Cartier Jewellery Institute Dibuka Kepada Generasi Baharu - Glam Malaysia

Cartier Jewellery Institute Dibuka Kepada Generasi Baharu

Dari 19 hingga 21 September 2025, Cartier Jewellery Institute sekali lagi membuka pintunya kepada orang ramai buat tahun keempat berturut-turut, memberi peluang untuk mengenali kehalusan pertukangan dan savoir-faire perhiasan Cartier yang luar biasa. Seperti tahun-tahun sebelumnya, lebih 250 pengunjung dijangka hadir sepanjang hujung minggu tersebut. Pada 19 September, institut ini turut menganjurkan hari terbuka khas untuk pelajar sekolah dan kumpulan jemputan lain.

Ruang seni dan sejarah di tengah Paris

Bertemakan “Warisan Seni Bina,” acara ini membawa pengunjung menikmati lawatan eksklusif ke Cartier Jewellery Institute. Terletak di arrondissement ke-9, di kawasan bersejarah perhiasan Paris, institut ini sejak 2016 beroperasi di Hôtel Pinsot, sebuah rumah agam persendirian dari penghujung abad ke-18. Fasad di bahagian halaman dan dekorasi salon kecilnya telah disenaraikan dalam Inventori Tambahan Monumen Bersejarah sejak 1927. Hari ini, institut ini meliputi tiga tingkat, sepenuhnya dikhususkan untuk warisan dan pemindahan ilmu pertukangan perhiasan.

Di tingkat pertama, pengunjung dapat mengikuti proses penciptaan seutas perhiasan – bermula daripada pemilihan batu berharga, rekaan, hinggalah ke penghasilan sebenar. Satu instalasi interaktif turut membolehkan pengunjung “memasuki” ke dalam sebutir opal. Selepas itu, kumpulan kecil akan menyertai sesi dialog bersama para artisan – tukang emas, setter, pakar tuangan, dan penggilap – yang akan berkongsi pengalaman mereka secara langsung di meja kerja.

See also
Datin X: Wanita Simpanan Bawa Watak Isteri Pertama

Di tingkat kedua, rahsia kepakaran batu berharga akan dibongkar, dengan pengunjung diberi peluang menyentuh serta mengenali batu permata di Materials Workshop. Seterusnya di tingkat ketiga, pengunjung dijemput menyertai sesi latihan asas memperbaiki susunan batu permata, dibimbing oleh tenaga pengajar institut.

Buat tahun kedua, Cartier turut menyertai operasi “Levez les yeux” (Look Up) anjuran Kementerian Pendidikan Perancis. Dalam konteks ini, pada 19 September, Maison menyambut dua kelas pelajar sekolah menengah dan dua pertubuhan yang mempunyai hubungan rapat dengannya: Fabrique Nomade dan De l’Or dans les Mains.

Ditubuhkan pada Januari 2016, Fabrique Nomade menyokong pengintegrasian profesional bagi tukang imigran serta pelarian di Perancis. Pada tahun 2025, tiga artisan dewasa dalam bidang perhiasan diterima masuk ke Cartier Jewellery Institute untuk latihan dua minggu, mempelajari teknik baharu Maison, sambil memperkenalkan kepakaran dari budaya mereka. Pertukaran ini bukan sahaja memperkayakan pengalaman mereka, tetapi juga membolehkan tenaga pengajar institut mengenali teknik antarabangsa.

Sementara itu, De l’Or dans les Mains yang ditubuhkan pada 2021 bertujuan meningkatkan kesedaran pelajar tentang kerjaya pertukangan dengan membawa amalan seni tangan ke sekolah. Sejak September 2024, Cartier komited menyampaikan semangat dan memperkenalkan kerjaya artisanal ini kepada generasi muda. Tahun lalu sahaja, Maison menyertai lebih 15 bengkel di sekolah-sekolah Perancis, melibatkan 450 pelajar yang berpeluang mencuba kerjaya sebagai tukang emas, penggilap, dan setter.

See also
Segalanya Yang Anda Perlu Tahu Tentang Acara Tahunan Berprestij MOST GLAM 2023

Sempena European Heritage Days, Cartier membuktikan komitmennya dalam mendidik serta memperluaskan pengetahuan tentang seni pertukangan perhiasan sekaligus membuka jalan kepada lahirnya generasi pembuat perhiasan masa depan.

Artikel Berkaitan: Zoe Saldana Disambar Menjadi Duta Global Cartier

Maya Kusuma merupakan penulis di GLAM Malaysia. Penulisannya menjelajah dunia gaya hidup moden dan mewah, berkongsi kisah personaliti terkenal serta menyentuh aspek fesyen dan kecantikan.