Datin X: WARNING! KL Dipenuhi Datin Super Fake
Blessed, Alhamdulillah… dan banyak kata-kata positif dan bermotivasi yang berbau super fake berlegar-legar di media sosial. Namun, benarkah semua kata-kata ini datang dari hati yang suci?
Bulan ini, Datin X mahu mengupas isu talam dua muka atau lebih senang kita panggil—Fakers! Memang benar media sosial bukan tempat kita mengenal hati budi seseorang. Rata-rata warganet memberi informasi bahagia dan kesenangan (super fake), dukacita dan kehidupan papa kedana diperuk dalam poket sendiri. Si tukang lihat pula ada kalanya terkesan bila mula membandingkan kehidupan sendiri dengan yang lain. Kasihan.
Ambil cerita Datin Sarah (yang kini sudah menjadi janda) sebagai contoh. Dek kerana terpedaya dengan apa yang ditonjolkan Datuk Fendi, dia menerima lamaran lalu bernikah awal tahun lalu. Namun sebaik mendapat tahu yang Datuk Fendi hanyalah Datuk ‘cap ayam’—membeli gelaran dan selepas beberapa kali kecundang dalam perniagaan, Datin Sarah yang dulunya sering digelar social climber terus meminta cerai. Alahai, senangnya membina masjid yang indah dan berbelanja ratusan ribu hanya untuk dimusnahkan dalam sekelip mata.
Datin X dengar, dia sedang memancing jerung emas yang baru semata-mata ‘lapar’ pangkat dan mengejar harta. Sudah mula pasang badan, adjust muka dan tayang body sana sini dengan tujuan mahu menarik perhatian orang kenamaan yang tua dan gatal mahu bernikah lagi. Ada ura-ura, dia langsung tak kisah hidup bermadu mahupun menjadi isteri nombor empat! Subhanallah, sungguh duniawi tujuan hidupnya.
Pautan berkaitan: Datin X: Datin Berang, PA Besar Kepala Sambil Ber ‘Dendang’ Di Media Sosial
Ada lagi satu kisah, si Datin Bebe pula. Sering digelar Datin super-fake-tahap-dewa! Sikapnya yang fake ada kala buat Datin X terpedaya. Lemah lembut orangnya, sopan mengatur tutur kata. Boleh berborak apa jua topik bersama, campak saja apa isu sekalipun, dia boleh kupas sedalam-dalamnya. Ada kala terdetik di hati, adakah memang personalitinya sebegitu atau hanya dibuat semata-mata untuk buat orang suka padanya? Sejujurnya hingga kini, Datin X masih tidak boleh mengagak.
Ramai dikalangan teman rapat Datin X juga berkongsi cerita yang sama. Si polan terlalu friendly, self invite dirinya meramaikan gathering datin-datin KL. Tayang Birkin dan segala mak nenek jenama hebat juga sanggup habis beribu membayar bil satu meja. Apa lebih mengagumkan, dia tidak akan hadir dengan tangan kosong, turut dibawa bersama adalah berbekas-bekas makanan ke rumah datin-datin yang lain untuk catch-up dan bual-bual kosong. A for the effort, right?
Seorang lagi, Datin Seri Mary baru menganut agama Islam sejak bernikah dengan Dato Seri M. Mula berhijab dan menutup aurat, tapi mulutnya masih seperti dahulu. Buktinya? Bila terserempak di acara fesyen, dia masih mengerling beg yang dibimbit Datin lain. Mengata yang itu, memburuk-burukkan yang ini. Ada sahaja tak kena di matanya. Ringan sungguh mulutnya mengata. Lain sungguh karakter yang kita lihat di media sosial dengan yang ada di depan mata. Acah penunggang agama, tapi masih miskin dalam membentuk akhlak sendiri.
Artikel sepenuhnya di dalam GLAM MEI 2021
Ilustrasi: Hidayah Ahmad Surasa