambut lebat. Ibu dan anak dalam keadaan baik, sedang menyusu. Alhamdulillah, syukur sangat. Terima kasih semua atas doa-doa yang dikirimkan,” tulisnya.
Dr Halina dimasukkan ke hospital pada hari sama untuk melahirkan secara pembedahan kerana mengalami kekurangan cecair amniotik. Di ruangan komen, Dr Sheikh Muszaphar menjelaskan ini adalah kelahiran secara pembedahan kali ketiga buat isterinya.
Dr Sheikh Muszaphar Umum Kehamilan
Disember tahun lalu, usahawan itu mendedahkan berita kehamilan isterinya menerusi satu video unik di Instagram. Dalam perkongsian tersebut, Dr Halina dilihat membisikkan khabar gembira itu di telinga suaminya sebelum ia disebarkan kepada enam anak mereka. “Alhamdulillah, syukur sangat. Semua orang teruja. Semoga dipermudahkan, amin,” tulisnya.
Perkongsian itu disambut baik oleh pengikutnya yang tidak putus-putus menitipkan ucapan tahniah dan berkongsi rasa gembira. Datuk Seri Siti Nurhaliza turut meluahkan keterujaan dengan menulis, “Subhanallah, murahnya rezeki anak-anak. Seronoknyaaa!”
Dr Sheikh Muszaphar dan Dr Halina mendirikan rumah tangga pada 10 Oktober 2010. Hasil perkongsian hidup selama 13 tahun, mereka dikurniakan Sophea Isabella, Sophia Natasha, kembar lelaki Sheikh Adam dan Sheikh Noah, serta kembar lelaki dan perempuan yang diberi nama Sheikh Eusoff dan Sophea Emilia.
Foto: Instagram