Apa Dimahu Wanita? - Glam Malaysia
wanita

Apa Dimahu Wanita?

Jangan pernah menafikan, yang anda pernah terfikir mahu hidup senang tanpa perlu bersusah-susah. Tak kiralah perlu jadi penyondol atau wanita sisipan? Yang mana satu lebih mudah? Cinta tidak penting disaat-saat getir begini.

Angan-angan semua wanita, atau impian wanita, mungkin cita-cita juga. Mereka mahu berkahwin dengan lelaki jutawan yang mampu menampung kehidupan mewahnya seumur hidup. Bahagia? Tolak tepi. Banyak kali saya mendengar perumpamaan ini. “Kalau duit berkepok, bahagia boleh dicari.” Wah, mudahnya berkata-kata. Malah, bangga sungguh dapat tangkapan besar. Itu tidak mengapa kerana menjadi pasangan yang halal. Itu pun kalau untung sabut timbul. Dapatlah!

Namun ada wanita berjiwa kental, mendambakan kejayaan di dalam kehidupan yang dicapai hasil usaha sendiri. Menjadi kebanggan kalau mampu melangsungkan hidup tanpa lelaki, masih membawa bahagia. Malah, bahagia pasti lebih berpanjangan. Percayalah, kemewahan dikecapi mampu membutakan mata kaum adam. “Dengan wang, aku boleh beli lelaki. Mereka menggantikan aku menjaga anak dan melakukan kerja-kerja rumah.” Senyum sinis! Namun, bagaimana pula kalau masih single, dan masih miskin?

Ada pula wanita yang memilih untuk hidup serba sederhana. Diusik cari lelaki berada, ada sahaja alasan diberikan. “Aku mahu hidup biasa-biasa. Cari bakal suami kerja kerajaan. Dapat pencen.” Balas saya, kalau sudah dapat suami kaya raya, nak perlu fikir pencen kenapa? Hidup sudah dijamin mewah. Bagi mereka, pencen itu apa? Tiada istilah perkataan pencen dalam kamus hidup mereka. Sahabat saya yang satu itu lantas angguk tanda mengerti. “Eh, tapi siapalah orang kaya yang nak kan saya.” Pulak dah!

Melihat tiga karakter wanita ini, anda di dalam kategori yang mana satu? Lelaki kategori apa pula yang dapat memenuhi kemahuan mereka?

See also
GLAM Expose: Jam Tangan Mewah Simbol Status Atau Gaya Hidup Semata?

Mahu Hidup Berdikari

Fahamilah! Sifat wanita satu ini berbeza-beza. Saya tidak nafikan, kaum Hawa mempunyai berlapis-lapis emosi. Sudahlah selalunya wanita itu benar. Secara sinikalnya lelaki berpendapat begitu. Wanita tidak pernah salah, walaupun bukti jelas telunjuknya mengarah kepada kita. Walau bagaimanapun wanita tetap menang. Manipulasi ini adalah kemahiran paling hebat dimiliki wanita.

Lelaki menganggap wanita itu kompleks. Padahal wanita begitu mudah didampingi. Namun, jangan sekali-kali mencari padah dengan mengkhianati kami. Buruk padahnya kerana wanita juga seorang pendendam dan akan jadi sedingin ais. Berjumpa pula lelaki pada dasarnya lurus. Nampak bendul tetapi panjang akal. Ditambah pula bersifat miang keladi. Itu datangnya isu penyondol. Terkadang jelas dayus. Setelah berpisah pula, sifat lepas tangan pun timbul. Alasan bina keluarga baru. Padahal anak keluarga pertama mula membesar lebih banyak makan belanja. Bayaran masuk kolej? Siapa pula mahu bertanggungjawab? Tak kata semua tetapi kebanyakan perangai itu pasti.

“Wanita secara semulajadi akan jadi seorang yang sangat berdikari terutama setelah dikecewakan. Wanita juga mampu jadi apa sahaja, jangan dicabar. Termasuk belajar tidak hidup hanya bergantung dengan lelaki. Pada abad ini lebih ramai wanita memilih untuk bekerja atau aktif dengan bisnes sendiri.      Saya tidak pernah mengharapkan nafkah daripada bekas suami. Saya juga tidak mahu bersusah payah menuntut hak kerana hal itu menyusahkan sahaja. Lebih baik saya usaha sendiri. Anak-anak sekarang pun hidup berdikari. Mereka membesar dengan baik,” ujar teman saya si ibu tunggal. Tidak  pula saya feminis memperjuangkan hak wanita sahaja. Saya tidak pernah menafikan ada segelintir wanita sanggup menghancurkan hati kaum sejenisnya.

Memilih Jadi Wanita Sisipan

Ada wanita mengaku, lebih suka suami orang kerana figura bapa-bapa itu sangat menyenangkan. Alasan! Tidak pernah menerima kasih sayang seorang bapa. Siapa yang dapat menerima alasan tersebut? Situasi ini melibatkan si pelaku dan mangsa yang kedua-duanya melibatkan wanita. Nah, wanita juga lah yang menjadi musuh wanita.

See also
Lagu Terbaharu JLo Bongkar Punca Perpisahannya Dengan A-Rod

Siapa mereka, perempuan simpanan atau sisipan ini? Wanita sisipan perlu berhati batu. Mereka tidak boleh cemburu dengan isteri sang kekasih atau kasihankan si anak-anak. Kehadiran mereka hanya sebagai wanita tambahan disimpan lelaki secara tepi. Enaknya menjadi golongan ini, hidup sentiasa dilimpahi kemewahan. Manja sikit, dapat banyak. Kalau manja lebih?

Wanita memilih hidup begini juga bukan calang-calang orang. Ini juga satu kemahuan, ibarat kerjaya yang perlu diusahakan. Untuk jadi wanita jalang juga perlu ada modal untuk pasang badan. Malah perlu pintar subjek geografi mencari di mana lelaki-lelaki sasaran sering liburan. Jadi usahlan mengharap kesetiaan. Lelaki mudah diumpan, waima dia lelaki budiman atau alim.

Memiliki Apa dimahukan

Bagaimana mahu memiliki apa kita mahukan? Pilihan dibuat perlu tepat. Perlu paling halal untuk diterima doanya. Pilihan juga perlu berpijak dibumi nyata. Perlu praktikal dan pastikan kemahuan dibina bukan diperolehi dengan memamah tubuh sahabat sendiri. Manusia ini terkadang begitu aneh dan menjengkelkan. Bagi pendapat saya manusia sebegini perlu dielakkan. Jangan berputus asa mencari sahabat atau rakan sekutu yang sentiasa positif. Persekitaran sihat semestinya mampu menghasilkan buah kejayaan paling besar.

Percayalah! Sebelum ini banyak keinginan yang saya mahu capai. Namun, sering memilih jalan salah dan berakhir dengan kegagalan. Jangan pernah berputus asa sekiranya anda sering diduga sebegitu. Memang kita akan membuat beberapa pilihan salah, namun di akhir cerita pasti bahagia.

See also
Most GLAM 2021: Shalma Ainaa

Senaraikan apa kamu paling dambakan dalam kehidupan. Kalau boleh dipamerkan agar mata sentiasa nampak sebelum tidur. Bersihkan hati sebelum memanjatkan doa. Betul, jika disebut selalu walaupun di dalam hati, itu juga satu doa. Diikuti usaha paling mendalam. Ya, senarai kemahuan panjang berjela, tanpa usaha apalah daya anda. Pepatah pun ada mengatakan, usaha tangga kejayaan. Perbaiki diri. Usaha biar bertempat. Jangan salah percaturan pula. Setelah gigih berusaha, bersabar juga kunci besar kepada kejayaan. Bersabar untuk menanti juga satu nikmat. Bersyukur, paling penting.

Betul! Ramai individu kecewa sudah berjaya di luar negara. Mereka yang tidak pernah diangkat di negara sendiri, mampu meraih kejayaan di negara orang. Sayang! Saya pernah mengalaminya sendiri, apabila hasil kerja dipandang rendah di negara sendiri. Namun, saya dapat membuktikan kepada semua, bahawa kerja saya bersama tim kini mendapat tempat di negara luar.

Belajar mendalami hati nurani. Jadilah jauhari yang mengenal manikam. Setelah bertemu mereka yang tepat, anda sendiri perlu terus mara melangkah. Kerja hakiki di negara sendiri perlu diteruskan. Namun, jika ada peluang di luar sana mengetuk pintu, terima dengan hati terbuka. Yakin diri! Itu juga menjadi teras dalam kehidupan. Keyakinan dan keberanian dibina pasti membuahkan kejayaan.

Tidak kisah anda dari seorang wanita kompleks, memilih untuk menjadi kaya dengan cara tersendiri — Sama ada berdikari atau bergantung kepada lelaki. Percayalah, apa sahaja kemahuan anda, pasti dibina dengan jayanya. Namun, pilihan yang kurang bijak pasti memiliki karmanya tersendiri, jadi berhati-hatilah.

 

Teks: Marini Mat Zain

Pautan Berkaitan: Datin Adzliana Hasan: Perjuangan Sang Wanita