Shikin Gomez: The World Is Her Runway
Shikin Gomez terus mencuri perhatian dunia fesyen dengan keaslian, keyakinan dan pesona semula jadinya yang kini bersinar di pentas antarabangsa.
pengarah kreatif AIZAT AIDID konsultan kreatif CHEAH WEI CHUN pengarah seni kanan KHAIRANI RAMLI pengarah seni AMIRUL ARIFIN teks MAYA KUSUMA gambar MICKY WONG solekan SHIYO JOO dandanan CKAY LIOW penyelaras SYAHIRAH HUSSAIN
Model kelahiran Malaysia, Shikin Gomez kini melebarkan sayapnya ke peringkat antarabangsa, dan kami amat bertuah wajahnya menghiasi kulit depan GLAM isu September 2025. Semasa sesi penggambaran, dia beraksi secara semula jadi di hadapan kamera dengan sikap profesional, tenang dan sangat mudah bekerjasama. Namun dalam masa yang sama, dia membawa aura yang ceria dan menyeronokkan sehingga seluruh pasukan terasa selesa berada di sekelilingnya. Tidak hairanlah gambar-gambarnya tampak begitu memukau, seakan dia dilahirkan untuk dunia fesyen.
Walaupun kini bergelar model antarabangsa, Shikin tetap ramah dan merendah diri. Dia mesra menyapa, senang berbual, dan membuat semua orang rasa seperti sudah lama mengenalinya. Bakat, karakter, dan pesonanya menjadikan kerjayanya terus berkembang di pentas global. Bersamanya, glamor bukan hanya tentang penampilan, tetapi juga tentang keaslian diri dan itu yang menjadikan Shikin Gomez bintang yang semakin bersinar.
Best of both world!

Di sebalik kesibukan dunia fesyen, Shikin memilih Lisbon sebagai rumah keduanya, sebuah kota yang menjadi simbol keseimbangan dalam hidupnya. Dia menggambarkannya sebagai tempat yang seimbang antara kerja dan kehidupan peribadi. “Kalau kerja, saya akan pergi ke negara lain. Contohnya dua minggu di Berlin. Tapi bila balik Lisbon, ia macam dua minggu bercuti,” jelasnya. Pemilihan kota itu bukan sekadar destinasi, tetapi sebuah gaya hidup. Baginya, Lisbon menawarkan lebih daripada sekadar kerja ia memberi ruang kepada quality of life, suatu kepuasan hidup yang lebih bernilai daripada pencapaian kerjaya semata-mata.
Dalam mengimbangi kehidupan peribadi dan kerjaya, Shikin menemui cara tersendiri. Hidupnya di Lisbon bersama suami dan kucing kesayangan memberinya ruang untuk benar-benar berehat, memasak, menjaga rumah, dan menikmati pantai bersama teman rapat. “Bila saya di Lisbon, saya off work. Saya kembali jadi isteri, kawan, diri saya sendiri. Tapi bila saya ke Berlin atau London, saya memang pergi kerja sahaja. Work-life balance saya terpisah ikut negara,” jelasnya sambil ketawa kecil. Baginya, keseimbangan ini bukan datang sekelip mata, tetapi sesuatu yang dicapai dengan masa dan kini dia amat bersyukur dapat memilikinya.
Namun, berada di Eropah sebagai seorang model dari Malaysia tidak pernah berhenti mengejutkan orang sekeliling. “Sejujurnya, ramai yang terkejut bila tahu saya dari Malaysia. Jarang sekali orang dengar tentang rakyat Malaysia di Eropah, terutama dalam bidang peragaan,” katanya. Reaksi kagum sering diterima apabila dia memperkenalkan asal-usulnya. Ada yang berkata, mereka tidak pernah melihat tona kulit atau wajah sepertinya. Itu membuka peluang sekaligus menjadikan Shikin lebih versatil untuk bergerak di pelbagai kempen. “Mungkin saya kelihatan sedikit lebih ‘ambiguous’ berbanding bangsa lain di Malaysia, jadi mereka boleh sesuaikan saya dengan pelbagai karakter dan kempen,” jelasnya. Walaupun begitu, peluang yang terbuka luas tidak selalu kekal.

Perbandingan dunia peragaan Malaysia dan Eropah juga nyata berbeza. Di Malaysia, Shikin melihat suasana lebih mesra, akrab, malah setiap pasukan produksi seakan menjadi teman. “Dekat Malaysia, kalau dah buat kerja dua tiga kali, kita dah kenal hairstylist, makeup artist,” ujarnya. Sebaliknya di Eropah, persaingan sengit membuatkan dia harus sentiasa berada di tahap terbaik. “Di sana, rasanya saya belum pernah bekerja dengan orang yang sama dua kali. Jadi, kita kena sentiasa beri prestasi terbaik dan tinggalkan impresi yang kuat setiap kali bekerja,” tambahnya. Dengan pelbagai jenama, penerbit, dan pasaran berbeza mengikut negara, cabarannya lebih mendalam tetapi disitulah ruang pembelajaran dan peluang berkembang.
Dalam dunia fesyen yang cepat berubah, cabaran terbesar ialah memastikan diri sentiasa relevan. Bagi Shikin, kuncinya bukan sekadar bergantung pada trend semasa, tetapi pada keaslian diri. “Kalau berpura-pura, orang boleh nampak. Tapi bila kita jujur, ikhlas, dan bawa energi yang positif, itu takkan hilang ditelan masa. Keyakinan itu timeless,” katanya. Baginya, personaliti dan keunikan individu adalah senjata sebenar untuk menonjol. Fesyen boleh datang dan pergi, tetapi keyakinan yang diasah bertahun-tahun tidak boleh diambil begitu sahaja. “Keyakinan saya sekarang bukan datang dalam sekelip mata. Ia ambil masa,” tambahnya ringkas.
Menurut Shikin, kecantikan sering dipertikaikan dengan isu “unattainable beauty standard” yang semakin jelas dalam era kecerdasan buatan. Dia melihat penggunaan model AI sebagai simbol paling ekstrem kepada kecantikan yang tidak dapat dicapai yang mana hasil input komputer menghasilkan imej sempurna tanpa cela. “Kalau model AI dijadikan standard, itu sebenarnya kecantikan yang paling mustahil untuk dicapai,” katanya. Namun, Shikin percaya disitulah letaknya keindahan manusia sebenar iaitu pada kepelbagaian kulit, bentuk tubuh, tekstur rambut, warna mata, dan senyuman yang tidak simetri. Baginya, kecantikan hadir melalui ketidaksempurnaan. “Gigi senget, ruang pada gigi itu semua buat kita unik. Kalau semua orang cuba jadi terlalu simetri, terlalu sempurna, akhirnya semua nampak sama,” tegasnya, menekankan bahawa perbezaanlah yang membuat manusia istimewa.
Isu diskriminasi juga menyentuh hatinya. Sebagai anak kacukan Melayu dan India, wajahnya sering menimbulkan persoalan orang sekeliling tentang latar belakangnya. Tetapi Shikin tidak melihatnya sebagai perkara negatif. Malah, dia percaya wajahnya yang ‘ambiguous’ membuatkan dirinya lebih diterima. “Saya sendiri tak rasa pernah kena stereotype, mungkin sebab saya tak sedar. Tapi saya pernah tengok orang lain kena, kebanyakannya sebab warna kulit dan itu perkara paling tak masuk akal. Dia lahir macam tu, kenapa perlu marah?” ujarnya. Bagi Shikin, jika ada masalah, lebih baik ia dibincangkan secara berdepan kerana dia terbuka menerima teguran sebagai kritikan membina, berbanding dijadikan bahan bualan di belakangnya.

Berbicara tentang KLFW 2025, debut para pereka baru benar-benar mencuri perhatiannya. “Cantik dan cool baju mereka! Saya rasa bangga dan happy sangat tengok,” katanya penuh semangat. Melihat kepada generasi baharu ini, dia yakin masa depan fesyen Malaysia akan lebih kreatif, ekspresif, penuh individualisme, serta tidak takut bermain dengan idea-idea yang segar.
Definisi kecantikan yang sebenar bagi Shikin datang daripada keyakinan. Usia, rupa, atau status bukan ukuran sebaliknya keberanian mencuba perkara baharu dan keterbukaan pada pengalaman hiduplah yang menjadikan seseorang benar-benar bersinar. “Bila kita berani cuba sesuatu yang baru, kita nampak lebih cantik, lebih muda, lebih hidup. Itu kecantikan yang lahir dari dalam, terserlah keluar,” katanya. Bagi Shikin, kecantikan adalah perjalanan yang sangat peribadi, bergantung kepada diri, persekitaran, dan orang-orang yang mengelilingi kita.
Namun disebalik wajah yang sering kelihatan sempurna di pentas dan kaca kamera, Shikin tidak segan untuk berkongsi realiti dirinya. “Sekarang saya sebenarnya sedang berdepan sedikit masalah jerawat hormon, jadi kulit saya tidak sebaik dulu,” katanya jujur. Baginya, penjagaan wajah adalah disiplin. Setiap kali selesai mengenakan solekan, dia memastikan untuk membersihkannya dengan betul dengan double cleanse, diikuti toner dan rutin asas penjagaan kulit lain. Buat tubuh pula, gaya hidup sihat menjadi pegangan. Shikin berusaha untuk bersenam sekurang-kurangnya dua kali seminggu, dan jika sempat tiga kali itu dianggap pencapaian terbaik. Senaman weight training seperti dumbbell, barbell dan squats menjadi pilihan utamanya. “Kebanyakannya saya fokus pada kaki dan punggung, tapi kalau dilakukan dengan teknik yang betul, senaman seperti squats juga boleh menguatkan bahagian perut dan tangan,” jelasnya.
Tentang gaya peribadi, Shikin lebih cenderung kepada keselesaan. “Saya memang utamakan comfort berbanding banyak perkara lain,” katanya. Namun, keselesaan itu tidak bermakna dia tidak suka bereksperimen. Ada waktunya dia gemar bergaya feminin, ada kalanya lebih maskulin. “Saya suka bermain dress up macam gaya Ghostboy, tapi kalau untuk simpan pakaian sebegitu, mungkin tidak. Saya ikut rasa hari itu, ada masa nak gaya girly, ada masa nak gaya boyish.”
Disebalik penampilan lantang yang sering disangkakan ramai, Shikin sebenarnya seorang yang lebih introvert daripada yang disangka. “Orang selalu fikir saya extrovert, tapi sebenarnya saya sangat selesa menghabiskan masa seorang diri. Saya suka duduk rumah, baca, atau buat sesuatu hanya untuk diri sendiri.” Sejak kebelakangan ini, dia mula mengisi waktu dengan hobi baharu iaitu mengait (crocheting). Beberapa hasil tangannya dari baju, seluar hinggalah alas cawan bermula daripada masa terluang ketika dalam penerbangan, perjalanan jauh, atau sekadar duduk di dalam kereta. “Kalau perjalanan 40 minit dalam Grab, saya lebih suka mengait daripada asyik melihat telefon. Selain itu, saya bawa Kindle dan membaca. Semua ini aktiviti untuk diri sendiri, dan saya rasa ia sesuatu yang bernilai.”

Bila ditanya tentang momen paling membanggakan sepanjang perjalanan kariernya, Shikin tidak terus menyebut tentang kerja atau kejayaan tertentu di pentas fesyen. Baginya, pencapaian terbesar adalah hakikat bahawa dia kini sedang melakukan sesuatu yang pernah menjadi impian sejak dulu. “Bukan tentang booking job atau apa-apa macam itu. Momen yang paling membanggakan adalah bila saya berjaya memiliki agensi di kota seperti New York dan London. Itu sesuatu yang saya tidak jangka, tapi selalu saya impikan. Sebagai model, cita-cita saya adalah untuk mempunyai agensi di setiap ibu kota fesyen dunia—New York, London, Milan dan Paris. Sekarang saya sudah dua daripada empat. Itu buat saya sangat bangga dengan diri sendiri,” kongsinya.
Dalam soal inspirasi pula, jawapan Shikin cukup berani dan jujur. “Mungkin ini kedengaran kontroversi, tapi saya sebenarnya tidak ada seorang pun figura yang saya ‘look up to’. Saya hanya mahu menjadi versi terbaik diri saya sendiri, bukan meniru perjalanan orang lain. Saya lihat kisah mereka, ia memberi inspirasi, tetapi ia tetap perjalanan mereka bukan saya. Saya tidak mahu kehidupan orang lain. Saya lebih mahu berusaha untuk diri saya sendiri. Saya rasa setiap wanita sepatutnya percaya bahawa mereka boleh lakukan lebih baik kerana pada akhirnya, kalau orang lain percaya kepada kita tapi kita sendiri tidak percaya pada diri sendiri, kita tidak akan ke mana.”
Baca kisah penuh Shikin Gomez dengan mendapatkan majalah GLAM isu September 2025 di pasaran sekarang atau langgan secara online menerusi magzter.com.
Maya Kusuma
Maya Kusuma merupakan penulis di GLAM Malaysia. Penulisannya menjelajah dunia gaya hidup moden dan mewah, berkongsi kisah personaliti terkenal serta menyentuh aspek fesyen dan kecantikan.

