The Shape Of You: Allisha Azlan & Julia Van Der Drift

The Shape Of You: Allisha Azlan & Julia Van Der Drift

Allisha Azlan dan Julia Van Der Drift bukan sekadar pintar tetapi juga bergaya hidup aktif dan menyegarkan. Tak lokek berkongsi pengalaman hidup bermula di luar malaysia, mereka kini di kuala lumpur membawa trend gaya aktif dalam menjalani kehidupan sehari-hari.

Masing-masing memiliki latar belakang berbeza namun tuju hala mereka adalah sama. Allisha Azlan dan Julia van der Drift adalah dua nama tidak asing di dunia senaman dan kesihatan. Mereka sama-sama mementingkan kesihatan emosi untuk mencabar dunia serba pantas ini.

pengarang fesyen  JOHAN KASSIM pengarah seni AMIRUL ARIFIN gambar CHUAN LOOI/

YIPIEYAYA STUDIO solekan SYED FAIZAL dandanan CKAY LIAW teks MARINI MAT ZAIN

Allisha Azlan Merantau di Amerika hingga ke Afrika

Allisha Azlan memulakan senaman Pilates ketika bertugas di United Nation (UN), Kenya pada 2019. Satu titik perubahan dalam perjalanan gaya aktifnya. Dia menyedari ia adalah senaman yang sempurna, bukan sahaja untuk membentuk tubuh cantik tetapi juga bagi mengekalkan gaya hidup yang seimbang dan sihat. Ketika berpindah ke Oxford untuk melanjutkan pengajian sarjana, Allisha terus mengajar Pilates kepada rakan-rakan. Sepanjang penutupan dan penyekatan pandemik, ia mengukuhkan lagi minatnya dalam pengajaran Pilates.

“Apabila saya kembali ke Malaysia pada 2022 dan memulakan kerjaya sebagai perunding pengurusan, tekanan pekerjaan membuat saya sedar betapa pentingnya berhubung dengan apa yang memberi saya kegembiraan.” Inilah yang mendorong Allisha untuk mengajar senaman Barre, dan kini, sebagai pencipta kandungan, dia bertujuan memberi inspirasi kepada masyarakat untuk mengintegrasikan kecergasan ke dalam kehidupan sibuk mereka.

Sejak itu Allisha aktif dalam mempromosikan gaya hidup sihat. Pengalaman peribadi dengan tekanan dan keletihan, serta kuasa transformasi kecergasan, telah menginspirasinya.

Menyentuh gaya peribadinya, dua gabungan antara fungsi dan keanggunan menjadi tunjang utama. Sepanjang tahun, ia telah berkembang daripada penampilan yang lebih formal ketika menyertai bidang kewartawanan dan saat di UN. Kemudian gayanya berkembang profesional tetapi berfungsi mengikut kesesuaian dengan peranannya sebagai perunding dan minatnya dalam kecergasan.

See also
Longchamp Hadirkan The Box-Trot Dalam Keberagaman Segar

“Saya cenderung memilih pakaian yang dwifungsi, seperti menyarung blazer longgar saat berurusan perniagaan dan membuka blazer tersebut langsung ke kelas barre,” ujarnya lagi. Allisha menggabungkan trend selaras dengan peribadinya yang estetik itu. Dia menambah elemen trend sebagai aksen dalam lemarinya dari mengubah keseluruhannya. Ibarat menambah warna terang atau aksesori yang menarik sambil mengekalkan inti pakaiannya yang klasik dan tidak lapuk dek zaman.

“Fesyen adalah alat yang kuat untuk ekspresi diri. Ia membolehkan anda

menyampaikan keperibadian, ‘mood’, dan juga nilai tanpa perlu berkata-kata. Fesyen adalah tentang mencari keseimbangan yang sempurna antara apa yang trending dan apa yang terasa sejati dengan siapa diri. Ia adalah cara untuk memancarkan keyakinan dan keaslian.”

“Dua persimpangan antara fesyen dan kesihatan memberi kesan dalam kehidupan. Saya mengutamakan keselesaan dan fungsi, terutama dengan gaya hidup saya yang aktif. Ini bermakna memilih pakaian yang bukan sahaja bergaya tetapi  membolehkan saya bergerak dengan bebas, sama ada ketika melakukan Pilates, barre atau dalam mesyuarat. Fesyen, dalam erti kata, menyokong matlamat kesihatan saya dengan membuat diri rasa hebat tentang penampilan dan pergerakan saya.”

Orang sering menganggap bahawa Allisha mengimbangi pekerjaan korporat yang mencabar dengan waktu kerja yang panjang namun masih berjaya bersenam setiap hari. Tetapi sebenarnya, itu tidak selalu berlaku, dan bukan itu yang dia galakkan. Pekerjaan sepenuh masa kadang-kadang berlarutan sehingga lewat malam, jadi dia tidak selalu mempunyai masa untuk bersenam setiap hari.

Sebaliknya, dia fokus untuk bergerak dan mengamalkan tabiat sihat sepanjang hari, seperti menggunakan meja berdiri dan makan makanan berkhasiat. Allisha mengekalkan tenaga dengan kekal hidrasi, makan makanan yang seimbang, dan mengutamakan tidur. Menjadi sihat bukan tentang bersenam setiap hari tetapi ia mengenai mencari rutin holistik yang sesuai untuk anda.

See also
Dua Dekad Estrella Diamond, Simbol Elegan Gelora Mewah

Julia Van Der Drift Mencipta Dinamik Stail Dan Gaya Aktif

Minat Julia van der Drift terhadap fesyen dan kecergasan telah hadir sejak dahulu. Dia mempelajari Perniagaan Fesyen di Amsterdam, di mana dia terlibat dalam dunia reka cipta dan trend yang dinamik. Pengalaman ini mencetuskan kreativitinya dan meningkatkan keinginan untuk bekerja dalam industri ini. Namun, apabila kembali ke Malaysia, dia sedar kepentingan untuk mengutamakan kesihatan dan kesejahteraan diri. Ini membawa Julia kembali mencintai Pilates, yang menjadi amalan yang mengubah hidupnya. Memperoleh sijil Pilates pada tahun 2016 membuka matanya kepada peluang yang lebih bermakna untuk membantu orang lain melalui pengajaran senaman Pilates.

“Gabungan latar belakang fesyen dan minat baru dalam kecergasan akhirnya membawa saya untuk membuka Sculpt Club pada 2019. Melihat sendiri kuasa transformasi gaya hidup yang seimbang menginspirasikan saya untuk berkongsi perjalanan ini,” ujarnya membuka bicara.

Julia percaya bahawa setiap orang berhak untuk merasa yang terbaik, dan dia bersemangat untuk memperkasa masyarakat mencapai matlamat kesihatan mereka. Dengan menggabungkan cinta terhadap kecergasan dan fesyen, Julia bertujuan menjadikan kesejahteraan hidup lebih mudah dicapai dan menyeronokkan.

Gaya peribadi Julia adalah gabungan antara klasik dan kontemporari dengan sentuhan atletik. Ia mencerminkan gaya hidup aktifnya sambil mengekalkan rasa softisikated. Sepanjang masa, dia menjadi lebih yakin untuk bereksperimen dengan pelbagai gaya, tetapi sentiasa mengutamakan keselesaan dan berfungsi lebih baik.

Julia percaya dalam menggabungkan trend secara selektif sambil tetap setia kepada gaya terasnya. Dia fokus pada busana utama yang boleh digayakan dengan pelbagai cara, dan saya tidak takut untuk menggabungkan fesyen mewah dan lebih berpatutan. Pada akhirnya, ia adalah tentang mencari keseimbangan antara kelihatan bergaya dan merasa selesa.

Fesyen adalah alat terbesar bagi ekspresi diri. Ia membolehkan individu menonjolkan personaliti, kreativiti, dan keyakinan diri. Apabila diri merasa baik dalam apa yang disarung, ia meningkatkan kesejahteraan minda keseluruhannya. “Bagi saya, fesyen dan kesihatan berjalan seiring. Apa yang saya pakai secara langsung mempengaruhi bagaimana saya rasa ketika itu, yang seterusnya mempengaruhi kesejahteraan keseluruhan minda saya. Memilih pakaian yang selesa memberi saya kuasa untuk bergerak dengan bebas dan yakin sepanjang hari. Selain itu, saya percaya bahawa penampilan menawan dapat meningkatkan emosi anda dan motivasi untuk mengutamakan kesihatan. Ia tentang mencipta sinergi antara gaya dan substsance.”

See also
GLAM Persona: Odisi Seni Marsha Milan

Hari-hari Julia adalah putaran aktiviti yang tidak henti-henti. Julia memulakan hari awal, mengajar pelanggan Pilates pertama seawal jam sembilan pagi. Untuk bersiap, dia mulakan hari dengan meminum air lemon hangat dan membawa kopi serta minuman protein untuk sesi pengajaran awal pagi.

Selepas mengajar, dia mengutamakan makan tengah hari yang berkhasiat, biasanya kaya dengan protein, sayur-sayuran, dan karbohidrat untuk mengekalkan tahap tenaga sepanjang hari. Dia sering menggabungkan waktu rehat dengan makan tengah hari disamping urusan perniagaan.

Selepas makan tengah hari, Julia cuba memasukkan beberapa bentuk aktiviti fizikal, sama ada sesi Pilates, latihan berat badan, atau berjalan pantas. Rehidrasi adalah kunci, jadi dia minum banyak air dengan secubit garam Himalaya untuk mengimbangi pengambilan kafein. Dia hadkan diri kepada dua cawan kopi sehari.

Malam-malam pula dikhususkan untuk aktiviti santai dan meluangkan masa berkualiti bersama suami. Mereka gemar mencuba pelbagai hidangan masakan, dengan fokus pada masakan Mediterranean dan Yunani. Memasak bersama adalah cara yang baik untuk berehat dan memastikan mereka mengamalkan diet seimbang.

 

Baca kisah penuh Allisha Azlan & Julia Van Der Drift dengan mendapatkan majalah GLAM isu September 2024 di pasaran sekarang atau langgan secara online menerusi magzter.com.