Apa Kaitan Kim Kardashian Dengan Skandal 1MDB?
Selepas Leonardo DiCaprio, kini nama usahawan dan bintang realiti Kim Kardashian pula dikaitkan dengan Jho Low dan penyelewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Menurut satu dokumen yang diterbitkan oleh Bloomberg Businessweek baru-baru ini, Kim dilaporkan disoal siasat oleh Perkhidmatan Hasil Dalam Negeri Amerika Syarikat dan Jabatan Kehakiman berhubung skandal 1MDB pada Februari 2019. Pengasas Skims itu mendedahkan kepada pihak berkuasa bahawa dia diperkenalkan kepada Jho Low atau nama sebenarnya Low Taek Jho pada 2009 dan mereka bertemu sebanyak enam kali, termasuk dua pertemuan di pusat judi.
Menurut Kim, dia baru sahaja tamat menganjurkan parti di Las Vegas dan memutuskan untuk meluangkan masa bersama dalang 1MDB itu dan 12 pengiringnya dengan berjudi bersama buat kali pertama. Dokumen sama mendedahkan seorang rakan memberitahu Kim bahawa “Jho Low terkenal dengan minatnya yang suka berjudi dan gemar memberi sejumlah besar wang kepada sesiapa yang diingininya.”
Selepas menikmati makan malam, sosialit berusia 43 tahun itu menyertai Jho Low dan pengiringnya di bilik VIP kasino untuk bermain kad bakarat pada pukul tiga pagi waktu tempatan, menurut rekod. Sekitar pukul lima pagi, dia bersedia untuk pulang tetapi dihalang oleh seorang kenalan yang mengetahui ‘sifat permurah’ Jho Low. Kim akhirnya meneruskan permainan dan memenangi sejumlah besar wang.
Ibu kepada empat cahaya mata itu memberitahu pihak berkuasa bahawa pengawal keselamatannya memberi nasihat agar memulangkan cip yang dimenangi kepada Jho Low. Bagaimanapun ahli perniagaan itu menolak dan mendesak Kim untuk menyimpan wang tersebut.
Bintang The Kardashians itu turut melalui proses pemindahan wang luar biasa yang di mana cip bernilai RM1.6 juta yang dimenanginya diberikan dalam beg sampah yang dipenuhi dengan wang tunai seratus dolar berjumlah RM1.1 juta secara keseluruhan, menurut dokumen siasatan. Kim menyimpan beg sampah itu dalam bagasinya sebelum dibawa pulang ke Los Angeles. Wang kemenangan selebihnya berjumlah RM500,000 ditunaikan oleh kenalannya tidak lama kemudian dan turut diserahkan kepadanya dalam beg sampah.
Jho Low juga dilaporkan pernah menghadiahkan sebuah Ferrari bernilai RM1.3 juta kepada Kim dan memberi wang berjumlah RM448,000 kepada tunangnya ketika itu, Kris Humphries untuk pembelian bunga api bagi majis perkahwinan mereka pada 2011.
Selain Kim dan Leonardo, usahawan yang terkenal dengan jolokon ‘Billion Dollar Whale’ itu dilaporkan pernah menabur sejumlah wang yang besar kepada beberapa ahli politik tersohor dan selebriti kelas-A Hollywood termasuk Gigi Hadid, Ludacris, Alicia Keys, Paris Hilton, Megan Fox dan Miranda Kerr. Malah supermodel Emily Ratajkowski juga pernah mendedahkan kepada The Sunday Times bahawa dia dibayar sebanyak RM104,000 untuk menemani Jho Low ke acara berprofil tinggi Super Bowl.
Foto: Insider
Baca: Emily Ratajkowski Bongkar Hubungan Silam Dengan Jho Low