#Throwback: Best Momen Fesyen Untuk Tahun 2025 - Glam Malaysia

#Throwback: Best Momen Fesyen Untuk Tahun 2025

Pelbagai momen fesyen untuk tahun 2025 telah menjadi saksi kepada detik yang nyata ikonik dan berpengaruh, meninggalkan impak abadi buat industri ini dengan penuh gema.

Tahun 2025 menjadi satu lagi bab penting dalam sejarah fesyen moden apabila industri menyaksikan pelbagai momen fesyen yang menjadi bualan hangat. Daripada peralihan kuasa kreatif yang besar, perubahan naratif estetik serta momen fesyen selebriti, ia menjadi satu tahun yang penuh dengan detik-detik eksklusif dan bualan global. Sebelum menjejaki ke tahun baharu, jom ikuti GLAM mengupas ragam fesyen untuk tahun ini!

GLAM Imbas Kembali Best Momen Fesyen Secara Global Untuk Tahun 2025

Debut Koleksi Deretan Pengarah Kreatif Di Rumah Fesyen Ikonik

Detik paling berpengaruh tahun ini sudah tentu hadir melalui debut koleksi oleh barisan pengarah kreatif berbakat yang mengambil alih tampuk kepimpinan rumah fesyen ikonik. Debut koleksi Matthieu Blazy di Chanel, Haider Ackermann di Tom Ford, Louise Trotter di Bottega Veneta, Jack McCollough dan Lazaro Hernandez di Loewe, Jonathan Anderson di Dior yang mendapat tepukan gemuruh serta banyak lagi, ternyata menjadi fashion season yang pastinya meninggalkan sejarah fesyen!

Kembalinya Ikon Chloe Paddington

Kembalinya tas tangan Chloe Paddington yang menjadi momen nostalgia dan disambut hangat oleh pencinta fesyen lintas generasi. Beg ikonik dengan padlock berkarakter ini muncul semula sebagai simbol kerinduan terhadap era fesyen lalu yang berani. Ia bukan sekadar kebangkitan arkib, tetapi refleksi bagaimana fesyen lama boleh kembali menjadi relevan dalam dunia kontemporari kini.

See also
Christian Louboutin Melancarkan Koleksi Sepatu Nude Baru

Filem Pendek ‘The Tiger’ Oleh Demna

Demna mencipta detik sinematik di Gucci apabila mempersembahkan koleksi debutnya melalui filem pendek bertajuk ‘The Tiger’. Pendekatan ini menolak format tradisional pertunjukan fesyen dan mengangkat koleksi sebagai karya visual yang penuh simbolisme, kreativiti dan naratif emosi yang kuat.

The Devil Wears Prada Hidup Di Dunia Nyata

Mencuri tumpuan, kemunculan Meryl Streep secara mengejut di pertunjukan Dolce & Gabbana SS26 buat rakaman filem The Devil Wears Prada 2 menjadi satu momen yang cukup ikonik. Namun apa yang lebih mengujakan, apabila dunia fesyen dihiburkan dengan momen pertembungan antara Anna Wintour dan Meryl Streep yang secara tidak langsung menghidupkan semula aura The Devil Wears Prada dalam kehidupan sebenar.

Cetusan ‘Milkshake Dance’ Katseye Buat Kempen Denim GAP

Fenomena Katseye menerusi kempen GAP pula menawan generasi muda apabila tarian bertenaga mereka diiringi lagu Milkshake oleh Kelis menguasai media sosial. Kempen ini menjadi bukti bagaimana fesyen, muzik, selebriti dan gerakan mampu memberi impak yang cukup menakjubkan walau hanya dengan satu video kempen.

See also
13 Fesyen Serba Hitam Paling Memukau Di BAFTA 2022

Kendrick Lamar Redefinisikan Denim Bersiluet Flare

Kendrick Lamar mencetuskan perbualan hangat di media sosial apabila memadukan helaian seluar denim bersiluet flare sebagai elemen utama gaya pentasnya ketika di persembahan Superbowl 2025. Pilihan denim yang kelihatan ringkas namun mencuri tumpuan ini mengubah persepsi tentang siluet flare terutama buat penata gaya lelaki.

Himpunan Busana Ariana Grande Di Jelajah Filem ‘Wicked: For Good’

Ariana Grande pula menjadikan setiap kemunculan buat jelajah filem ‘Wicked: For Good’ sebagai jelajah fesyen sinematik. Dari dress bersiluet fantasi hingga ke dress vintaj John Galliano, setiap busana seolah menyambung naratif watak Glinda yang mana digayakan oleh stylist terkemuka Law Roach.

Bad Bunny Gempar Dengan Kempen Sensasi Calvin Klein

Bad Bunny membuktikan kuasa pengaruhnya apabila memecahkan internet menerusi kempen Calvin Klein Spring 25. Dengan keyakinan yang memancar aura sensual dan berani, kempen ini menandakan perubahan cara maskuliniti dan tubuh diraikan dalam fesyen arus perdana.

Pancaran Fesyen Gothic Jenna Ortega

Jenna Ortega terus mengukuhkan statusnya sebagai ikon gothic generasi baharu dengan penampilan yang bernuansa gelap dan berani. Busana shredding skin oleh Ashi Studio serta ripped dress rekaan GAPStudio antara momen fesyennya yang cukup terserlah dan nyata memikat.

See also
Nuansa Nada Klasik: Himpunan Kurasi Daiyan Trisha Bersama Clarks Malaysia

Felix, Lisa & J-Hope In One Frame

Felix, Lisa dan J-Hope mencipta detik glamor semasa di acara Grand Opening Louis Vuitton The Place Seoul, menonjolkan kuasa kolaborasi selebriti global buat jenama fesyen mewah. Momen ikonik ini segera memenuhi ruangan media sosial, mendapat sambutan hangat dan dikagumi oleh peminat di seluruh dunia.

Anok Yai Dinobat Sebagai Model of The Year 2025

Pengiktirafan Model of the Year 2025 kepada Anok Yai menandakan kemuncak kepada tahun yang meraikan dunia peragawati. Anugerah yang sememangnya layak diraihnya ini menjadi bualan hangat kerana ramai yang menyifatkan kemenangan ini seolah membalas kerugian dan peluang yang dirampas daripadanya buat tahun-tahun sebelum ini.

Fenomena Jaket Marty Supreme

Filem Marty Supreme yang dibintangi oleh Timothee Chalamet kini menjadi obsesi luar biasa. Bukan sekadar jaket atau merchandise buat filem, ia berkembang menjadi simbol yang mencipta gelombang trend yang membuatkan ramai turut ingin memilikinya.

Artikel berkaitan: Anugerah Muzik Melon 2025, Pentas Kemenangan Buat G-Dragon

Syahirah Hussain ialah penulis fesyen di GLAM Malaysia. Mengulas informasi, trend dan berita fesyen terkini dari lokal ke antarabangsa, serta penglibatan editorial dengan nada segar yang mewakili generasi baharu dunia fesyen.