Divorce Insurance, Servis Insurans Unik Dari The Lee

Divorce Insurance, Servis Insurans Unik Dari The Lee

    Pelbagai jenis insurans disediakan di dunia ini, tetapi pernahkah anda rasa ingin tahu tentang insurans penceraian atau Divorce Insurance

Dibintangi oleh bintang Korea Selatan yang sememangnya mempunyai nama yang besar, Divorce Insurance bakal ditayangkan bermula 31 Mac 2025. Gabungan hangat dari The Lee iaitu Lee Dong-wook, Lee Kwang-soo, Lee Da-hee dan Lee Joo-bin ini bakal menjadi fenomena di dunia dengan keunikkan konsep drama ini. Divorce Insurance merupakan drama ramntik komedi yang mengisahkan empat orang yang mempunyai pengalaman berbeza mengenai cinta dan perkahwinan, menyediakan produk insurans penceraian.

 GLAM sempat menemubual pelakon-pelakon utama Divorce Insurance untuk berkongsi serba sedikit TMI sebelum anda mula menonton drama romantik komedi ini!

#1 Drama Divorce Insurance mengetengahkan konsep insurans penceraian. Jadi, jika produk sebegini wujud dalam realiti, adakah anda akan membelinya?

Lee Dong-wook: Bagi saya, jawapan saya ialah ya kerana ia masuk akal memandangkan kami sedang bekerja di dalam drama yang berkisarkan konsep insurans penceraian. Saya tidak begitu tahu tentangnya kerana saya belum pernah berkahwin, tetapi buat masa ini, saya ingin menjawab ya.

Lee Joo-bin: Jawapan saya ialah ya kerana semasa bekerja dalam drama ini, saya sedar bahawa jika produk sebegini benar-benar wujud, saya tidak akan melihatnya sebagai sesuatu yang menimbulkan kebimbangan tentang risiko perkahwinan. Sebaliknya sebagai sesuatu yang boleh melindungi saya, keluarga saya, rakan-rakan saya, dan semua orang yang saya sayangi.

Lee Da-hee: Jawapan saya tidak kerana saya masih bujang. Saya rasa jika saya sudah berkahwin, saya mungkin akan menjawab ya.

Lee Kwang-soo: Pada mulanya, saya jawab tidak, tetapi saya berubah fikiran dan memilih ya kerana sepanjang proses penggambaran drama ini, saya sedar bahawa tidak kira apa jua pilihan yang dibuat, berkahwin atau bercerai, ia seharusnya membawa kepada kebahagiaan. Saya rasa anda akan dapat memahami mesej ini jika menonton drama kami.

#2 Keempat-empat anda dan juga pengarah mempunyai nama keluarga yang sama iaitu Lee. Ini agak jarang berlaku dalam sebuah drama di mana para pelakon utamanya berkongsi nama keluarga yang sama. Apakah reaksi anda?

Lee Da-hee: Sejujurnya, saya tidak perasan hinggalah seseorang memberitahu kami bahawa kami semua mempunyai nama keluarga yang sama. Jadi, saya rasa kami tidak begitu terkejut kerana terdapat ramai orang yang mempunyai nama keluarga Lee di Korea. Sebenarnya, sebelum wawancara ini bermula, saya tidak begitu yakin sama ada saya boleh memberikan jawapan yang baik atau tidak, jadi saya sebenarnya ingin menyerahkan mikrofon kepada yang lain, tetapi mereka terus meletakkan saya di tempat pertama.

See also
Penjenamaan Semula NewJeans, Ini Semua Yang Anda Perlu Tahu

Lee Kwang-soo: Saya rasa ini adalah satu kebetulan yang menarik dan mungkin juga satu tanda bertuah kerana bukan sahaja kami berempat, tetapi pengarah dan penulis juga mempunyai nama keluarga yang sama. Jadi, mungkin ini boleh menjadi ‘azimat bertuah’ dan membawa tuah kepada drama kami!

#3 Divorce Insurance mempunyai konsep yang unik dan segar. Apakah reaksi pertama anda apabila membaca skripnya?

Lee Dong-wook: Seperti yang anda katakan, saya rasa drama ini benar-benar membawa sesuatu yang baru kerana insurans atau polisi insurans adalah sesuatu yang sangat penting dalam kehidupan seharian kita. Tetapi konsep produk yang memberikan perlindungan untuk penceraian adalah sesuatu yang belum pernah dilihat sebelum ini. Jadi, bagi saya, ia terasa sangat baru dan segar. Selain itu, semua watak dalam drama ini sangat hidup dan dinamik. Elemen-elemen itulah yang benar-benar menonjol ketika saya pertama kali membaca skrip ini.

Lee Kwang-soo: Saya juga sangat ingin melihat dan berasa teruja dengan gaya pengarahan unik yang terkenal oleh pengarah Lee Won-seok.

Lee Joo-bin: Saya juga belum pernah berkahwin, tetapi terdapat begitu banyak kes penceraian yang dipaparkan dalam skrip yang saya rasa boleh dikaitkan dengan kehidupan sebenar. Watak-watak dalam cerita ini sangat menarik, dan terdapat banyak insiden yang penuh debaran, jadi saya benar-benar tertarik dengan semua itu dan sangat ingin melihat bagaimana ia akan dihidupkan di skrin.

Lee Da-hee: Seronok dapat bekerja dengan pelakon-pelakon hebat ini, yang sebelum ini hanya saya lihat di TV. Selain itu, seperti yang Kwang-soo katakan, saya sangat tertarik dengan pengarah kerana saya memang menggemari gaya pengarahan uniknya. Jadi, apabila saya tahu bahawa beliau akan menerajui drama ini, yang berpusat pada konsep insurans penceraian yang sangat segar dan baru, saya yakin hasilnya akan menjadi satu drama yang unik dan menarik. Sebab itulah saya benar-benar ingin terlibat dalam projek ini.

#4 Untuk Lee Dong-wook, dalam drama ini, watak anda Ki-jun, telah bercerai sebanyak tiga kali. Jadi, menurut anda, apakah kelemahan terbesar atau kekurangan utama dalam dirinya yang menyebabkan perkahwinannya gagal berulang kali?

Lee Dong-wook: Pertama sekali, saya rasa No Ki-jun adalah seorang watak yang sangat berani kerana dia mempunyai keberanian untuk membuat keputusan untuk bercerai sebanyak tiga kali. Saya fikir sebab utama perkahwinannya berakhir dengan perceraian adalah kerana dia dan pasangannya tidak dapat menghormati perbezaan antara satu sama lain. Saya percaya bahawa sebahagian penting dalam cinta adalah memahami dan menerima perbezaan pasangan kita. Tetapi mungkin bahagian itu tidak benar-benar menjadi untuk Ki-jun.

See also
Meerqeen Sertai Anna Jobling Dalam Senarai Tercantik & Terkacak TC Candler

Lee Kwang-soo: Salah satu dialog yang saya ucapkan dalam drama ini berbunyi, “Ki-jun bercerai bukan kerana dia cuai, tetapi kerana dia terlalu mengambil berat dan terlalu memikirkan orang lain.” Jika anda menonton drama ini, anda akan memahami apa maksud sebenar kata-kata ini.

#5 Jika watak anda boleh berikan satu nasihat tentang perhubungan, apakah yang mereka akan katakan?

Lee Da-hee: Jangan beri segalanya dalam perkahwinan. Saya rasa tidak betul untuk mengorbankan semuanya kerana ada bahagian lain dalam hidup yang juga sangat penting selain perkahwinan.

Lee Joo-bin: Han-deul, watak yang saya lakonkan akan berkata, “Jangan terlalu berhati-hati dengan orang lain. Ikut saja kata hati anda.”

Lee Kwang-soo: Jika Jeon-man ingin memberikan nasihat, dia akan berkata, “Jangan keterlaluan dalam menghias dalaman rumah anda.” Hahaha!

Lee Dong-wook: Jika Ki-jun ingin memberi nasihat tentang hubungan, dia akan berkata, “Fikirkan jumlah nafkah yang perlu anda bayar nanti.”

#6 Anda semua jelas kelihatan seperti sahabat baik, bukan sahaja sekarang tetapi juga di luar kamera. Anda juga pernah bekerja bersama sebelum ini. Jadi, saya ingin tahu bagaimana sinergi dan keserasian antara anda semua, baik di set mahupun di luar set?

Lee Joo-bin: Ya, semua rakan pelakon saya jauh lebih berpengalaman daripada saya. Mereka adalah pelakon veteran, dan saya adalah yang paling muda dalam kumpulan ini. Ini juga kali pertama saya membawakan watak utama seperti ini. Jadi, pada mulanya saya agak risau. Tetapi mereka banyak membantu saya. Di set, apabila saya berasa down, mereka akan datang kepada saya, bersikap mesra, mengusik, dan bergurau, menjadikan suasana di set lebih ceria dan menyeronokkan.

Lee Dong-wook: Saya ingin menambah bahawa bukan sahaja kami berempat, tetapi setiap ahli produksi, termasuk para pelakon dan kru, semuanya adalah orang yang sangat baik hati, prihatin, dan menyokong antara satu sama lain. Saya rasa itulah yang membentuk persekitaran kerja yang selesa dan membolehkan kami menjadi begitu rapat.

Da-hee: Salah satu rahsia kepada keserasian yang hebat ini adalah kerana Dong-wook selalu belanja kami makan malam dan sering membawa kami menikmati makanan yang enak dengan duitnya sendiri.

See also
9 K-Drama Netflix Yang Dinantikan Tahun 2025

Lee Kwang-soo: Jika kami menjalani penggambaran di kawasan lain, dia akan mencari restoran terbaik di situ untuk belanja kami makan.

Lee Joo-bin: Pernah sekali, saya kalah dalam pertaruhan dan terpaksa belanja semua orang makan malam. Tetapi apabila saya mahu membayar, saya sedar bahawa Dong-wook sudah pun mendahului saya dan membayarnya terlebih dahulu.

#7 Jika anda boleh memainkan watak lain dalam drama ini, watak manakah yang anda mahu lakonkan dan mengapa?

Lee Dong-wook: Saya ingin memainkan watak Jeon Na-rae yang dilakonkan oleh Da-hee. Ini kerana dia bukan jenis yang menyimpan sesuatu di dalam hati. Dia sangat lantang, berterus terang, dan sentiasa mengatakan perkara yang tepat pada setiap masa. Jadi, melihat wataknya sangat menyegarkan. Itulah sebabnya saya ingin menjadi Na-rae.

Lee Kwang-soo: Watak Na-rae juga menjadi pilihan saya kerana dia adalah yang berpangkat paling tinggi dalam pejabat kami. Saya tidak pernah membawa watak sebagai orang berpangkat tinggi seperti Naib Presiden Eksekutif sebelum ini, jadi saya ingin mencubanya.

Lee Joo-been: Watak Ki-jun menjadi pilihan saya kerana fakta bahawa dia telah berkahwin sebanyak tiga kali sangat menarik dan penuh misteri bagi saya. Seolah-olah ada daya tarikan tersembunyi dalam dirinya. Dia juga boleh bergerak dengan begitu lancar antara sisi emosionalnya dan sisi logiknya, yang saya rasa sangat menarik. Jadi, saya ingin mencuba watak Ki-jun.

Lee Da-hee: Watak yang saya inginkan ialah Jeon-man yang dilakonkan oleh Kwang-soo. Dia baru sahaja berkata bahawa dia ingin membawa watak saya kerana dia tidak pernah memainkan watak berpangkat tinggi. Tetapi saya rasa dia tidak patut berkata begitu kerana Jeon-man sebenarnya tidak pernah mengikut arahan. Dia hanya buat hal sendiri dan langsung tidak peduli. Sebab itulah sebagai Na-rae, saya selalu berasa terganggu dengan sikapnya. Jadi, saya ingin menukar watak dan mengganggunya pula!

#8 Yang terakhir, untuk Lee Kwang-soo dan Lee Da-hee, anda berdua pernah bekerja bersama dan mempunyai keserasian yang sangat baik dalam rancangan TV Running Man. Bagaimana perasaan anda bekerja bersama sekali lagi dalam drama ini?

Lee Da-hee: Semasa penggambaran di set, rasanya seolah-olah kami sedang merakam Running Man semula. Ia kerana sudah agak lama kami tidak berjumpa. Tetapi pada masa yang sama, langsung tidak terasa janggal berada bersamanya, dan keserasian kami tetap hebat seperti dulu.

Artikel Berkaitan: 5 Filem Lakonan Pelakon Muda Dalam Kenangan, Kim Saeron