10 Panduan Persiapan Perkahwinan: No Stress & No Last Minute!
Setiap pasangan pasti mengimpikan majlis perkahwinan yang sempurna, penuh adat, meriah, dan mencipta kenangan manis pada hari istimewa itu.
Tapi realitinya, sebelum tiba ke hari bahagia, pelbagai perkara yang perlu disusun rapi. Dari urusan rasmi di pejabat agama, memilih busana idaman, hinggalah kepada katering, khemah dan pelamin, semuanya perlukan perancangan teliti. Jangan risau, senarai di bawah akan bantu anda memastikan semua persiapan pra-perkahwinan berjalan lancar tanpa ada yang tertinggal.
1. Dokumen-dokumen penting untuk berkahwin
Sebelum fikir warna bunga di pelamin, perkara pertama yang wajib dibuat ialah urusan rasmi di pejabat agama. Kedua-dua pihak perlu melengkapkan borang kebenaran berkahwin, sijil kursus kahwin, surat akuan bujang, salinan IC, gambar berukuran passport, dan juga keputusan ujian HIV. Oh ya, borang kebenaran nikah ini hanya sah selama 90 hari (3 bulan), jadi jangan pula buat terlalu awal atau terlalu lewat. Timing is everything!

Sistem Pengurusan Perkahwinan Islam Malaysia
2. Menghadiri kursus kahwin
Ramai yang menganggap kursus kahwin hanyalah formaliti, tapi sebenarnya ia sesi paling berguna sebelum melangkah ke alam rumah tangga. Dari tips komunikasi suami isteri, pengurusan kewangan, hinggalah ilmu agama asas semua ada. Bonusnya, selepas habis kursus anda akan dapat sijil yang menjadi lesen untuk permohonan kebenaran berkahwin.
3. Pemilihan busana nikah & sanding

Ini memang antara momen paling menyeronokkan! Dari butik ke butik, pengantin perempuan biasanya akan cuba pelbagai gaya – sama ada songket klasik, kebaya moden, atau gaun ala puteri. Jangan lupa aksesori tambahan seperti veil, selendang, hand flower, dan kasut yang selesa. Untuk pengantin lelaki pula, lengkapkan gaya dengan baju Melayu penuh, sampin, songkok dan tanjak sebab gambar kahwin nanti akan jadi kenangan seumur hidup.
4. Hantaran & mas kahwin

Persiapan hantaran memang antara yang paling sibuk. Senarai standard biasanya termasuk kek, buah-buahan, manisan, telekung, sejadah, minyak wangi, dan kosmetik. Mas kahwin pula disediakan ikut ketetapan negeri. Dan jangan lupa mas kahwin untuk sesi batal air sembahyang seperti cincin atau gelang tangan.
5. Tempah awal pasukan glam — jurusolek, pedandan rambut/hijabstylist & jurugambar

Hari bahagia tak lengkap tanpa pasukan glam anda. Booking awal jurusolek dan hairstylist/hijabstylist adalah kunci untuk elakkan kecewa bila tarikh penuh. Photographer pula ibarat “storyteller” yang merakam setiap senyum, setiap air mata bahagia.
Pro tip: Jika berkemampuan, buat test make-up atau hairdo sebelum hari sebenar, jadi tak ada kejutan last minute.
6. Tempahan lokasi, khemah & katering
Kalau majlis di rumah, perkara wajib fikir ialah khemah, katerer, kompang, serta PA system dengan emcee. Khemah bukan sekadar berteduh, tapi boleh jadi cantik dengan hiasan lampu fairy light jika majlis pada waktu malam. Pilihan katering pula mesti tip-top. Hidangan kena sedap dan cukup untuk semua tetamu. Menu nasi minyak, ayam masak merah, dalca sayur, kuih-muih tradisional semua kena ada! Untuk suasana lebih meriah, kompang mengiringi pengantin adalah kemestian untuk menghidupkan adat perkahwinan Melayu, dan PA system dengan emcee akan memastikan majlis teratur. Kalau majlis di hotel pula, cabarannya lain: kena pilih lokasi yang sesuai dengan bajet, suasana dan jumlah tetamu. Bonusnya, banyak hotel sediakan pakej lengkap termasuk dekorasi, makanan, dan dewan berhawa dingin.
7. Dekorasi, muzik & suasana majlis

Pelamin ibarat pentas utama. Pilih tema yang menggambarkan personaliti anda. Sama ada tema tradisional dengan bunga segar, atau moden dengan elemen minimalis. Jangan lupa juga sediakan playlist lagu sendiri bukan Sahaja untuk naikkan mood tetamu malah pengantin juga daripada lagu-lagu klasik P. Ramlee hingga Ed Sheeran, ikut citarasa anda! Untuk lebih teratur, lantik emcee supaya perjalanan acara berjalan lancar dan tidak kaku.
8. Berinai
Salah satu adat yang masih menjadi pilihan ramai pengantin Melayu ialah majlis berinai. Sama ada berinai kecil bersama keluarga terdekat, atau mengadakan malam berinai yang lebih meriah, tradisi ini melambangkan doa dan restu untuk pasangan sebelum melangkah ke alam rumah tangga. Kini, gaya berinai lebih moden dengan ukiran henna artist yang kreatif dari motif tradisional hingga kontemporari, menambahkan lagi seri buat si ratu sehari.

9. Doorgift & kad jemputan
Walaupun kecil, doorgift adalah sesuatu yang membuat tetamu rasa dihargai. Pilihannya boleh jadi makanan atau barangan praktikal. Kad jemputan pun sekarang lebih fleksibel dimana ada yang masih suka versi bercetak dalam bentuk kad, tapi ramai juga yang pilih kad digital untuk lebih mudah dan mesra alam.
10. Rehearsal & jaga emosi
Bila semua dah siap, jangan lupa buat semakan akhir. Susun hantaran, pastikan veil dan bunga tangan tak tertinggal, dan check semula dokumen rasmi. Buat raptai kecil bersama keluarga atau pengapit supaya semua tahu peranan masing-masing. Dan yang paling penting jaga emosi. Nikmati momen, sebab hari bahagia ini cuma sekali seumur hidup.
Artikel Berkaitan: Himpunan Busana Perkahwinan Selebriti Paling Mempesona
Maya Kusuma
Maya Kusuma merupakan penulis di GLAM Malaysia. Penulisannya menjelajah dunia gaya hidup moden dan mewah, berkongsi kisah personaliti terkenal serta menyentuh aspek fesyen dan kecantikan.

