The Original Lives On: Legasi Adidas Superstar Terus Hidup
Kempen ‘The Original’ oleh adidas Originals di Pavilion KL meraikan keaslian dan budaya jalanan melalui legasi kasut Superstar, menampilkan Joe Flizzow dan bakat tempatan lain dalam pengalaman imersif yang menyatukan gaya, komuniti dan ekspresi diri.
Dicipta untuk gelanggang bola keranjang, tetapi disambut hangat oleh perintis budaya jalanan, Superstar bukan sekadar sepasang kasut malah ia adalah manifestasi gaya hidup, satu simbol keberanian dan legasi yang merentas generasi. Kini, Adidas Originals mempersembahkan bab seterusnya dalam kempen global ‘The Original’ menerusi satu pop-up eksklusif di Pavilion Kuala Lumpur mulai 27 Ogos hingga 1 September 2025. Di tengah kota yang sibuk, jenama dengan signature ‘tiga jalur’ ini menghidupkan kembali semangat Superstar bukan hanya sebagai produk, tetapi juga sebagai gerakan budaya.

Terokai Pop-up Adidas Superstar di Pavilion Kuala Lumpur
Mengangkat figura legenda seperti Samuel L. Jackson, Missy Elliott, Mark Gonzales, GloRilla, Teezo Touchdown, JENNIE, dan Gabriette, kempen ini meraikan suara-suara asli yang membentuk arus utama. Di Malaysia, suara itu bergema lantang melalui Joe Flizzow yang meripakan ikon hip hop yang tidak asing lagi. Dikenali sebagai ‘bapa hip hop Malaysia’, Joe Flizzow membawa semangat keberanian, ekspresi bebas dan jiwa komuniti yang seiring dengan DNA label ini. “Superstar adalah tentang menjadi diri sendiri, berani menyerlah dan menginspirasi,” ujar Joe dengan mengangkat satu prinsip yang menyatukan global dan lokal dalam satu ritma.

Pop-up ini turut diserikan lagi dengan barisan bintang muda tanah air seperti DOLLA, Ismail Izzani, Lil J, Julia Duclos, Elva Suyan dan Aziz Harun, yang menghidupkan semangat Superstar menerusi persembahan langsung dan sesi interaktif. Bukan sekadar visual dan suara, pengunjung yang hadir juga boleh meneroka akan pengalaman imersif di Superstar Soundbooth, bermain ‘Dance Dance Revolution’ atau mencuba bakat di ‘basketball shootout’. Di ruang ini, kenangan dan gaya bersatu menjadi ekspresi diri yang unik.

Sebagai pelengkap pengalaman dan memori, pengunjung juga boleh menikmati kopi istimewa di Superstar Café, serta membawa pulang kit penyesuaian eksklusif yang membolehkan mereka menambah sentuhan peribadi pada kasut Superstar atau jaket Firebird. Dalam dunia di mana setiap butiran menyerlahkan identiti diri, Adidas Originals sekali lagi mengingatkan bahawa gaya sebenar terpancar secara asli, dan keaslian itu diraikan dengan penuh bangga.

Artikel berkaitan: adidas Bantu Ramai Wanita Nikmati Faedah Latihan Kekuatan Dengan Empowered In Motion
Syahirah Hussain
Syahirah Hussain ialah penulis fesyen di GLAM Malaysia. Mengulas informasi, trend dan berita fesyen terkini dari lokal ke antarabangsa, serta penglibatan editorial dengan nada segar yang mewakili generasi baharu dunia fesyen.

