Datin X: Terjeratnya Cinta Dusta Si Penunggang Agama
Sudahnya, Datin X tak menyangka niat baik Datin Lana berakhir dengan jalan cerita yang menyedihkan…
Alhamdulillah, kebelakangan ini ramai antara kita sudah mula berhijrah. Wanita mahupun kaum adam sama-sama mempelajari hal agama dan mengenal ketuhanan. Kalau dilihat di Instagram, ramai yang mengikuti kegiatan Tabligh dan tiap kali Datin X skrol, ada sahaja senarai following Datin X yang sudah mendekati agama dan berkongsi mengenainya.
Syukur Datin X panjatkan bila ramai yang mendapat hidayah dan seringkali berdoa agar diri juga menerimanya. Sedang seorang demi seorang muncul dengan kenyataan bahawa mereka sudah berubah dan kini ayu berhijab, ada juga yang masih mencari-cari diri (me included). Mencuba untuk berubah kerana Allah dan dukacitanya ada juga yang terikut-ikut dengan trend yang makin popular kala pandemik ini. Datin X kurang pasti dengan dunia luar, tapi di Malaysia inilah fenomena yang kian mendapat sambutan hangat.
Sedang ramai mencari diri dengan mengikuti ceramah agama, kelas mengaji agar fasih Al-Quran atas alasan mahu memperkuatkan pegangan agama, ada juga yang mengambil kesempatan. Kalau boleh Datin X tak mahu sebut atau bercerita mengenainya namun biarlah ia menjadi pedoman dan manalah tahu hasil tulisan Datin X ini mengundang kesedaran sekali gus menjadi teladan kepada yang masih mentah dalam mencari-cari diri juga hal agama.
Pautan berkaitan: Datin X: Ipar Duai Berpecah Belah, Porak Peranda Rumah Mentua
Atas kebaikan bersama, Datin Lana mula membuka kisah hitam yang terpalit padanya baru-baru ini. Terkejut dibuatnya sampai terbayang wajah si penunggang agama itu berminggu-minggu lamanya. Ustaz, pengajar agama yang sering disanjung tinggi tergamak melakukan perkara terkutuk langsung memburukkan namanya juga mengaibkan seisi keluarga.
Begini mulanya, Datin Lana yang mahu memperhalusi kerohanian dan spiritual berjumpa dengan Ustaz Hadi untuk sesi syarahan agama. Selain mendengar ceramah dan fasih Al-Quran, dia juga sering berkongsi masalah yang dialaminya dengan harapan Ustaz Hadi dapat memberi jalan membetulkan keadaan. Nasihat agama dan kehidupan Datin Lana banyak datangnya dari Ustaz Hadi dan ini termasuk perangai suka berbelanja besar dan kisah rumah tangganya. Mungkin di sini segalanya bermula…
Dato’ Fendy langsung tidak mengambil pusing tentang perjalanan agama sedang Datin Lana ikuti. Dek kerana kesibukan kerja, Dato’ Fendy sering tiada di rumah dan kurang berinteraksi, tidur sekatil pula boleh dikira pakai jari. Jadi, rutin harian Datin Lana hanyalah shopping dan juga kelas agama yang mahu dicuba-cuba.
Kian hari, hubungan Datin Lana dan Ustaz Hadi makin mesra dan ada kalanya perkara yang dibualkan di WhatsApp langsung tiada kaitan dengan pelajaran agama. Mereka berdua makin dekat dan ini membuat Datin Lana mula bercerita mengenai keintiman mereka demi meminta buah fikiran dan juga mencari teman buat meluah rasa. Datin X hanya menasihatinya agar berhati-hati kerana dia sudah bersuami dan Ustaz Hadi seorang yang ternama.
Artikel sepenuhnya di dalam GLAM SEPTEMBER 2021
Ilustrasi: Hidayah Ahmad Surasa